Kalau ditanya berapa kali saya menghadiri konsert duo dari Melbourne, Air Supply, jawabnya: “Tak ingat sebab tak terhitung dengan jari.”
Sepanjang bertugas sebagai wartawan dengan pengkhususan berita hiburan, saya sudah ‘mengekori’ kumpulan ini ke mana-mana, baik Harbour Pavilion (dewan konsertnya tiada lagi), Stadium Tertutup Singapura, Marina Bay Sands (MBS), Teater The Star mahupun Dewan Singapore Expo.
Pada 13 Disember, Resorts World Ballroom menjadi lokasi terkini bagi saya dan 5,000 penonton lain mengimbau nostalgia dewasa dengan bekalan lagu cinta Air Supply.
Saya mengakui anggota Air Supply, Russell Hitchcock, 75 tahun, dan Graham Russell, 74 tahun, tidak semuda 20 tahun lalu, kali pertama saya menyaksikan mereka secara langsung di pentas konsert Harbour Pavilion.
Bagaimanapun, saya harus tabik kesungguhan mereka melontar suara pada nada tinggi dan kegigihan Russell bercerita tentang perjalanan seni dan persahabatannya dengan Hitchcock yang tidak pernah diganggu sebarang konflik atau perselisihan faham.
Memang kisah hubungan mereka yang bak aur dengan tebing itu sudah saya dengar berulang kali tetapi seronok melihat mereka meniti usia senja dengan keakraban yang semakin utuh meskipun berlainan pandangan tetapi sehala dalam bidang muzik dan seni.
Mereka tidak banyak bergerak dari kanan ke kiri pentas seperti kebiasaannya.
Jika selalu Russell suka turun pentas sambil memetik gitar dan bergambar dengan peminat, tetapi kali ini beliau hanya berada di pentas gah sambil bercerita.
Kadangkala saya kesan mengah pada suaranya tetapi asal ‘tak ke laut’ dan masih lagi lunak didengar, okey sahaja bagi saya.
Lagu yang membawa anda ke alam mimpi manis, Sweet Dreams membuka tirai persembahan, disusuli dengan Even The Nights Are Better, Just As I Am dan Every Woman.
Saya lihat mereka yang hadir cukup sporting bak menghadiri sesi karaoke peribadi.
Si suami membuai isteri dengan lagu cinta yang menggambarkan kasih sejati. Si isteri pula tersenyum manis sambil menyanyi bersama dalam suasana penuh romantis.
Cuma, saya berharap mereka yang mempunyai suara yang belum ‘pass’, berpada-padalah menyanyi, ya?
Jangan sampai anda mengganggu ketenteraman penonton lain.
Seorang lelaki di belakang saya begitu bersemangat menyanyi lagu Air Supply, ibarat mendendangkan penuh patriotik lagu kebangsaan!
Beliau memang ‘champion’ bab menghafal lirik tetapi sayangnya, suaranya selalu tidak mengikut irama sampai teman di sebelah berkata: “Sumbang seh... boleh diam tak?”
Lagu kegemaran saya tentang perpisahan iaitu Goodbye mula berkumandang, maka saya lupakan sahaja dan cuba pekakkan telinga daripada mendengar suara sumbang jiran di belakang.
Konsert itu tidak terasa membosankan kerana penganjur, Unusual Entertainment, memastikan setiap lagu yang berkumandang diiringi dengan tayangan klip video asal lagu berkenaan.
Maka, nampaklah wajah Hitchcock dan Russell yang tampan dan muda belia pada era 1970-an dan 1980-an.
Lagu-lagu ‘wajib’ tidak dilupakan dengan I Can Wait Forever, Two Less Lonely People In The World, The One That You Love, Lost In Love, Making Love Out of Nothing At All dan Without You pula menyerikan malam penuh nostalgia.
All Out Of Love menjadi lagu terakhir yang dipersembahkan Air Supply yang diiringi band anak muda yang penuh tenaga dan memikat perhatian penonton kerana gaya mereka yang tersendiri.
Band yang bakal menyambut ulang tahun ke-50 pada 2025 dengan penghasilan sebuah filem biopik tentang riwayat dan perjalanan seni mereka itu tidak mengecewakan, meskipun saya berharap beberapa lagu seperti Even The Nights Are Better tidak dirancakkan sehingga hilang unsur romantisnya.
Semakin anggotanya berusia, semakin rancak pula tempo lagu – kasihan sang penyanyi, bisik hati saya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg