Pada era abad ke-21, seni tradisional bangsawan sering dianggap sebagai seni yang kian pupus ditelan zaman.
Walhal, tidak ramai juga tahu seni bangsawan juga adalah cerminan adat dan tatasusila masyarakat Melayu, selain menjadi khazanah seni dan budaya yang memperkaya warisan Nusantara.
Walau bagaimanapun, masih ada harapan yang sangat cerah bagi menjulang pementasan bangsawan, bukan sahaja sebagai wadah hiburan, malah sebagai wadah pendidikan bersama mengenali sejarah, budaya dan nilai murni yang diterapkan dalam seni dan budaya Melayu.
Begitulah yang ingin disampaikan Opera Academy, badan seni tidak mengaut untung yang menawarkan program pendidikan bangsawan buat pelbagai lapisan umur, dengan kerjasama kumpulan Anggerik Temasek Bangsawan Singapura, melalui pementasan bangsawan Sri Wikrama Wira.
Pementasan bangsawan tersebut bakal berlangsung antara 21 hingga 23 Februari di Studio Teater, Esplanade dan merupakan penutup tirai Pesta Bangsawan Singapura 2025.
Ditulis oleh Anwar Hadi Ramli dan diarahkan penerima Anugerah Pingat Budaya, Majlis Seni Kebangsaan (NAC) pada 1986, Nadiputra Almahdi Al-Haj Ibrahim, ia mengisahkan tentang keperwiraan Paduka Sri Wikrama Wira, anak sulung Sang Nila Utama dan Wan Seri Bini dalam kerajaan Singapura antara 1347M hingga 1362M.
Ketika ditemui Berita Minggu (BM) pada 11 Februari di kampus Opera Academy, Hafiz Yusof selaku Pengarah Program dan Operasi Opera Academy serta pengarah Pesta Bangsawan 2025, mengulas:
“Ramai yang tidak tahu terdapat lima raja yang pernah memerintah dan menduduki takhta Singapura sebelum zaman Sir Stamford Raffles iaitu Sang Nila Utama, Sri Wikrama Wira, Sri Rana Wikrama, Sri Maharaja dan Parameswara.
“Melalui pementasan ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat Singapura terhadap sejarah Melayu yang kaya dan penuh makna.
“Saya memetik kata-kata Anwar Hadi Ramli, bahawa pementasan ini turut bertujuan mengisi jurang sejarah yang sering kita terlepas pandang, memberi pencerahan lebih mendalam dan mencerminkan sejarah sebenar tanah air kita.”
Selain mencurahkan tenaga dalam kajian ilmiah secara terperinci mengenai sejarah Melayu, usaha besar lain turut disalurkan kepada aspek busana dalam pementasan bangsawan.
Penerbit Bangsawan Sri Wikrama Wira, Tanty Yushida, menambah: “Pasukan busana kami memastikan setiap pakaian yang dikenakan pelakon dapat menyerlahkan lagi masyarakat yang pelbagai dalam pementasan ini seperti kaum dari Palembang, China, Siam, Majapahit, Srwijaya dan Singapura, melalui pemilihan warna, reka bentuk dan tekstil.
“Kami juga bekerjasama rapat dengan Kampung Collection beserta pasukan tukang jahit dari Jawa Timur, yang telah menjahit busana untuk kira-kira 50 hingga 60 pelakon yang terlibat.”
Menurutnya, barisan pelakon yang terlibat hadir dari latar belakang yang rencam dari segi umur dan bangsa. Malah, pelakon termuda berusia lima tahun.
“Selain masyarakat Melayu, ada juga pelakon Serani yang turut terlibat dek minat dan keinginan beliau untuk memahami dan mendalami sejarah Melayu.
“Kami juga menghadirkan kumpulan penari berbangsa Cina di bawah bimbingan penasihat Opera Academy, Dr Chua Soo Pong, seorang tokoh penting yang dikenali sebagai bapa Opera Cina,” tambahnya.
Kata pengarah berpengalaman, Nadiputra pula, kehadiran pelakon veteran seperti Azman Shariff dan Mahyonis Mahfudz bukan sahaja menyerikan pementasan itu, bahkan menjadi sandaran kepada pelakon muda bagi mendalami seni lakonan dalam bangsawan.
Di samping itu, beliau menekankan kepentingan enam teras bangsawan bagi menambah nilai estetika dalam Sri Wikrama Wira.
“Sejak awal latihan di Opera Academy, kami menitikberatkan enam teras bangsawan iaitu adab, bahasa, lenggok, nada, deria dan gerak.
“Kami juga senyawakan elemen teater dalam pementasan bangsawan agar dapat memberi sentuhan moden dan segar dalam persembahan, selain menarik minat anak muda dan memudahkan mereka menerapkan kededua kaedah ini secara serentak.
“Bagaimanapun, ia amat penting bagi pelakon memahami ciri-ciri bangsawan dan nashkah yang diberi.
“Dalam pada itu, mereka harus menambah upaya agar enam elemen penting bangsawan tidak diambil sambil lewa,” ulas Nadiputra.
Farah Nadyrah Samsudin, 24 tahun, yang memerankan watak sebagai Permaisuri Sri Sudewi, akur tidak mudah membuat mimik wajah menunjukkan emosi secara terang-terangan.
Lebih-lebih lagi menyesuaikan diri dengan gerakan tangan yang gemalai seperti pemaisuri Jawa.
Hal ini turut diakui pelakon teater, Fandy Ahmed, 35 tahun, yang memegang watak sebagai Hayam Wuruk, sepupu Sri Wikrama Wira.
Katanya: “Selain membuat kajian mengenai watak Hayam Wuruk, saya juga harus berlatih menyesuaikan diri dengan telo Jawa. Agak mencabar juga sehingga kadangkala saya tidak sedar saya bercakap sendiri dalam telo itu.”
“Saya juga belajar daripada pengarah pergerakan dan pereka tari berpengalaman, Md Al-Hafiz Hosni, bahawa perasaan marah misalnya, bukan sahaja boleh disampaikan menerusi tonasi malah juga melalui pergerakan jari-jemari.”
Sentuhan magis Pengarah Muzik, Dzul Rabull, melalui karya muzik yang dicipta khas bagi pementasan bangsawan ini, turut menjadi nilai penting yang menyemarakkan lagi keindahan persembahan secara menyeluruh, tambah Fandy.
Tiket berharga $38 boleh ditempah melalui laman Sistic di pautan https://bh.sg/sriwikrama
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg