Topik diikuti
Pergi ke BHkuBantu wanita tampil yakin, profesional dengan pemilihan warna
Bantu wanita tampil yakin, profesional dengan pemilihan warna
Bantu wanita tampil yakin, profesional dengan pemilihan warna
Ketika Cik Nora Anuar mula memakai hijab, beliau tidak menyangka hubungannya dengan pakaian dan warna akan berubah dengan begitu mendalam.
Pada masa yang sama, pengurus pejabat di syarikat teknologi kewangan Switzerland itu baru memegang peranan kerja dengan tanggungjawab lebih besar, sehingga beliau berasa sukar mengenali wanita yang dilihatnya di cermin.
Pencarian untuk kembali yakin dengan penampilan diri bermula dengan mengambil sesi analisis warna di Korea Selatan serta mengikuti kursus bagi mendapat pensijilan perundingan imej dari United Kingdom dan Canada.
Pada Januari 2025, beliau menubuhkan My Colour Edit, satu khidmat rundingan di Singapura yang membantu individu menemui warna yang sesuai dengan kulit mereka.
Bagi Cik Nora, 37 tahun, jenama analisis warna yang dimulakannya itu tidak bermula sebagai idea perniagaan.
Ia bermula daripada pengalaman peribadi apabila beliau ingin tampil yakin dan profesional walaupun mula memakai hijab.
Beliau pernah mengalami fasa di mana perubahan dalam gaya hidup dan penampilan membuatnya berasa seolah-olah kehilangan diri sendiri.
“Saya tengok diri saya dalam cermin, saya tak kenal siapa saya,” katanya.
Ketika itu, warna hitam menjadi pilihan yang selamat. Ia seolah-olah menjadi peluang untuk beliau ‘menyembunyikan’ identiti dan personalitinya yang sebenar.
Cik Nora mula mencari cara untuk menukar gaya penampilannya.
Beliau telah memilih untuk ke Korea Selatan bagi mencuba khidmat analisis warna, satu pengalaman yang kemudian membuka minat mendalam terhadap bidang tersebut.
Dari situ, Cik Nora mula memahami bagaimana warna boleh mengubah bukan sahaja tudung dan pakaian, bahkan juga cara seseorang melihat diri sendiri.
Kini, beliau menjalankan perniagaan itu secara sambilan di samping pekerjaan sepenuh masanya, dengan sesi mingguan di studionya.
Melalui My Colour Edit, Cik Nora membantu pelanggan mengenal pasti palet warna peribadi mereka berdasarkan undertone atau warna kulit, warna mata, rambut dan ciri wajah.
Namun baginya, sesi itu bukan sekadar memberitahu pelanggan warna apakah yang sesuai dipakai.
Beliau juga mahu memahami imej dan aura yang ingin dibawa setiap individu, terutama dalam kehidupan harian atau apabila di tempat kerja.
Ada pelanggan, katanya, mahu kelihatan lebih serius kerana berwajah muda. Ada pula mahu tampil lebih lembut, mudah didekati atau profesional.
Di sinilah psikologi warna memainkan peranan.
Bagi Cik Nora, antara kepuasan terbesar adalah melihat pelanggan pulang dengan lebih yakin.
Ditanya mengenai nasihat bagi mereka yang takut mencuba warna baharu, Cik Nora berkata mereka tidak harus berasa gentar untuk mengembangkan pilihan warna sendiri.
