Dalam keluarga ibu tunggal dengan tujuh anak, Cik Evarina Jani, perbincangan tentang pilihan warna baju Raya dilakukan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum Syawal.
Setelah warna ditetapkan, pakaian itu segera dibeli dalam talian bagi mengelakkan ‘waktu sesak’ apabila pilihan dan saiz menjadi terhad dan harga pula melonjak.
Persiapan menjelang Raya lain menyusul, seperti mengecat rumah, membeli kuih-muih dan menggantung lampu ‘lap-lip’.
“Kami menyambut Hari Raya dengan sederhana setiap tahun. Anak-anak menjangkakan baju baru, sekurang-kurangnya. Mereka juga ghairah menantikan masa memilih kuih Raya.
“Saya dan anak-anak lelaki akan mengecat rumah agar nampak berseri. Ia tidak mengambil masa yang lama kerana kami tinggal di flat sewa dua bilik.
“Kemudian kami menggantung lampu ‘lap-lip’,” kata Cik Evarina, 42 tahun.
Anak-anaknya berumur antara lapan dengan 16 tahun, dengan seorang daripada mereka mengalami palsi serebrum dan tidak boleh bercakap atau berjalan.
Cik Evarina, yang bekerja sepenuh masa sebagai teknisyen tuntutan dan bertugas sambilan sebagai pekerja penghantaran, bagaimanapun, tidak bersendirian dalam menjaga dan membesarkan anak-anaknya.
Beliau mempunyai sokongan padu daripada ibu bapa, adik serta adik iparnya, yang sentiasa bersedia membantu.
Seorang pembantu rumah juga menolong meringankan kerja rumahnya.
“Ibu bapa saya tinggal dekat dengan sekolah rendah anak-anak saya. Mereka membantu membeli keperluan dapur di Pasar Geylang Serai dan menampung gaji pembantu rumah.
“Adik dan adik ipar saya pula sentiasa bersedia memberi sokongan emosi atau membantu menjaga anak-anak sekiranya saya memerlukan sebarang bantuan segera.
“Mereka menyayangi anak-anak saya dan memanjakan mereka dengan barangan yang saya tidak akan atau mampu beri kepada mereka,” kata Cik Evarina yang berpisah dengan bekas suaminya sekitar 2020.
Walaupun begitu, sebahagian besar tanggungjawab menjaga anak-anak tetap berada di atas bahunya, justeru beliau tegas dalam memastikan anak-anaknya mengikuti rutin harian yang ditetapkan.
Ini termasuk menyelesaikan kerja sekolah dan mandi sebelum 6 petang, sebelum makan malam bersama selepas beliau pulang dari kerja.
Anak-anaknya juga membantu menjaga anaknya yang berkeperluan khas seperti memujuknya jika dia menangis dan berkongsi makanan dengannya. Mereka juga menolong pembantu rumah memandikan dan membersihkannya.
“Tanggungjawab yang dikongsi dan semangat membantu satu sama lain ini mencipta sekitaran keluarga yang menyokong dan juga membantu saya sedikit,” kata Cik Evarina, yang tetap mencari masa melakukan kerja relawan, mengikuti kegiatan kumpulan sokongan dan bersenam.
Namun beliau akur, sebagai ibu tunggal dengan ramai anak, cabaran kewangan amat dirasakan, terutama dalam menyediakan penjagaan perubatan bagi anaknya yang berkeperluan khas dan dalam memastikan keperluan semua anak-anak dipenuhi.
Keadaan itu menjadi lebih mencabar dengan kos sara hidup yang tinggi kini.
“Anak-anak sedang membesar dan selera mereka pun bertambah. Belanja bagi makanan dan pengangkutan adalah cabaran terbesar tapi tak boleh dielakkan.
“Sebenarnya cabaran ini bukan hanya dihadapi semasa musim perayaan tetapi sepanjang tahun.
“Cuma untuk Hari Raya, perbelanjaan banyak dilakukan sepanjang Ramadan dan Syawal untuk makanan, pakaian, kasut, gunting rambut, kuih, pengangkutan, duit salam untuk saudara-mara dan perbelanjaan lain,” kata Cik Evarina.
Beliau, bagaimanapun, mempunyai pelbagai cara memastikan perbelanjaan keluarganya menjelang musim perayaan, tidak terlalu tinggi.
Walaupun beliau jarang membeli juadah berbuka puasa dari bazar atau pasar malam semasa Ramadan, disebabkan saiz makanan yang kecil dan harga yang tinggi, beliau akan memastikan anak-anaknya tetap dapat menikmati makanan sedemikian dengan membuatnya sendiri di rumah.
“Saya akan membuat air balang, menggoreng keropok lekor dan memasak sajian barat fusion serta burger hingga anak-anak tak rasa teringin pun nak makan makanan bazar.
“Kami juga ke Mustafa Centre untuk membeli barang keperluan rumah dan makan sahur di luar,” kongsi Cik Evarina.
Bagi baju Raya pula, beliau berusaha mencari yang berharga berpatutan dari Malaysia atau Indonesia walaupun tidak mewah atau berjenama.
Seperti tahun-tahun sudah, Hari Raya pertama akan diluangkan di rumah orang tua Cik Evarina untuk menikmati pelbagai juadah yang ibunya telah sediakan.
Bagi dua minggu pertama Syawal, beliau dan anak-anak juga akan berada di rumah itu untuk menyambut tetamu dan menemui saudara-mara yang berkunjung.
Pada minggu ketiga, barulah Cik Evarina akan membawa anak-anaknya mengunjungi saudara-mara terdekat.
Beliau akan menyewa kenderaan yang boleh memuatkan semua anggota keluarganya dan juga kerusi roda untuk anaknya yang berkeperluan khas.
“Usaha saya untuk cuba mewujudkan suasana perayaan sambil menguruskan cabaran ibu tunggal ini kadangkala boleh membebankan emosi.
“Saya pun berasa penat kerana saya perlu memastikan semuanya terkawal dan teratur, dan semua orang gembira.
“Tapi saya yakin usaha saya untuk menggembirakan anak-anak saya adalah sesuatu yang tidak ternilai bagi mereka.
“Ia adalah satu pengalaman yang sentiasa dinanti-nantikan oleh keluarga kami,” kata Cik Evarina.
“
“Usaha saya untuk cuba mewujudkan suasana perayaan sambil menguruskan cabaran ibu tunggal ini kadangkala boleh membebankan emosi. Saya pun berasa penat kerana saya perlu memastikan semuanya terkawal dan teratur, dan semua orang gembira... Tapi saya yakin usaha saya untuk menggembirakan anak-anak saya adalah sesuatu yang tidak ternilai bagi mereka.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg