Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Akademi seni tawar biasiswa bangsawan bagi belia selami seni warisan

Feb 4, 2025 | 6:54 PM
Dalam usaha menyemai cinta terhadap seni bangsawan dalam kalangan generasi muda, iaitu Generasi Z dan Generasi Alpha, Opera Academy menawarkan Biasiswa Bangsawan pertama di Singapura kepada enam belia berusia 17 hingga 25 tahun.
Dalam usaha menyemai cinta terhadap seni bangsawan dalam kalangan generasi muda, iaitu Generasi Z dan Generasi Alpha, Opera Academy menawarkan Biasiswa Bangsawan pertama di Singapura kepada enam belia berusia 17 hingga 25 tahun. - Foto FACEBOOK OPERA ACADEMY

Dalam usaha menyemai cinta dan minat terhadap seni bangsawan dalam sanubari generasi muda, khususnya Generasi Z dan Generasi Alpha, akademi seni setempat, Opera Academy, menawarkan biasiswa bangsawan kepada enam belia berusia antara 17 hingga 25 tahun.

Program biasiswa enam bulan itu adalah yang pertama di Singapura dan dilancarkan pada 2025 oleh akademi tersebut, yang menawarkan program pendidikan bangsawan buat pelbagai lapisan usia dengan kerjasama kumpulan Anggerik Temasek Bangsawan Singapura.

Biasiswa bernilai $13,800 itu, yang disasarkan kepada belia peringkat pascamenengah, melibatkan pelbagai modul latihan teori dan amali untuk meningkatkan pemahaman serta penghargaan terhadap bangsawan.

Latihan itu meneliti enam teras bangsawan, iaitu adab, bahasa, lenggok, nada, deria dan gerak. Penerima boleh memilih enam daripada 11 unit pengkhususan yang ditawarkan Opera Academy menerusi dua bidang utama, iaitu penerbitan bangsawan (kemahiran dalam pengarahan, penerbitan, lakonan dan penulisan skrip) dan pengurusan perniagaan (kemahiran membabitkan pengurusan, penjenamaan dan sumber daya manusia).

Mereka akan mendapat bimbingan daripada tenaga pengajar Opera Academy, sebuah badan tidak mencari untung, serta jurulatih jemputan. 

Enam penerima dipilih daripada 12 belia yang memohon.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 4 Februari, Encik Noor Azhar Mohamed, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Opera Academy, berkata: “Sebelum ini, belum pernah ada biasiswa bangsawan sebegini ditawarkan kepada anak muda. 

“Ini bermakna inisiatif Opera Academy ini adalah yang pertama bagi menarik anak muda, khususnya Generasi Z dan Alpha, terhadap seni persembahan bangsawan.

“Kami menerima maklum balas daripada pelajar peringkat politeknik, maktab rendah, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan universiti bahawa mereka ingin lebih mendalami bidang seni tetapi tidak tahu cara melakukannya.

“Demi membantu mereka mendalami seni, kami melancarkan biasiswa ini dengan harapan ia dapat merangsang semangat mereka untuk lebih tekun mempelajari seni tradisional, budaya dan bahasa Melayu bersama Opera Academy, tanpa perlu memikirkan tentang kos yuran.”

Pengarah Program dan Operasi Opera Academy, Encik Muhammad Hafiz Yusof, seorang mantan guru Bahasa Melayu sekolah menengah, menambah: “Biasiswa bangsawan ini juga penting dalam membantu Opera Academy mengubah pandangan khalayak ramai terhadap seni teater tradisional Melayu. 

“Ada juga segelintir masyarakat yang memandang seni teater bangsawan sebagai satu kesenian yang tidak relevan dalam konteks masyarakat kini. 

“Namun hakikatnya ia mampu menyelesaikan masalah motivasi, minat dan mutu (3M) dalam kalangan kanak-kanak dan belia serta membantu mengatasi masalah berkenaan adab, nilai dan penguasaan bahasa Melayu.”

Dalam pada itu, sempena ‘Pesta Bangsawan Singapura 2025’, Opera Academy akan mengadakan persembahan, bengkel pendidikan seni dan wacana dari 9 hingga 23 Februari di Kelab Masyarakat Keat Hong, One Tampines Hub, Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias dan Esplanade.

Pesta itu ditutup dengan persembahan bangsawan Sri Wikrama Wira di Teater Studio Esplanade dari 21 hingga 23 Februari. Ia mengisahkan Paduka Sri Wikrama Wira, anak sulung Sang Nila Utama dan Wan Seri Bini, yang memerintah kerajaan Singapura dari 1347 hingga 1362.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg