Grand Prix Singapura Formula Satu (F1) terus menarik peminat sukan pemotoran dari daalam dan luar negara, dengan 269,072 orang menghadiri perlumbaan itu sepanjang tiga hari dari 20 hingga 22 September.
Tiket bagi menonton perlumbaan malam itu habis dijual, menurut penganjur, Singapore GP, dalam satu kenyataan pada 22 September.
Angka itu merupakan yang tertinggi sejak Litar Jalanan Marina Bay diperbaharui pada 2023, selepas Bay Grandstand ditutup bagi membangun semula platform The Float @ Marina Bay.
Seramai 264,108 peminat hadir pada edisi 2023.
Rekod bilangan tertinggi dalam sejarah 15 tahun GP Singapura kekal pada 2022, apabila 302,000 penonton hadir sepanjang tiga hari.
Perlumbaan pada 8 malam 22 September itu menyaksikan persaingan sengit antara dua pencabar takhta kejohanan pemandu musim ini, Max Verstappen dan Lando Norris.
Verstappen, daripada Red Bull, sedang mendahului tangga kejuaraan pemandu dengan 59 mata di hadapan Norris (254 mata).
Norris, daripada pasukan McLaren, berdaya merapatkan jurang mata itu kerana beliau memulakan perlumbaan dari petak pertama. Verstappen bermula dari petak kedua.
Sembilan daripada 14 perlumbaan di sini dimenangi pemandu yang bermula dari petak pertama.
Selain aksi mendebarkan di trek, puluhan ribu peminat terhibur oleh barisan artis antarabangsa yang ditampilkan di GP Singapura.
Peminat meredah cuaca panas terik dan hujan lebat menonton persembahan memukau oleh OneRepublic, Kylie Minogue, Disclosure (DJ), Thirty Seconds to Mars, The Corrs, Kool & The Gang, HONNE, dan BABYMONSTER, antara lain.
Dalam pada itu, edisi 2025 GP Singapura mendapat sambutan hangat dengan tiket sudah habis dijual dalam penjualan awal yang bermula pada 19 September.
Bagi mereka yang terlepas, lebih banyak tiket akan dijual mulai 1 Oktober, menurut penganjur.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg