Setelah muncul dalam konsert sempena perlumbaan Formula 1 di Singapura pada 21 September, kumpulan ikon pop kelahiran Ireland, The Corrs, akan kembali ke Kota Singa pada 13 Februari 2025 di The Star Theatre, Pusat Seni Pementasan The Star.
Menerusi konsert jelajah, ‘Talk On Corners’, kumpulan empat beradik itu ingin kembali ke sini untuk menghiburkan lebih ramai peminat.
The Corrs adalah keluarga muzik pertama yang menjana album dengan pulangan berjuta dolar sejak mula muncul dalam industri muzik antarabangsa sekitar 1990-an.
Terdiri daripada Andrea (vokalis, pemain piano dan peniup ‘tin whistle’); Caroline (pemain dram, piano dan vokalis); Sharon (penggesek biola, pemain piano dan vokalis); dan Jim (gitaris, pemain papan nada dan vokalis), The Corrs berjaya menjual lebih 40 juta album sejak album pertama, Forgiven, Not Forgotten, pada 1995.
Konsert yang dibawakan oleh syarikat penganjur, Midas Promotions, akan memberi penonton peluang mendengar muzik dendang rakyat dengan sentuhan rok pop.
The Corrs juga mencipta lagu-lagu hebat sepanjang 30 tahun berada dalam industri muzik.
Pastinya, ramai akan mengingati lagu seperti, Heaven Knows, Runaway, I Never Loved You Anyway, So Young dan Only When I Sleep.
Album kedua, Talk On Corners, juga dianggap berjaya dengan ia merupakan album paling laris The Corrs sejauh ini.
Konsert jelajah itu juga akan diadakan di SSE Arena di Belfast, AO Arena di Manchester, OVO Hydro di Glasgow dan Utilita Arena di Newcastle.
Mereka juga sedang merancang mengeluarkan piring hitam vinil album studio kedua, Talk On Corners, tidak lama lagi.
Harga tiket antara $125 dengan $250 akan mula dijual mulai 12 tengah hari, pada 15 November, di laman web Sistic di pautan, www.sistic.com.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg