Wajahnya tidak asing lagi di kaca televisyen tempatan.
Beliau sudah lama menghiasi iklan, drama dan pentas teater, menjadikan namanya dikenali dalam dunia seni persembahan tanah air.
Namun, di sebalik watak-watak yang dimainkan itu, pelakon Awad Salim Ramli, 55 tahun, berdepan realiti pahit untuk menyara kehidupan sebagai pelakon sepenuh masa di Singapura.
“Lakonan sebagai satu minat akan kekal selamanya, tetapi sebagai sumber rezeki, malangnya industri di Singapura agak ‘kejam’,” ujar bapa kepada sepasang kembar lelaki dan perempuan berusia 23 tahun itu dengan jujur.
Beliau mengakui tawaran berlakon bukanlah sesuatu yang kerap, dan menampung kehidupan dengan hanya bergantung pada gaji lakonan adalah amat mencabar.
Sejak mula berjinak-jinak dalam bidang seni sejak usia 17 tahun di maktab rendah, Awad sedar kejayaan dalam industri seni memerlukan lebih daripada bakat di hadapan kamera.
Beliau perlu berkembang dan menjadi serba boleh untuk kekal relevan.
“Oleh kerana saya sendiri berada dalam industri, kita memang perlu berkembang dan cuba lakukan tugasan lain dalam bidang ini,” katanya yang pernah bekerja selama dua tahun sebagai pramugara dengan syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA).
Dengan azam yang kuat, Awad mengaku tidak takut atau malu untuk melakukan pelbagai tugas produksi di belakang tabir.
“Saya tidak takut atau malu untuk mencuba kerja-kerja produksi lain seperti mencari lokasi, menjadi penolong penerbit atau penolong pengarah, pembantu peribadi, jurulatih lakonan atau bahasa, dan sudah tentu menerima watak-watak sampingan yang datang,” ceritanya.
Walaupun sibuk menguruskan pelbagai tugasan sampingan, minat Awad terhadap lakonan tidak pernah padam.
Beliau baru sahaja selesai penggambaran untuk telefilem Tahun Baru di saluran Suria, Aku Yang Baru, drama Cina, Fixing Fate, dan turut terlibat dalam filem Netflix, Mr Midnight.
Walaupun mengakui bayaran untuk lakonan di pentas teater adalah rendah dengan komitmen masa yang lama, beliau tetap tidak menolak peluang untuk beraksi di pentas demi cintanya kepada seni dan baru-baru ini menerima tawaran untuk berlakon di pentas teater Tamil.
Ini adalah kali kedua beliau terlibat dalam pementasan berbahasa Tamil.
“Pertama kali merupakan 10 tahun lalu sempena sambutan SG50 (pada 2015) dan sekarang saya kembali untuk persembahan sempena sambutan SG60 pula,” jelas Awad.
Dalam pementasan pelbagai bahasa oleh Agam Theatre Lab, Mission Malligapoo, Awad melakonkan watak Sultan, seorang jejaka yang memegang peranan sebagai datuk yang sudah tua dan sedang bergelut dalam kesedihan.
“Saya memainkan watak seorang datuk yang sudah tua dan menghadapi bencana dalam keluarga kerana anaknya mati dibunuh askar Jepun.
“Cucunya, Anissa, pula kemudian juga mati akibat ingin balas dendam,” kata Awad, menggariskan emosi yang perlu diselaminya.
Walau bagaimanapun, beliau menambah bahawa persembahan yang dijayakan oleh 18 pelakon berbilang bangsa itu tidaklah terlalu serius, malah diselitkan banyak detik lucu dan unsur muzikal.
Bagi Awad, lakonan adalah ruang ekspresi yang diperlukan.
“Lakonan buat saya dapat lari seketika daripada realiti. Ia beri peluang untuk membayangkan diri sebagai orang lain – menyelami emosi dan fizikal watak itu, sambil tetap menjaga kewarasan saya sendiri,” katanya.
Pementasan tersebut merupakan salah satu daripada enam karya baru artis Singapura dalam rangkaian acara. Festival Kesenian India (Kalaa Utsavam) 2025.
Pementasan yang diterbitkan bersama Esplanade ini bakal dipentaskan pada 21 dan 22 November dan tiket-tiket berharga $37 ke atas dan butiran lanjut boleh didapatkan di laman web, https://esplanade.com
*Artikel ini telah disemak untuk menambah ketepatannya.
“
“Oleh kerana saya sendiri berada dalam industri, kita memang perlu berkembang dan cuba lakukan tugasan lain dalam bidang ini... Saya tidak takut atau malu untuk mencuba kerja-kerja produksi lain seperti mencari lokasi, menjadi penolong penerbit atau penolong pengarah, pembantu peribadi, jurulatih lakonan atau bahasa, dan sudah tentu menerima watak-watak sampingan yang datang.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg