Songket pengantin, yang sekian lama dianggap lambang tradisi dan keanggunan Melayu, kini diberi nafas baru oleh butik pengantin yang menampilkan fabrik warisan itu dalam potongan lebih moden, gaya lebih ringan dan perincian yang lebih lembut, tanpa mengetepikan nilai budayanya.

Sebanyak 18 gaya busana pengantin songket dipersembahkan di Gemilang, pameran busana pengantin anjuran sulung Full Circle Events yang berlangsung di Bay Laurel, The Oval, pada 4 Julai.

Pameran itu diadakan dengan kerjasama tiga butik pengantin – The Wedding Brocade, Putih Bridal dan Aura Blush Wedding Gallery – mempersembahkan 18 gaya pengantin songket yang menunjukkan bagaimana fabrik tradisional itu masih boleh tampil segar, anggun dan relevan bagi pasangan masa kini.

The Wedding Brocade menampilkan busana songket dengan sentuhan moden menerusi potongan berstruktur, gaya berlapis dan perincian penuh yang tetap mengekalkan seri tradisional pengantin Melayu.
The Wedding Brocade menampilkan busana songket dengan sentuhan moden menerusi potongan berstruktur, gaya berlapis dan perincian penuh yang tetap mengekalkan seri tradisional pengantin Melayu. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Bagi pengasas The Wedding Brocade, Cik Siti Khadijah Ibrahim, 43 tahun, songket bukan sesuatu yang perlu kelihatan lama atau kaku.

Beliau, yang telah berkecimpung dalam industri pengantin selama sekitar 14 tahun, berkata jenamanya sememangnya dikenali dengan koleksi songket yang menggabungkan unsur tradisional dengan sentuhan moden.

“Kami masih mahu baju pengantin kelihatan tradisional, tetapi dari segi garisan dan lapisan, ia lebih moden,” katanya.

Menurut beliau, pengantin hari ini masih menggemari gaya klasik seperti kebaya dan baju kurung, namun lebih terbuka kepada potongan berstruktur, gaya berlapis serta songket dalam rona pastel yang memberikan kesan lebih lembut dan kontemporari.

Putih Bridal menampilkan busana songket yang berakar pada rekaan Melayu tradisional, dengan sentuhan sulaman, manik dan mutiara yang digunakan secara teliti agar motif tenunan songket kekal menyerlah.
Putih Bridal menampilkan busana songket yang berakar pada rekaan Melayu tradisional, dengan sentuhan sulaman, manik dan mutiara yang digunakan secara teliti agar motif tenunan songket kekal menyerlah. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Bagi Putih Bridal pula, songket kekal dekat dengan identiti mereka kerana rekaannya berakar pada tradisi Melayu.

Pengasas bersama Putih Bridal, yang mengusahakannya sejak 2010, berkata walaupun ada pasangan yang memilih gaya minimalis, ramai juga masih mahu tampil gah pada hari perkahwinan mereka.

“Apabila mengenakan busana songket, mereka benar-benar tampil sebagai raja sehari.

“Jadi mereka dibenarkan untuk tampil ‘over the top’,” kata Encik Mohamad Syahrill Ahmad, 52 tahun.

Namun, perincian pada busana songket kini perlu dibuat dengan lebih berhati-hati.

Menurutnya, sulaman, manik dan mutiara tidak harus terlalu sarat sehingga menenggelamkan motif songket itu sendiri.

Bagi koleksi Gemilang, Putih Bridal memperkenalkan sentuhan sulaman, kerja manik tradisional serta mutiara bagi memberikan kelainan pada baju kurung dan kebaya songket mereka.

Sementara itu, Aura Blush Wedding Gallery menganggap kebaya sebagai antara gaya songket yang paling malar segar.

Aura Blush Wedding Gallery mengekalkan pesona kebaya dan kurung songket, sambil memperkenalkan unsur lebih segar seperti potongan moden dan gaya lebih ringan untuk pengantin masa kini.
Aura Blush Wedding Gallery mengekalkan pesona kebaya dan kurung songket, sambil memperkenalkan unsur lebih segar seperti potongan moden dan gaya lebih ringan untuk pengantin masa kini. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Pengasas jenama itu, Cik Nur Zayanah Zainal, 41 tahun, berkata walaupun terdapat sentuhan moden seperti potongan fishtail (mermaid’s cut atau potongan duyung) atau gaya lebih ringkas, unsur tradisional seperti songket dan sanggul lintang masih terus digalakkan dalam penampilan pengantin.

“Dari dulu hingga kini, kebaya akan selalu ada,” katanya.

Menurutnya, generasi muda kini semakin menghargai gaya ‘old-school’ seperti kebaya dan baju kurung, namun mahu ia digayakan dengan sentuhan lebih segar.

Bagi butik pengantin itu, songket bukan sekadar fabrik yang indah, tetapi busana istimewa yang jarang dikenakan dalam kehidupan harian.

Justeru, ia terus membawa makna yang mendalam apabila dipakai pada detik-detik penting seperti majlis perkahwinan dan sambutan Hari Raya.

Dengan potongan lebih kemas, perincian lebih halus dan gaya sederhana, songket pengantin terus membuktikan warisan boleh kekal hidup apabila diberi ruang untuk berkembang bersama cita rasa zaman.