Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tugas relawan eratkan hubungan sekeluarga, terap nilai murni

Mar 20, 2025 | 5:30 AM
Encik Ruzaidie Dar Surnik (dua dari kanan) bersama (dari kiri) isterinya, Cik Haznita Jaafar, dan anak-anaknya, Cik Nyra Elleyeen dan Qyra Aneeqa, terlibat dalam pengagihan pek habuan di bawah program tahunan Ramadan on Wheels (ROW) yang dianjurkan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) pada 15 Mac.
Encik Ruzaidie Dar Surnik (dua dari kanan) bersama (dari kiri) isterinya, Cik Haznita Jaafar, dan anak-anaknya, Cik Nyra Elleyeen dan Qyra Aneeqa, terlibat dalam pengagihan pek habuan di bawah program tahunan Ramadan on Wheels (ROW) yang dianjurkan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) pada 15 Mac. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Bagi Encik Ruzaidie Dar Surnik, cara terbaik mengajar dua anak perempuannya tentang empati, tanggungjawab dan kebaikan hati adalah dengan menunjukkan mereka nilai-nilai tersebut dan bukan sekadar memberitahu mereka tentangnya.

Melibatkan mereka dalam kerja sukarelawan adalah salah satu cara beliau memupuk nilai-nilai murni itu.

“Melakukan kerja sukarelawan membantu mereka memahami sudut pandangan berbeza dan menghargai apa yang mereka ada.

“Ia juga membantu menunjukkan bahawa tindakan kebaikan kecil boleh mendatangkan perbezaan besar.

“Setelah beberapa tahun terlibat dalam kerja sukarelawan, mereka mempelajari bahawa membantu orang lain bukan hanya sesuatu yang baik, malah juga bermakna,” kata bapa berusia 47 tahun itu.

Encik Ruzaidie sendiri seorang relawan mapan dengan pengalaman menyumbang masa dan tenaga di masjid ketika remaja dahulu sebelum menyertai kegiatan pertubuhan lain.

Beliau menjadi relawan bersama Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) sejak 1997 dan masih aktif berkhidmat hingga kini.

Pada 15 Mac, Encik Ruzaidie bersama isteri, Cik Haznita Jaafar, 47 tahun, dan anak-anaknya, Cik Nyra Elleyeen, 19 tahun, dan Qyra Aneeqa, 16 tahun, terlibat dalam pengagihan pek habuan di bawah program tahunan, Ramadan on Wheels (ROW), yang dianjurkan 4PM.

“Melakukan kerja sukarelawan sangat penting bagi diri saya, dan apabila saya dapat melibatkan keluarga saya, ia menjadikan pengalaman itu lebih bermakna. Ia mengeratkan hubungan kami sekeluarga.

“Apabila kami melakukan kerja sukarela bersama-sama, kami bukan sahaja berbuat baik untuk orang lain malah kami turut mencipta kenangan dan pengalaman bermakna yang mengukuhkan ikatan kami,” ujar penolong pengurus di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu.

Qyra Aneeqa masih ingat lagi pengalaman pertamanya terlibat dalam kerja sukarelawan dan amal iaitu dengan mendermakan pakaian yang tidak lagi digunakan kepada Salvation Army.

“Pakaian itu dijual dan hasil penjualan itu disedekahkan kepada kebajikan.

“Usaha itu kemudian menjadi lebih praktikal dan kami mengambil bahagian dalam ROW pertama kami dan saya menjadi lebih terdedah kepada kerja sukarelawan,” kata pelajar sekolah menengah itu.

Menurut Cik Haznita, kali pertama keluarga itu melakukan kerja relawan bersama adalah pada 2022, semasa pandemik Covid-19.

“Ia kali pertama kami menjadi relawan bagi program ROW. Sambil memakai pelitup muka dan berpuasa, kami mengagihkan baucar dan bungkusan makanan kepada keluarga memerlukan.

“Anak-anak kami melihat betapa bermaknanya juadah mudah atau baucar bagi seseorang. Ia adalah peluang yang baik untuk anak-anak kami renungkan tentang ibadah puasa, amal dan semangat bermasyarakat,” kata pendidik itu.

Selain menjadi relawan bersama 4PM, Encik Ruzaidie berkongsi bahawa keluarganya juga turut menyertai pelbagai kegiatan relawan lain seperti menganjurkan perkhemahan belia untuk membimbing dan mendampingi pelajar, mengagihkan makanan dan keperluan harian kepada keluarga kurang bernasib baik dan membantu menyerikan rumah keluarga memerlukan.

Beliau berkata setiap anggota keluarganya mempunyai kekuatan yang melengkapi satu sama lain apabila mereka menyertai kegiatan sukarelawan.

“Isteri saya sangat teratur dan berkemahiran dalam menguruskan logistik. Beliau memastikan acara berjalan lancar dan semua orang tahu apa yang perlu dilakukan.

“Anak sulung saya sangat peramah dan mudah didekati. Beliau dapat berinteraksi dengan penerima manfaat dan sukarelawan dengan baik.

“Anak bongsu saya pula tekun memerhati dan perasan perkara yang orang lain terlepas pandang. Dia membantu memastikan semua aspek diselaraskan dengan baik.

“Bagi saya, saya suka memimpin dan menstruktur kegiatan untuk memastikan semuanya berjalan dengan cekap. Ia adalah keseimbangan yang baik, dan kami bekerjasama dengan berkesan,” katanya.

Encik Ruzaidie Dar Surnik memastikan kegiatan sukarelawan yang dilakukan keluarganya yang terdiri daripada isteri Cik Haznita Jaafar (dua dari kanan) dan anak-anak Cik Nyra Elleyeen (kiri) dan Qyra Aneeqa (kanan) adalah keputusan yang diambil secara sekeluarga, dan bukan sesuatu yang beliau meminta anggota keluarganya lakukan. 
Encik Ruzaidie Dar Surnik memastikan kegiatan sukarelawan yang dilakukan keluarganya yang terdiri daripada isteri Cik Haznita Jaafar (dua dari kanan) dan anak-anak Cik Nyra Elleyeen (kiri) dan Qyra Aneeqa (kanan) adalah keputusan yang diambil secara sekeluarga, dan bukan sesuatu yang beliau meminta anggota keluarganya lakukan.  - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Encik Ruzaidie akur mencari masa untuk melakukan kerja sukarelawan adalah antara cabaran terbesar yang dihadapi keluarganya yang sibuk dengan kerja, sekolah dan komitmen lain.

Namun keluarga itu dapat mengatasinya dengan membuat perancangan awal agar dapat disesuaikan mengikut jadual semua anggota keluarga.

Mereka turut memilih kegiatan yang jatuh pada hujung minggu dan cuti sekolah.

Menurut Encik Ruzaidie, beliau akan memastikan kegiatan sukarelawan yang dilakukan adalah keputusan yang diambil secara sekeluarga, dan bukan sesuatu yang beliau minta anggota keluarganya lakukan.

“Saya akan bincangkan peluang akan datang sebagai satu keluarga dan terangkan tentang tujuan yang disokong di sebalik setiap kegiatan.

“Saya juga galakkan ahli keluarga untuk mencadangkan idea jika mereka mempunyai sesuatu yang mereka minati dan kami sekeluarga akan meneroka cara untuk menyokongnya.

“Saya juga pastikan kegiatan yang dilakukan kekal bermakna kerana kerja sukarelawan haruslah merupakan sesuatu yang ahli keluarga saya nanti-nantikan dan bukan sesuatu yang mereka anggap sebagai tugas,” katanya.

Bagi Cik Nyra Elleyeen, pengalaman melakukan kerja relawan telah membantunya lebih memahami cabaran yang dihadapi orang lain dan menghargai apa yang beliau miliki.

“Ia juga membantu saya menjadi lebih bertanggungjawab dan komited untuk membawa perbezaan dalam masyarakat saya,” kata pelajar itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg