Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bapa tunggal bahagi masa kerja, urus makan pakai 6 anak

Mar 27, 2025 | 5:30 AM
Encik Asman Abdullah (berbaju biru) menyusun masa dengan teliti agar dapat menguruskan keperluan enam anaknya (dari kiri) Nurzahirah Damia Badriah, 10 tahun; Nurhannah Badriah, tiga tahun; Nurzahra Badriah, 14 tahun; Muhammad Rayyan Ayman Hakim, tujuh tahun; Muhammad Irfan Hakim, 25 tahun; dan Nur Zarith Sofiah Badriah, 12 tahun, di samping bekerja dan melakukan kerja sukarelawan.
Encik Asman Abdullah (berbaju biru) menyusun masa dengan teliti agar dapat menguruskan keperluan enam anaknya (dari kiri) Nurzahirah Damia Badriah, 10 tahun; Nurhannah Badriah, tiga tahun; Nurzahra Badriah, 14 tahun; Muhammad Rayyan Ayman Hakim, tujuh tahun; Muhammad Irfan Hakim, 25 tahun; dan Nur Zarith Sofiah Badriah, 12 tahun, di samping bekerja dan melakukan kerja sukarelawan. - Foto ihsan ASMAN ABDULLAH

Setiap awal bulan, Encik Asman Abdullah mengatur jadualnya dan jadual anak-anaknya untuk mencari masa bagi mereka sekeluarga meluangkan masa bersama di dalam atau luar rumah.

Beliau perlu melakukan demikian kerana jadualnya sebagai bapa tunggal yang bekerja dan aktif melakukan kerja sukarelawan sambil menjaga enam daripada tujuh anaknya, begitu padat.

Tanpa bantuan orang lain mahupun pembantu rumah, Encik Asman, 50 tahun, memasak dan menguruskan rumah, mencuci baju dan menggosok seragam sekolah anak-anaknya.

“Kadang-kadang, ketika sedang bekerja, saya terpaksa bergegas balik ke rumah pada waktu makan tengah hari, cepat-cepat memasakkan makanan untuk anak-anak dan balik semula ke kerja,” kata Encik Asman, yang bekerja sendiri sebagai penyedia tenaga kerja untuk acara.

Anak-anaknya, yang berumur antara tiga dengan 25 tahun, adalah hasil tiga perkahwinan yang berakhir dengan perceraian. Anak keduanya tinggal bersama ibunya.

Berkongsi cabaran menjaga dan membesarkan tujuh anak, Encik Asman berkata cabaran terbesar adalah mengimbangi masa dan perhatian kepada setiap anak sambil menguruskan rumah.

Setiap anak mempunyai keperluan dan keperibadian berbeza dan usaha memastikan mereka berasa dihargai dan didengar boleh menjadi agak mencabar, katanya.

Justeru beliau akan berusaha mencari masa bersama setiap anak, seperti dengan membantu mereka dalam kerja sekolah, bermain bersama atau bersembang.

Selain itu, jika ada masa lapang dalam jadual, beliau akan membawa anak-anaknya bersiar-siar di tepi pantai atau menonton televisyen di rumah bersama-sama.

Satu lagi cabaran adalah berkaitan kewangan, tambah Encik Asman, yang tinggal di flat dua bilik di Jalan Kukoh.

“Keluarga besar memerlukan penyusunan kewangan yang teliti, terutamanya dalam hal pendidikan, perbelanjaan harian, perubatan untuk anak-anak dan hari istimewa seperti Hari Raya,” kata Encik Asman, yang dua anaknya memerlukan perhatian khusus disebabkan masalah kesihatan yang dialami.

Beliau bagaimanapun bersyukur mempunyai sokongan daripada dua bekas isterinya yang membantu menguruskan aspek emosi serta perkembangan anak-anak.

“Bekas isteri saya membantu memainkan peranan dalam menyediakan dan memastikan pengalaman positif untuk anak-anak, misalnya dalam membeli baju Raya dan membawa mereka menziarahi sanak saudara,” kata Encik Asman.

“Sebagai ketua keluarga dan seorang ayah, saya perlu menunjukkan kepada anak-anak pentingnya ikatan silaturahim dan kerjasama keluarga.

“Bagi saya, adalah penting untuk kedua-dua ibu bapa, walaupun sudah berpisah, menyediakan dan memastikan anak-anak berasa disokong, mendapat perhatian dan disayangi.

“Saya bersama dengan bekas isteri, boleh mencipta memori dan suasana sambutan Hari Raya yang tidak dapat dilupakan dan menyeronokkan untuk anak-anak,” tambahnya, yang berkhidmat sebagai sukarelawan bersama gerakan Bapa Sepanjang Hayat.

Berkongsi persiapan menjelang Raya bagi keluarganya, Encik Asman berkata ia sederhana tetapi tidak kurang meriah.

Beliau telah membawa anak-anak membeli baju Raya sedondon bagi mewujudkan suasana kebersamaan dan mengeratkan hubungan keluarga.

Pada malam Raya nanti, beliau akan memasak lauk-pauk istimewa seperti rendang, sambal udang, lodeh dan ketupat.

“Persediaan perlu bermula awal. Daripada merancang untuk membeli pakaian baru kepada hidangan Raya, kami melakukannya selangkah demi selangkah untuk mengelakkan rasa tekanan pada saat akhir,” kata Encik Asman.

“Saya melibatkan anak-anak dalam tugas-tugas mudah seperti membersihkan dan menghias rumah serta mengajak mereka membantu di dapur apabila saya menyediakan hidangan Hari Raya.

“Ia membuatkan mereka berasa terlibat dan teruja untuk menyambut Aidilfitri,” tambahnya.

“Saya melibatkan anak-anak dalam tugas-tugas mudah seperti membersihkan dan menghias rumah serta mengajak mereka membantu di dapur apabila saya menyediakan hidangan Hari Raya. Ia membuatkan mereka berasa terlibat dan teruja untuk menyambut Aidilfitri.”
Encik Asman Abdullah, bapa tunggal dengan tujuh anak, dengan enam tinggal bersamanya.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg