NEW YORK: Ketika Encik Warren Buffett, 94 tahun, menamatkan penglibatan bersejarahnya sebagai peneraju syarikat konglomerat Berkshire Hathaway, tokoh-tokoh ternama Wall Street segera memberikan pujian kepada beliau, seorang yang memiliki kerjaya pelaburan luar biasa yang menjangkau lebih 80 tahun (beliau membeli saham pertamanya pada usia 11 tahun).
Pelabur terkenal itu meraih pulangan lebih 5,500,000 peratus bagi saham Berkshire.
Beliau berjaya mengubah sebuah syarikat tekstil yang hampir muflis menjadi salah sebuah syarikat paling bernilai di dunia, yang bukan terdiri daripada syarikat teknologi mahupun pengeluar minyak milik negara.
Kejayaan ini menjadikan beliau seorang pelabur yang unik, yang berjaya memikat hati masyarakat dengan kata-kata serta nasihatnya yang bijak dan menghiburkan, serta dekat dengan kehidupan harian.
Pendekatan pelaburan Encik Buffett tampak ringkas, namun sarat dengan strategi.
“Lupakan apa yang anda tahu tentang membeli perniagaan baik pada harga menarik; sebaliknya, belilah perniagaan menarik pada harga berpatutan,” katanya seperti yang beliau pernah menulis kepada pemegang saham Berkshire.
Kaedah ini – dikenali sebagai pelaburan nilai – telah wujud lama sebelum Encik Buffett memulakan kerjayanya.
Namun, tiada sesiapa yang melakukannya sebaik beliau, atau selama seperti yang beliau lakukan.
Sepanjang 60 tahun menerajui Berkshire Hathaway, Encik Buffett menggunakan pendekatan pelaburan nilai untuk mentransformasikan sebuah syarikat pengeluar tekstil yang hampir gagal menjadi sebuah konglomerat bernilai AS$1.1 trilion ($1.4 trilion), sebuah jentera pengambilalihan korporat dan mencerminkan sebahagian kecil ekonomi Amerika Syarikat.
Antara aset Berkshire termasuklah salah satu rangkaian kereta api terbesar di Amerika, dan pegangan saham terbesar dalam American Express dan Coca-Cola.
Dengan kekayaan peribadi yang terkumpul, dianggarkan sekitar AS$168 bilion, Encik Buffett menjadi lambang kapitalisme Amerika, dan menjadi rujukan bagi eksekutif korporat serta pegawai pemerintah semasa krisis kewangan 2008.
Kejayaan luar biasa beliau yang sukar ditandingi telah mengumpulkan jutaan peminat di seluruh dunia.
Puluhan ribu daripada mereka menghadiri mesyuarat tahunan Berkshire di Omaha pada 3 Mei lalu, di mana beliau akhirnya mengumumkan rancangan untuk mengundur diri sebagai ketua eksekutif syarikat.
Pengumuman tersebut disambut dengan kejutan dan diikuti tepukan gemuruh berpanjangan daripada para pemegang saham, yang kebanyakannya telah menjadi jutawan melalui pemilikan saham Berkshire dan sentiasa menghargai nasihat kewangannya.
“Saya beritahu ramai orang bahawa segala yang saya tahu tentang pelaburan, saya pelajari daripada Warren Buffett,” kata Encik Bill Ackman, seorang jutawan bertaraf bilionair dan pengurus dana lindung nilai, yang turut hadir dalam majlis tersebut, dalam satu temu bual selepas pengumuman Encik Buffett.
“Warren Buffett mewakili segala yang baik tentang kapitalisme Amerika dan tentang Amerika sendiri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), JPMorgan Chase, Encik Jamie Dimon.
Encik Buffett mengakui bahawa kekayaan besarnya juga didorong oleh faktor tuah.
Beliau pernah menyatakan betapa bertuahnya beliau dilahirkan di Amerika pada era ketika pasaran saham bersedia untuk mengalami salah satu pertumbuhan ekonomi terhebat dalam sejarah moden.
Beliau mendalami ilmu pemilihan saham daripada pelopor pelaburan nilai, Encik Benjamin Graham, yang merupakan profesornya di Universiti Columbia.
Dengan bimbingan penting daripada seorang kenalan dari Nebraska, Encik Charles T. Munger, yang kemudian menjadi rakan niaga jangka panjangnya, Encik Buffett berjaya menjadikan Berkshire sebagai contoh terbaik bagi disiplin pelaburan nilai.
Namun, hanya segelintir orang yang benar-benar menghayati dan mengamalkan disiplin itu seperti yang beliau lakukan – membaca penyata kewangan syarikat dari pagi hingga malam, untuk tujuan kajian dan keseronokan.
Beliau kemudian menggunakan pengetahuan tersebut dalam beberapa cara.
Berkshire membeli pelbagai jenis perniagaan berjaya, termasuk See’s Candy, Fruit of the Loom dan perkhidmatan jet peribadi NetJets.
Namun, yang menyebabkan perubahan amat besar bagi Berkshire adalah pembelian syarikat-syarikat insurans seperti National Indemnity dan Geico – yang menyimpan wang premium yang telah dibayar pelanggan, tetapi belum dibayar semula dalam bentuk tuntutan.
Dana yang dikenali sebagai “wang apungan” itu, menjadi enjin kewangan pertama dalam strategi perjanjian Encik Buffett.
Beliau menggunakan dana itu, bersama keuntungan daripada perniagaan lain milik syarikatnya, untuk membeli apa yang kini merupakan kumpulan sebanyak 189 syarikat.
Antara pembelian terbesar beliau termasuk syarikat kereta api BNSF, yang diambil alih pada 2010 pada harga sekitar AS$26 bilion, dan pengeluar tenaga elektrik Berkshire Hathaway Energy, yang dibeli pada 2000 pada harga AS$2 bilion, sebelum dikembangkan melalui pembelian tambahan.
Sehingga 31 Mac 2025, jumlah wang tunai milik Berkshire mencecah hampir AS$348 bilion.
Mereka yang pernah duduk berunding dengan Encik Buffett sejak bertahun-tahun lalu, mengatakan bahawa beliau peramah dan sopan – namun tegas dalam soal angka dan nilai.
Beliau tidak akan membuat pusingan rundingan harga yang berpanjangan, sebaliknya bersedia beredar jika rundingan sukar berjaya.
Bagaimanapun, Encik Buffett juga mengakui bahawa beliau melakukan banyak kesilapan selama bertahun-tahun.
Salah satu daripadanya ialah melepaskan peluang melabur awal dalam syarikat gergasi teknologi seperti Amazon dan Microsoft, kerana beliau tidak memahami perniagaan tersebut ketika itu.
Walaupun pernah melalui tempoh prestasi merosot, terutama dalam beberapa tahun lalu, rekod prestasi Encik Buffett sangat mengagumkan.
Menurut pengiraannya, nilai saham Berkshire meningkat 5,502,284 peratus dari 1964 hingga 2024, berbanding syarikat S&P 500 yang mencatat kenaikan nilai saham sebanyak 39,054 peratus dalam tempoh sama. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg