Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bapa galak anak prihatin keperluan masyarakat melalui kerja amal

Mar 20, 2025 | 5:30 AM
Encik Muhammad Ilhami Kalil (dua dari kiri) dan isterinya, Cik Marlia Sanwan, menggalakkan anak-anak mereka, (dari kiri) Muhammad Afiq Hakim, Muhammad A’kif Rizqeen dan Muhammad Alif Qusairy melakukan kerja sukarelawan agar dapat rasai nikmat kepuasan membantu sesama manusia dan bersyukur dengan apa yang mereka ada.
Encik Muhammad Ilhami Kalil (dua dari kiri) dan isterinya, Cik Marlia Sanwan, menggalakkan anak-anak mereka, (dari kiri) Muhammad Afiq Hakim, Muhammad A’kif Rizqeen dan Muhammad Alif Qusairy melakukan kerja sukarelawan agar dapat rasai nikmat kepuasan membantu sesama manusia dan bersyukur dengan apa yang mereka ada. - Foto ihsan MUHAMMAD ILHAMI KALIL

Setiap kali melakukan kerja amal dan sukarela, Encik Muhammad Ilhami Kalil, sering menitipkan pesanan kepada anak-anaknya.

“Jangan selalu mendongak ke langit. Kita perlu selalu berpijak pada bumi yang nyata.

“Kehidupan itu ibarat lautan, ada pasang surutnya,” katanya.

Pesanan itu diingati dua anak lelakinya yang sudah remaja, Muhammad Afiq Hakim, 18 tahun, dan Muhammad Alif Qusairy, 15 tahun, apabila berkhidmat di bawah program Cabaran Belia Ramadan (RYC) di beberapa masjid serata Singapura.

Ia memberi peluang kepada mereka menyumbang kepakaran secara khidmat sukarela dalam bidang seperti penyuntingan video dan logistik acara.

Encik Muhammad Ilhami, 48 tahun, sendiri juga selalu melakukan kerja sukarelawan, seperti berkhidmat dalam kumpulan kariah semasa Ramadan.

Apabila tiba peluang melakukan kerja sukarelawan secara sekeluarga, seperti mengagihkan barangan keperluan kepada golongan memerlukan, beliau dan isteri, Cik Marlia Sanwan, 48 tahun, tidak akan melepaskannya.

Pasangan itu mempunyai seorang lagi anak berumur tiga tahun.

“Saya selalu berpesan kepada anak-anak, jika kita mahu menjadi orang yang baik, selain mempunyai akhlak baik, kita perlu pastikan yang kita juga berbakti kepada orang lain.

“Usah selalu fikir yang kita serba ada,” kata pegawai kanan audio visual di Hospital Gleneagles itu.

“Kita perlu tahu apa itu tanggungjawab dan keutamaan. Daripada situ, kita perlu belajar memberikan masa untuk keluarga, untuk diri sendiri dan untuk masyarakat.

“Kita perlu prihatin akan keperluan masyarakat seperti apakah keperluan asas semasa Hari Raya dan sebagainya.

“Sumbangan yang boleh kita beri semula kepada masyarakat termasuk masa, dan wang ringgit, kalau ada kelebihan,” tambahnya.

Encik Muhammad Ilhami berkata setiap pengalaman melakukan kerja sukarelawan yang dilalui beliau dan keluarga berbeza.

Namun ada yang sukar dilupakan, seperti apabila mereka membantu pasangan warga emas yang hidup berdua dalam keadaan hiba.

“Suami yang sudah uzur sedang merawat isteri yang terlantar di katil. Mereka berdua sahaja yang tinggal dalam flat empat bilik yang begitu kosong. Hanya ada satu peti televisyen di tengah-tengah ruang tamu. Mereka tidak ada sofa atau meja makan.

“Pengalaman ini membuka mata dan minda kami bahawa satu hari kami yang muda akan juga tua. Kami merenungkan apakah kami sudah bersedia untuk pengakhiran kami kelak?” kongsinya.

Seperti kebanyakan keluarga yang suka melakukan kerja relawan, Encik Muhammad Ilhami berkata cabaran utama yang dihadapi adalah berkaitan masa kerana beliau dan isteri bekerja dan anak-anak pula bersekolah.

Justeru keluarga itu akan berbincang dan menetapkan jadual melakukan kerja sukarelawan bagi minggu atau bulan tertentu.

Antara lain, keluarga itu perlu menetapkan hari untuk memberi barangan keperluan, membungkus pek habuan dan mengagihkan pek itu kepada golongan memerlukan.

Menurut Encik Muhammad Ilhami, melakukan kerja sukarelawan secara bersama membolehkan setiap anggota keluarga mengenal pasti kekuatan masing-masing.

“Misalnya, kita dapat mengetahui siapa yang lebih baik dalam mengatur perbelanjaan dan siapa yang lebih bijak dalam mencadangkan barangan apa yang perlu dibeli.

“Kami juga belajar daripada satu sama lain. Ini adalah kemahiran hidup yang boleh diterapkan di mana-mana dan pada bila-bila masa, tidak kira sama ada kita bersama keluarga atau keseorangan,” kata Encik Muhammad Ilhami.

“Dengan mendedahkan anak-anak kepada kerja sukarelawan, kami berharap generasi muda dapat mengenal erti kehidupan dan sekali gus rasakan nikmat serta kepuasan membantu sesama manusia dan bersyukur dengan apa yang mereka ada,” tambahnya.

“Dengan mendedahkan anak-anak kepada kerja sukarelawan, kami berharap generasi muda dapat mengenal erti kehidupan dan sekali gus rasakan nikmat serta kepuasan membantu sesama manusia dan bersyukur dengan apa yang mereka ada,” tambahnya.”
Encik Muhammad Ilhami Kalil, bapa tiga anak yang aktif dalam kerja sukarelawan bersama keluarganya.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg