Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Awie anjur konsert gabung tiga kumpulan rok

Dec 23, 2024 | 4:07 PM
Datuk Awie bakal menerajui tiga kumpulan rok ikonik iaitu Wings, Search Kid Din dan Dragon Malaya di atas satu pentas yang sama sebagai penyanyi utama pada 14 Februari 2025 di Zepp Kuala Lumpur.
Datuk Awie bakal menerajui tiga kumpulan rok ikonik iaitu Wings, Search Kid Din dan Dragon Malaya di atas satu pentas yang sama sebagai penyanyi utama pada 14 Februari 2025 di Zepp Kuala Lumpur. - Foto INSTAGRAM ISYQIRFAN

Sepanjang hampir empat dekad dalam bidang seni, Wings sudah menganjurkan ratusan konsert dengan mengetengahkan pelbagai jenis konsep. 

Pantang dengar Wings nak buat konsert, peminat tegar band itu pasti berlumba-lumba membeli tiket. 

Dengan sambutan hebat yang diterima, ini dapat memberi semangat bagi kumpulan rok yang dianggotai Datuk Awie, Eddie, Black, Edrie Hashim dan Syam menjadi lebih kreatif dalam menganjurkan konsert tidak lama lagi.

Vokalis Wings, Awie tampil dengan cetusan idea lebih segar dan disifatkan sebagai ‘kerja gila’ apabila mengumumkan bakal menganjurkan Konsert TRIAD yang menyaksikannya menerajui tiga kumpulan rok ikonik iaitu Wings, Search Kid Din dan Dragon Malaya (kini dianggotai Lan Taro, Eddie Def Gab C dan Pae) di atas satu pentas yang sama sebagai penyanyi utama.

Konsert TRIAD akan berlangsung pada 14 Februari 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

“Idea tercetus ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) empat tahun lalu (2020).

Masa itu, saya kerap berlatih dengan kumpulan Search Kid Din. Sepatutnya kami adakan konsert bersama, tapi tak jadi.

“Dari situ, saya mula terfikir apa lagi kelainan nak dibuat untuk kami dapat bermain bersama.

“Jadi, timbul idea untuk mengadakan Konsert TRIAD. Sebelum ini, Wings banyak kali mengadakan konsert dan kesemuanya berkonsep berbeza.

“Tujuan konsert diadakan untuk beri penonton tiga warna dan rasa berbeza,” lapor Awie, 56 tahun, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Berita Harian Online.

Bukan sekadar hiburan kosong, sebaliknya Awie, atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, menyasarkan sesuatu yang lebih tinggi untuk konsert yang diadakan buat julung-julung kali itu.

“Konsert ini bakal melakar sejarah kerana kami mahu ia dimasukkan dalam Malaysia Book Of Records (MBOR). Itu memang sasaran kami dan turut ditulis dalam kertas kerja penganjuran konsert ini.

“Setakat ini, pihak MBOR memaklumkan apa yang kami lakukan ini masih belum dibuat oleh mana-mana band. Mereka akan lihat perkara ini dan jika ia menepati kehendak, insya-Allah apa yang dihajati akan tercapai.

“Jika konsert ini berjaya mendapat pengiktirafan ini, ia akan menjadi satu peristiwa yang tidak hanya dikenang dalam industri muzik Malaysia, malah di seluruh dunia.

“Ini adalah satu pencapaian mengangkat muzik rok Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya pada sidang media Konsert TRIAD yang diadakan di sebuah pusat hiburan di Malaysia, baru-baru ini.

Enggan dikaitkan dengan gelaran ‘Raja Segala Rockers’, Awie menegaskan apa yang dilakukannya bukanlah kerana mahu mengejar pangkat atau nama. Sebaliknya, ingin mencabar kemampuan diri sendiri.

Awie berkata: “Pada 2025, Wings akan mencecah angka 40 tahun dan kalau boleh saya tak mahu buat benda sama hingga orang meluat.

“Disebabkan itu, saya nak ‘langgar’ dengan melakukan sesuatu yang mencabar dan membuatkan ‘adrenalin’ saya mengalir deras.

“Menyanyi lebih daripada tiga jam bersama Wings adalah perkara biasa, jadi saya perlu berbuat sesuatu berbeza untuk peminat Wings.

“Meskipun saya sudah biasa dengan Search kerana pernah merakamkan album Bikin Wilayah dan pernah berkolaborasi dengan Dragon Malaya, cabarannya adalah bagaimana saya nak berdepan dengan peminat mereka yang bukan peminat Wings.

“Inilah yang saya kena jaga. Sehubungan itu, saya perlu jaga stamina dan kesihatan supaya konsert berjalan lancar mengikut perancangan asal,” tambahnya.

Dalam konsert tersebut, Awie akan menyanyikan 30 lagu hit milik tiga kumpulan berkenaan.

“Saya akan menyampaikan 10 lagu untuk setiap kumpulan dan semuanya adalah lagu popular. Meskipun ada lagu yang saya sudah biasa nyanyi sebab pernah rakam, banyak juga yang perlu dihafal.

“Takkan ada sesi untuk perkenalkan ahli kumpulan konsert sebab saya anggap mereka sudah dikenali. Bezanya, untuk setiap band, transisi (peralihan) yang akan dilakukan menerusi bunyi muzik.

“Ini kerana setiap daripada band ini ada identiti tersendiri,” jelas Awie.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg