Sempena cuti sekolah, Wisma Geylang Serai (WGS), menganjurkan pelbagai kegiatan menarik buat si cilik.
Ayuh, bawa anak-anak ke Fiesta Keluarga Jun 2024 yang akan berlangsung sehingga 23 Jun.
Mereka boleh melompat-lompat di istana belon, bermain di pit berisi bola, menaiki alat bergerak menyerupai robot dan alpaka, menemui watak animasi popular, Upin dan Ipin, menonton wayang dan sebagainya.
Filem P. Ramlee kegemaran ramai, Seniman Bujang Lapok, juga bakal ditayangkan pada 15 Jun.
Tarikh: 1 hingga 23 Jun
Waktu: 9 pagi hingga 9 malam
Tempat: Wisma Geylang Serai
Bayaran: Masuk percuma
Mari sertai pelbagai kegiatan anjuran Muzium Tamadun Asia (ACM) dan Muzium Peranakan.
Anda boleh mula mengikuti kegiatan di ACM, dan kemudian ke Muzium Peranakan.
Antara kegiatan yang disediakan memberi peluang kepada peserta mereka bentuk permainan papan sendiri, mementaskan persembahan boneka, menganyam tudung saji dan banyak lagi.
Mereka yang berjaya menyelesaikan kesemua kegiatan di ACM boleh mendapatkan set pelekat istimewa sebelum ke Muzium Peranakan.
Tarikh: 1 hingga 23 Jun
Waktu: Mengikut waktu muzium dibuka (Muzium Tamadun Asia – Setiap hari, 10 pagi hingga 7 malam; Jumaat, 10 pagi hingga 9 malam. Muzium Peranakan: Setiap hari, 10 pagi hingga 7 malam)
Tempat: Muzium Tamadun Asia dan Muzium Peranakan Tingkat 1
Bayaran: $5 bagi tiket masuk ke galeri
Sertai sesi bercerita interaktif bersama tukang cerita, Encik Hafiz Rashid, di Pusat Fort Canning.
Di sana, kisah ‘Badang yang Gagah’ dihidupkan semula.
Pelajari bagaimana Badang memperoleh kekuatan luar biasa dan menjadi seorang pemimpin yang dihormati.
Terokai Taman Fort Canning dan reka bot kraf tangan.
Sesuai untuk kanak-kanak berusia empat hingga 10 tahun.
Tarikh: 15 Jun
Waktu: 11 pagi hingga 12.30 tengah hari
Tempat: Pusat Fort Canning, 5 Cox Terrace, Singapura 179620
Bayaran: $16 bagi setiap pasangan ibu atau bapa bersama seorang anak. $8 bagi setiap kanak-kanak/dewasa tambahan
Lihat keindahan hortikultur bertema kehidupan marin di Lapangan Terbang Changi sepanjang cuti sekolah Jun.
Di Terminal 2 dan Terminal 3, pengunjung boleh melihat pameran hortikultur dalam bentuk pelbagai hidupan marin seperti kuda laut, ikan badut, penyu, obor-obor dan batu karang.
Kesemua bentuk kehidupan marin itu diperbuat daripada lebih 50 spesis flora yang dipilih secara terperinci, merangkumi lumut dan bunga berwarna-warni.
Terdapat juga tumbuhan darat yang digunakan untuk mencipta semula keajaiban lautan, meraikan laut sebagai sumber kehidupan di bumi.
Di Kawasan Berlepas (Utara) Terminal 3, pameran ikan badut, yang dikenali sebagai Nemo, menjadi tumpuan utama.
Ikan badut itu diperbuat daripada bunga oren, putih dan hijau.
Selain itu, terdapat tiga ikan pendamping menghiasi pemandangan itu, dengan ekor dan sirip ikan dibentuk daripada daun kelapa sawit, memberikannya kesan seakan ‘hidup’.
Tarikh: Sekarang sehingga 23 Jun
Waktu: Setiap hari, 24 jam
Tempat: Terminal 2 dan Terminal 3 Lapangan Terbang Changi
Bayaran: Masuk percuma
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg