Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

‘Barbarik Pentas Keras 2.0’ satukan artis rok legenda, pemuzik ‘underground’

Konsert pada 25 Nov beri penghormatan kepada empat album Wings terbitan Jo Branko, ketengah vokal bertenaga Muss
Nov 23, 2023 | 05:30 AM



Sekitar dua dekad lalu, penyanyi rok Muss dan gitaris Jo Branko pernah bekerjasama ketika kededuanya merupakan anggota band legenda, Wings.

Selama empat tahun lamanya, antara 1996 dengan 2000, Muss atau nama sebenarnya, Mustaffa Din, 55 tahun, terlibat dalam rakaman tiga album studio sewaktu Wings kehilangan vokalis mereka, Datuk Awie.

Muss yang juga naib juara peraduan realiti, Gegar Vaganza 7 (GV7) bahkan dianggap sebagai vokalis rok terbaik untuk mengisi kekosongan dalam Wings serta memberi impak besar buat peminat rok yang dahagakan muzik rok lebih bertenaga.


Masa berlalu dengan begitu pantas. Sesudah kededuanya kini tidak lagi bersama Wings, mereka bersatu hati membangunkan projek nyala rasa Barbarik Pentas Keras 2.0 pada Sabtu, 25 November, di Teater The Star.


Konsert mulai 8 malam itu dibawa ke Singapura oleh syarikat penganjur Offshore Entertainment.

Ia merupakan susulan edisi pertama, Barbarik Pentas Keras, yang dapat dikendalikan dengan jaya dan meraih sambutan besar di Zepp Kuala Lumpur, Malaysia.


‘Barbarik’ adalah judul yang dirasakan sesuai kerana ia mengambil sempena nama judul album ke-11 Wings, Mr Barbarik, yang diterbitkan pada 2000.


Selain Jo atau nama sebenarnya, Abdul Zamin Abdul Kadir, 54 tahun, dan Muss selaku teraju utama projek ini, pemuzik profesional lain yang turut membentuk Barbarik iaitu Ruzaimi (pemain bes) atau Rozaimi Rosli, Adi Yamin Yahya (pemain papan nada) dan Ainul atau Eqraf Ramli (pemain dram).

‘Barbarik’ itu kebiasaannya perlambangan watak yang canggung dalam persekitaran. Menongkah arus. Dianggap ganas, kurang bertamadun dan tidak berperikemanusiaan. Bagaimanapun, dalam konteks muzik hard rok , ia adalah perjuangan muzik ‘satu dalam seribu’.


Suara yang lantang akan menarik perhatian mereka yang prihatin tentang erti perjuangan hidup.

Penghormatan diberi kepada himpunan karya empat album Wings terbitan Jo Branko iaitu Orang Asing (1995), Biru Mata Hitamku (1996), Mencari Asal Usul (1998) dan Mr Barbarik (2000).


Ketika dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini, Jo menjelaskan konsert di Singapura lebih kemas dan teliti hasil maklum balas yang diterima berkenaan konsert pertama di Kuala Lumpur.


“Kami memilih lagu yang sesuai agar orang ramai dapat menikmati perjalanan konsert kami.

“Tumpuan diberi pada pembukaan, pertengahan dan penghujung konsert ini.

“Kita akan susun dengan kepekaan diberi pada ‘mood’ sesebuah lagu, detik mereka menari atau tempoh mereka perlu relaks seketika.

“Kita takkan buang masa atau memperpanjangkan tempoh konsert agar hiburan dapat dinikmati penonton.”

Muss pula akur gabungan antaranya dengan Jo ini memberikan sinergi sehala dalam usaha memajukan rok, irama yang tidak akan pernah mati untuk tempoh yang lama.

Menurut Jo, beliau dan Muss sebagai ‘abang-abang’ yang sudah banyak makan garam, seronok disertai pemuzik muda yang datang daripada band ‘underground’.

“Kami akan memberi usulan bagaimana ingin perbaiki persembahan agar lebih menarik lagi tatkala kami beralih daripada konsert 1.0 ke 2.0. Sudah pasti ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan diubah suai,” ujarnya lagi.

Keserasian yang dibina antara Jo dengan Muss banyak membantu dalam menjayakan konsert ini.

“Kami bergabung semula selepas 22 tahun. Saya akui Muss memiliki vokal yang sangat bertenaga dan sesuai untuk konsep ‘Barbarik’. Saya tak nampak penyanyi lain yang boleh sahut perancangan saya.

“Apabila ada Muss, segalanya dapat dilaksanakan dengan baik. Tak sangka kita dapat bersama kembali untuk selesaikan benda yang belum selesai dari segi perjuangan muzik rok ‘keras’ ini,” ujar Jo.

Menurutnya lagi, meskipun bukan lagi anak muda 20-an tahun yang mempunyai tenaga meluap-luap, idea tetap jalan terus bagi memikirkan perihal pencahayaan dan kejuruteraan bunyian yang harus disepadukan bagi acara 25 November ini.

“Saya amat berterima kasih kerana Offshore Entertainment memberikan sokongan untuk kami realisasikan impian mendekati peminat di Singapura.

“Sebelum ini, ada dalam kalangan mereka yang menyatakan keinginan hadir pada konsert di Kuala Lumpur tetapi tidak berkesempatan berbuat demikian kerana dihambat lalu lintas sibuk semasa Krismas.

“Dengan kami datang ke Singapura, diharapkan mereka dapat hadir memeriahkan konsert ini,” tambahnya.

Kededua Muss dan Jo meraih inspirasi daripada muzik band legenda Singapura lebih mapan, Sweet Charity. Jo juga terkesima dengan perjuangan kumpulan Rusty Blade.

“Sweet Charity adalah penanda aras muzik rok Melayu yang hebat. Saya amat menghormati Papa Rok, Datuk Ramli Sarip. Band ini pun baru sahaja menyambut ulang tahun ke-50. Mereka masih teruskan perjuangan majukan muzik rok.

“Saya dan Muss pula nak dekat 40 tahun terlibat dalam dunia seni. Kalau boleh, memang nak sampai usia lima dekad macam Sweet Charity atau mengatasi rekod itu,” katanya sambil tertawa.

Susah senang dunia seni telah diharungi kededuanya. Sewaktu mengimbas balik pengalamannya berlakon dalam filem Putera pada 1995, beliau berkata:


“Masa tu, tawarannya lumayan. Tapi saya anggap lakonan bukan bidang saya.

“Saya mencuba kerana nak tahu dunia bintang filem tu bagaimana. Saya memang tak pandai berlakon.

“Penerbit lamar saya kerana pada ketika itu, adalah juga populariti. Saya pula berusaha dapatkan bayaran yang berbaloi pada masa itu.

Muss yang enggan berlakon kerana berseloroh hanya mahukan watak hero sahaja pula berkata:

“Sebenarnya, kalau berlakon pun, saya cuma nak tahu perjalanan prosedur membuat filem. Kisah belakang tabirnya.

“Kita berlakon bukan untuk jadi pelakon. Hidup ini dah cukup dengan lakonan. Kalau ada yang berminat menawarkan saya dan Jo untuk berlakon bersama, janji kami diberi watak hero ya?”

Walaupun awalnya tidak mensasarkan GV7 sebagai fasa kerjaya selanjutnya tetapi cabaran pandemik Covid-19 dan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada dunia seni menyebabkannya menerima sahutan Astro.

“Ada baik buruknya peraduan sebegini. Tapi saya lebih ambil yang positif untuk saya belajar dari sudut persembahan dan juga merancang karya lanjutan seperti projek ‘Barbarik’ ini.

“Yang penting, kita jangan impikan mencapai sesuatu yang terlalu besar untuk digapai. Bahaya kalau kita ‘over’. Kita beri yang sepatutnya dan semampunya,” katanya yang berharap projek ini akan bertahan sampai versi 10.0 dan lebih daripada itu.

Jo pula menambah apabila projek konsert ini dijalankan, beliau hanya mahu mereka menikmati detik-detik bermakna dalam kerjaya seni mereka dan tidak dibelenggu stres. Apa yang penting lagu yang disampaikan Muss terus ‘masuk’ ke hati penonton.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >