Bapa kepada pelakon jelita, Zara Zya, yang hanya ingin dikenali sebagai, Encik Mohd Zainuddin, menafikan dirinya menaruh dendam terhadap anaknya.
Menerusi satu temu bual bersama program hiburan, Melodi, yang ditukil Berita Harian Malaysia (BHM), Encik Zainuddin menjelaskan sebagai bapa, tidak mungkin dirinya membenci dan berdendam terhadap Zara.
Bagaimanapun, pada sesi temu bual itu, Encik Zainuddin enggan mengulas dengan mendalam kemelut antaranya dengan Zara, 39 tahun.
Sebaliknya, katanya, beliau mahu Zara sendiri menjelaskan apa yang berlaku.
Encik Zainuddin tidak mendedahkan wajahnya dalam temu bual itu.
“Saya tak nak komen banyak, biarlah Zara sendiri berikan komen.
“Sebagai ayah, tak mungkin saya berdendam dan membenci anak.
“Saya sentiasa rindu dan sayang, tak pernah sekilas membenci Zara. Tapi, terserah kepada Zara untuk berikan komen dan saya akan tetap tutup mulut,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada beliau punya pesanan mahupun luahan ingin dibuat kepada pelakon drama, Love You Mr Arrogant itu, Encik Zainuddin hanya berpesan agar Zara tidak melupakan dirinya sebagai bapa.
“Saya nak pesan, namanya adalah, Zainurul Razia Mohd Zainuddin. Sampai syurga itulah ayahnya dan tiada orang lain.
“Seburuk-buruk mana pun, saya tetap ayahnya,” tambah Encik Zainuddin.
Terdahulu, Zara berkongsi luahan mengenai bapanya di laman Instagram Threads miliknya, baru-baru ini.
Katanya, hubungan dengan bapa kandungnya bukan sahaja dingin, malah lelaki itu sanggup melemparkan hinaan sehingga terpaksa disekat dalam laman sosial.
Zara mendakwa bapanya sering menghina dan menggunakan beberapa akaun palsu dalam media sosial.
Bukan sahaja dalam talian, malah lelaki itu didakwa turut menghina Zara di luar talian.
Sementara itu, menerusi hantaran terkini dalam akaun Instagram Threads, Zara menulis, ‘play victim’ (bertindak seperti mangsa) berserta ‘emoji’ senyum.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg