Anaknya akan memasuki sekolah rendah pada 2025 dan kerisauan yang dirasakan oleh Cik Nur Adibah Mahat sama sahaja seperti yang dialami kebanyakan ibu bapa lain di Singapura.
Beliau menyifatkan dirinya sebagai ibu ‘kiasu’ (takut kalah dalam dialek Hokkien) dan mahu masukkan anaknya itu ke dalam pelbagai program persiapan untuk Darjah 1.
“Cikgu di prasekolah selalu cakap dia okey. Tapi saya risau. Saya tak mahu dia ketinggalan di Darjah 1 nanti.
“Di Singapura, pendidikan akademik sangat penting. Pengetahuan asas dia perlu bagus,” kongsi Cik Nur Adibah, 38 tahun.
Namun ibu empat anak berusia antara dua dengan 18 tahun itu menghadapi kekangan dari segi kewangan, untuk menghantar anak keduanya itu ke program yang beliau rasa dapat melengkapi pengajian di prasekolah yang beliau rasa tidak mencukupi.
Beliau baru sahaja mula pekerjaan kontrak pada awal Oktober setelah beberapa tahun menjadi suri rumah dan suaminya bekerja sambilan sebagai pemindah barang.
Keluarga enam beranak itu tinggal di flat sewa awam di Ang Mo Kio.
“Anak saya boleh baca, boleh lakukan tolak, tambah. Tapi saya rasa tak cukup. Saya mahu anak saya mempunyai asas yang baik supaya dia boleh maju sendiri.
“Saya nak masukkan dia ke kelas pengayaan, tapi saya, bukan kata tak mampu. Saya mampu. Tapi kalau saya bayar untuk itu, saya tak boleh bayar untuk benda lain,” kongsi Cik Nur Adibah.
“Saya bercakap dengan beberapa ibu-ibu lain di blok saya dan mereka pun mempunyai kerisauan yang sama.
“Jadi kami cuba, setiap hari, kami luangkan 10 minit membaca dengan anak kami. Kami ajar perkataan yang biasa digunakan dalam bahasa Inggeris. Saya juga sudah mula latihan ejaan dengan anak saya,” tambahnya.
Berkongsi pengamatannya, pengurus kanan di Pusat Khidmat Keluarga (FSC) Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) Barat, Cik Nooraini Mohd Razak, berkata ibu bapa daripada keluarga berpendapatan rendah, sama seperti ibu bapa lain di Singapura, prihatin tentang persiapan anak-anak mereka melangkah ke Darjah 1.
Namun disebabkan sumber mereka yang terhad, mereka perlu membuat keputusan mengikut kemampuan kewangan mereka.
Selain tidak dapat menghantar anak-anak ke kelas tuisyen atau pengayaan disebabkan keterbatasan kewangan, Cik Nooraini berkata jadual kerja ibu bapa daripada keluarga berpendapatan rendah sering menghalang mereka daripada memperuntukkan masa untuk membantu anak-anak mereka dari sudut akademik.
Ramai ibu bapa muda juga mengalami kesukaran dengan proses pentadbiran ketika mendaftarkan anak-anak mereka ke Darjah 1, sekali gus menimbulkan tekanan tambahan.
Ibu bapa yang berpendidikan lebih rendah juga mengalami cabaran dengan tugas mudah seperti menghadiri orientasi atau taklimat sekolah, apatah lagi jika dijalankan melalui wadah seperti Zoom.
Beberapa ibu bapa juga mungkin kurang yakin untuk menyediakan sokongan akademik di rumah disebabkan pendidikan mereka yang terhad atau masa bekerja yang panjang.
“Dari segi akademik, tekanan untuk memastikan anak-anak mereka memenuhi kemahiran asas literasi dan menghitung sebelum Darjah 1 adalah ketara… lebih-lebih lagi apabila ibu bapa tidak mampu menghantar anak mereka ke prasekolah atau memberikan sokongan akademik di rumah,” kata Cik Nooraini.
Beliau turut menambah bahawa FSC PPIS menawarkan sokongan kewangan kepada keluarga berpendapatan rendah untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas pengayaan atau tuisyen.
Mujur bagi Cik Nur Adibah dan jiran-jirannya, sekitar Mei, satu kelas persiapan bagi kanak-kanak yang bakal memasuki Darjah 1 dimulakan oleh seorang relawan yang merupakan guru Tadika 2 dengan pengalaman mengajar sekitar 10 tahun yang dikenali sebagai Cik Cheryl Kaur.
Sedang relawan itu mengajar kanak-kanak, ibu-ibu membantu dalam perancangan kurikulum dan turut menawarkan rumah mereka sebagai ruang belajar.
“Cik Cheryl tinggal tidak jauh dari blok kami. Jadi beliau datang ke rumah jiran saya dan mengajar lebih kurang tujuh kanak-kanak di sini.
“Kelas diadakan setiap Sabtu selama 30 minit. Beliau mengajar kanak-kanak membaca dan juga memperkenalkan mereka kepada perkataan yang selalu digunakan dalam bahasa Inggeris,” ujar Cik Nur Adibah.
Kelas itu bagaimanapun dihentikan buat masa ini kerana jiran yang biasanya menyediakan ruang untuk kelas diadakan telah berpindah.
Cik Nooraini berkata lebih banyak perlu dilakukan untuk memberi permulaan sama rata bagi kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah.
Bagi memastikan semua kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang keluarga mereka, mempunyai peluang yang sama rata untuk berjaya di sekolah, sokongan mesti dihulurkan melangkaui persiapan sosial dan akademik anak itu.
Ia harus turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa ibu bapa dengan kemahiran, pengetahuan dan keyakinan untuk menyokong pendidikan anak-anak mereka dengan berkesan, katanya.
“Ibu bapa yang mempunyai pengalaman negatif dengan sistem pendidikan, atau yang mungkin tidak menghargai sepenuhnya nilai jangka panjang pendidikan, memerlukan bimbingan tambahan,” kata Cik Nooraini.
“
“Dari segi akademik, tekanan untuk memastikan anak-anak mereka memenuhi kemahiran asas literasi dan menghitung sebelum Darjah 1 adalah ketara… lebih-lebih lagi apabila ibu bapa tidak mampu menghantar anak mereka ke prasekolah atau memberikan sokongan akademik di rumah.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg