Setiap hari, Shaik Muhammad Yusoff Shaik Ibrahim meluangkan 10 hingga 20 minit membaca bersama anak lelakinya, Umar Al-Jabir, enam tahun, sebagai persiapan memasuki sekolah rendah pada 2025.
Amalan itu dimulakan sejak 2023 ketika Umar di Tadika 1.
Ini setelah gurunya memberi maklum balas bahawa kanak-kanak itu tidak boleh membaca dengan lancar. Dia juga malu untuk bercakap kerana pelat menyebut huruf ‘r’.
Walaupun kanak-kanak Darjah 1 dan 2 tidak lagi perlu menduduki peperiksaan sejak 2019, Shaik Muhammad Yusoff dan isterinya, Sharifah Mahani Syed Zainal Abidin Alhabshee, tetap risau tentang anak ketiga mereka itu.
Mereka membeli set koleksi buku, Peter and Jane, yang mengandungi 36 buku cerita dan mudah digunakan ibu bapa yang mahu mengajar anak mereka membaca.
Usaha gigih bapa dan anak itu berbaloi kerana kini, guru Umar berkata penguasaan bahasa Inggerisnya cukup mantap.
“Guru tadikanya berkata Umar kini bersedia, bukan untuk pelajaran peringkat Darjah 1 malah Darjah 2.
“Saya juga mendapati Umar dapat mengeja dan membaca perkataan sebaik, atau lebih baik, daripada abangnya yang berumur lapan tahun,” kata Shaik Muhammad Yusoff yang bekerja dari rumah sebagai jurujual serantau dengan syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Ditanya mengapa mereka tidak menghantar anak ke kelas persiapan Darjah 1 yang selalu menawarkan program membaca, Sharifah Mahani, 37 tahun, berkata apa yang diajar guru di sekolah sudah mencukupi tetapi perlu diperkukuh dengan latihan di rumah.
“Jika saya menghantarnya ke kelas pengayaan, ia tidak mendatangkan perbezaan jika tidak ada komitmen di rumah.
“Jika ibu bapa tidak terlibat dalam apa yang dilakukan anak-anak mereka, sama ada pendidikan, akademik, sosial atau apa sahaja, saya rasa ia tidak akan membantu mereka membuat peralihan kepada fasa seterusnya dalam kehidupan mereka,” kata guru sekolah rendah itu.
“Saya percaya anak-anak pada umur ini, apa yang mereka mahukan ialah ibu bapa mereka ada dengan mereka. Berdasarkan pengalaman saya, penglibatan ibu bapa membawa kesan kepada kehidupan dan pembelajaran anak,” tambahnya.
Menurut pengasas bersama Future Khulafa yang menawarkan program persiapan Darjah 1, Sharifah Fatimah Azzahra Alhaddad, berdasarkan pengalaman sedekad beliau sebagai pendidik, beliau melihat ada ibu bapa tidak begitu mementingkan kemahiran pendidikan anak mereka kerana menganggap anak-anak masih sangat kecil.
Beliau juga melihat ada ibu bapa yang benar-benar gigih mempersiap anak-anak mereka.
“Ini sangat bergantung kepada individu. Namun, sebagai pendidik, pandangan kami ialah pendidikan bermula di rumah dan diperkukuhkan di rumah.
“Tutor atau pusat pengayaan hanya berjumpa murid seminggu sekali; dan prasekolah hanya untuk beberapa jam sahaja. Melainkan pelajar ke tajaka, mereka meluangkan lebih banyak masa di rumah berbanding di dalam kelas,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa pelajaran di rumah tidak semestinya membosankan kerana terdapat banyak permainan dan kegiatan yang mengukuhkan kemahiran yang perlu mereka ketahui sebelum Darjah 1.
Sharifah Fatimah Azzahra berkata kebanyakan prasekolah memberi penekanan kepada peluang berinteraksi dan bermain yang penting untuk kanak-kanak.
Tetapi disebabkan saiz kelas, sukar untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat perhatian dan masa yang diperlukan untuk mengasah kemahiran akademik mereka pada tahap umur yang sesuai.
Ini bermakna kanak-kanak yang berada di belakang rakan sebaya mereka terus ketinggalan sedang kurikulum berkembang.
“Ini dapat dilihat dengan jelas pada pelajar Tadika 2 yang sedang membuat persediaan untuk Darjah 1 kerana sebahagian daripada mereka membaca pada tahap Darjah 1 dan yang lain hampir tidak mengetahui abjad mereka,” ujar beliau.
Bagi Shaik Muhammad Yusoff dan Sharifah Mahani, mereka mempunyai rutin harian selepas semua anggota keluarga pulang selepas kerja dan sekolah.
Mereka menunaikan solat maghrib secara berjemaah dan bersembang, mengaji Al-Quran atau menyelesaikan kerja sekolah di ruang tamu flat eksekutif mereka di Pasir Ris.
Sharifah Mahani akan membimbing anak pertama dan kedua yang berumur 10 dan lapan tahun dalam kerja sekolah, manakala Shaik Muhammad Yusoff membaca dengan anak-anak lebih kecil berumur tiga, empat dan enam.
“Sejauh ini, kami lihat Umar bersedia dan tidak sabar untuk ke Darjah 1. Selain membaca, dia juga boleh mengira dan melakukan tolak dan tambah.
“Dia bertanggungjawab dan berkelakuan baik terhadap adik-beradiknya. Tapi dia mudah menangis jadi kami sedang membantunya dalam mengawal emosi,” kata Shaik Muhammad Yusoff, 38 tahun.
Sharifah Mahani menambah, walaupun beliau mempunyai sumber pelajaran untuk peringkat Darjah 1 dan 2, beliau tidak menggunakannya dengan Umar.
“Saya mahu gurunya yang mengajarnya ilmu dan konsep itu apabila tiba masanya.
“Saya tidak mahu dia hilang minat dan tidak memberi perhatian di dalam kelas kerana sudah belajar semua itu terlebih dahulu di rumah daripada saya,” katanya.
Selain keupayaan akademik, Shaik Muhammad Yusoff dan Sharifah Mahani turut memastikan Umar diajar kemahiran lain yang diperlukan apabila dia melangkah ke sekolah rendah.
Ini termasuk mengemas beg, memegang pensel dan gunting dengan betul, beratur untuk membeli makanan dan membuat bayaran dan mengambil baki wang.
Mereka juga memastikan Umar membiasakan dirinya bangun sekitar 5 pagi untuk bersiap sebelum keluar rumah untuk ke sekolah di Bedok pada 6 pagi.
Guru tadika, Cik Siti Maryam Mohd, berkata apabila ibu bapa meluangkan masa untuk anak mereka, penting untuk mereka hentikan apa yang mereka lakukan dan beri tumpuan penuh.
Memperuntukkan masa khusus untuk bermain, membaca atau berbual membolehkan ibu bapa mengetepikan gangguan seperti telefon dan televisyen supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada masa bersama anak, katanya.
“Perhatian yang tidak berbelah bagi ini mengukuhkan ikatan antara ibu bapa dengan anak dan membantu ibu bapa lebih memahami keperluan dan minat anak mereka,” kata Cik Siti Maryam.
Beliau menambah, adalah penting untuk ibu bapa menekankan usaha daripada hasil kerana ini dapat memupuk minda pertumbuhan dalam kanak-kanak.
Pendekatan ini membolehkan kedua-dua ibu bapa dan anak meraikan peningkatan dan pencapaian kecil dan ini dapat meningkatkan keyakinan dan dorongan dalam diri anak.
Apabila membimbing anak di rumah, Cik Siti Maryam mengesyorkan agar ibu bapa menyasarkan kegiatan tertumpu selama 10 hingga 15 minit pada satu-satu masa.
Ini kerana lazimnya di rumah, tumpuan perhatian kanak-kanak lebih pendek kerana terdapat pelbagai gangguan.
“Pendekatan yang disasarkan ini boleh mengekalkan penglibatan dan menjadikan pembelajaran lebih berkesan,” kata Cik Siti Maryam.
“Apa yang paling penting, ibu bapa harus tidak terburu-buru dan mengelakkan daripada terlalu tegas dengan diri sendiri atau anak-anak. Mengimbangi pembelajaran dengan bermain memastikan proses itu kekal menyeronokkan untuk kedua-duanya, mewujudkan perkaitan positif dengan pendidikan dan masa keluarga,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg