Hampir 40 peserta terdiri daripada bapa dan anak-anak mereka telah menjelajah hampir 10 kilometer serata Singapura bagi mencari masjid-masjid bersejarah dan menjawab teka-teki untuk muncul sebagai juara dalam perlumbaan ‘Mosque Quests’ yang diadakan baru-baru ini.
Meningkatkan lagi cabaran perlumbaan serupa program realiti, Amazing Race itu, peserta hanya dibenarkan menaiki bas dan kereta api untuk ke destinasi tujuan mereka.
Acara pada 23 November itu dianjurkan oleh gerakan Bapa Sepanjang Hayat dan Masjid Al-Huda sempena ulang tahun ke-100 masjid di Bukit Timah itu.
Menurut Naib Pengerusi 2, Masjid Al-Huda, Encik Ahmad Farid Mohd Fadzuli, acara itu bertujuan merapatkan hubungan bapa dengan anak-anak mereka sambil menambahkan pengetahuan peserta tentang budaya Islam dan sejarah masjid di Singapura.
Kegiatan itu melibatkan 10 masjid yang terletak di kawasan bersejarah Singapura seperti Masjid Sultan, Masjid Omar Kampong Melaka dan Masjid Jamae Chulia.
“Peserta diberi gambar yang sengaja diubah dan teka-teki pada permulaan acara.
“Penyelesaian teka-teki itu dapat membawa mereka ke masjid-masjid tersebut. Mereka dikehendaki mencatat fakta-fakta tertentu menurut soalan-soalan yang diberikan,” kata Encik Ahmad Farid.
“Setiap pasukan dianggotai seorang bapa dan dua orang anak.
“Mereka harus merancang perjalanan ke masjid-masjid tersebut dan hanya boleh menaiki bas dan MRT. Mereka dilarang menaiki teksi atau perkhidmatan Grab atau Gojek.
“Tujuannya supaya anak-anak dapat merancang perjalanan secara strategik dengan bapa mereka dan beriadah bersama,” tambah beliau.
Menurut Encik Ahmad Farid, ini kali pertama acara sedemikian diadakan di Singapura dan maklum balas yang diterima daripada peserta amat baik.
“Sebanyak 12 pasukan menyertai acara ini dan mereka terdiri daripada bapa dalam lingkungan 30-an hingga 50-an tahun dan kanak-kanak dan remaja berumur lima hingga 16 tahun.
“Walaupun penat, dengan perjalanan hampir 10 kilometer, mereka berkongsi yang mereka gembira dapat melawati semua masjid dalam jangka masa yang ditetapkan,” katanya.
Peserta turut digalakkan merakam perjalanan mereka dan memuat naik rakaman itu di media sosial.
“Tujuannya adalah untuk mencetuskan kenangan manis, mengeratkan hubungan mereka dan juga mendedahkan bakat yang terpendam,” kata Encik Ahmad Farid.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg