Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Batu permata buatan makmal kian jadi pilihan pencinta fesyen mewah

Tepati cita rasa Gen Z yang pentingkan kemampanan, pengumpul berpengalaman yang ingin keunikan
Oct 17, 2025 | 1:39 PM
Scarlet Serenade, Diamond2
Anting-anting, rantai, dan cincin bertatahkan batu delima buatan makmal Scarlet Serenade, daripada kedai permata Diamond2. - Foto HER WORLD

Wanita moden kini memberi makna baru kepada kemewahan, bukan sekadar mengikut tradisi, tetapi dengan keanggunan yang bermakna.

Dalam dunia di mana gaya hidup mencerminkan nilai diri, perhiasan mesra alam buatan makmal menjadi cerminan keanggunan wanita moden.

Di Singapura, berlian berwarna dan batu permata buatan makmal menawan bukan sahaja dek kilauannya, bahkan nilainya yang unik.

Berlian dan batu permata buatan makmal lebih mesra alam, lebih mampu dimiliki, dan dengan warna berkilau serta rekaan yang memukau – ia jelas lebih ekspresif.

Dengan kata lain, perhiasan kini menjadi ‘perisai’ diri.

Sama ada batu nilam segelap malam; batu delima merah menyala; atau baru zamrud setenang pemandangan; batu permata buatan makmal ini direka khas untuk wanita yang ingin kelihatan memukau.

Batu permata buatan makmal tidak terbatas

Batu permata buatan makmal bukan batu tiruan, ia serupa dengan batu asli dari segi komponen bahan kimia dan visual.

Bezanya, ia dihasilkan tanpa beban perlombongan, masalah alam sekitar, atau kos tinggi.

Dengan harga 20 hingga 40 peratus lebih murah daripada batu permata asli, tetapi mempunyai mutu sama, ia memberi kebebasan bagi ruang kreatif – seperti yang mempunyai nilai karat lebih tinggi (peratusan emas lebih banyak) dan warna lebih menonjol.

Bagi pelanggan yang mementingkan alam sekitar, daya tarikannya lebih daripada sekadar penampilan.

Berlian, batu zamrud, atau delima yang dihasilkan secara mampan dan dengan ketelusan penuh adalah perhiasan yang mempamerkan keanggunan si pemakai.

“Batu permata berwarna buatan makmal seperti nilam, zamrud, dan delima adalah alternatif yang benar-benar mampan dan mampu dimiliki pencinta perhiasan,” kata pengasas bersama LeCaine Gems, Cik Ashley LeCaine.

“Anda boleh memiliki seutas perhiasan mewah sepenuhnya tanpa mengorbankan rupa, mutu, atau bajet,” tambahnya.

Dengan nilai pasaran AS$27.2 bilion ($34.7 bilion) pada 2024, pasaran berlian buatan makmal dijangka tumbuh hampir 12 peratus setahun sehingga 2033. 

Asia-Pasifik menjadi tumpuan bagi trend ini, didorong gaya hidup mewah, pengguna peka fesyen, dan minat terhadap pilihan lebih beretika.

Pasaran perhiasan S’pura semakin rancak

Kedai permata Diamond2, LeCaine Gems, dan Les Précieux – kesemuanya kini menggabungkan perhiasan batu asli dan buatan makmal – berkongsi pandangan mereka mengenai trend ini di Singapura.

Bagi pemilik Les Précieux, Encik Ryan Tong, perubahan ini paling jelas dalam koleksi barang perhiasan pengantin, lapor majalah Her World.

“Pasangan di Singapura kini lebih peka terhadap bajet dan kemampanan, yang mendorong peningkatan permintaan terhadap berlian dan batu permata berwarna buatan makmal,” kata Encik Tong.

“Batu berwarna semakin mendapat permintaan untuk cincin pertunangan, menunjukkan peralihan daripada tradisi klasik berlian batu tunggal,” jelas Encik Tong.

Di Diamond2, keseronokan terletak pada kebebasan dalam rekaan.

“Kami boleh mencapai ketepatan luar biasa – bukan sahaja pada warna asas, malah pada rona, ketepuan warna, serta ‘suhu emosi’ sesuatu batu permata,” kata Pengarah Eksekutif Diamond2, Encik Siddhartha Arya.

“Sama ada hijau pekat batu zamrud ala Colombia atau kelembutan pastel merah jambu nilam, kini kami boleh mengawal warna batu dengan cara yang sebelum ini sukar dicapai di luar alam semula jadi,” ujarnya.

Warna dan keyakinan

Dalam dunia fesyen, warna lebih daripada sekadar estetika – ia adalah bahasa.

Perkara yang sama juga dilihat dalam perhiasan: Nilam biru memancarkan ketenangan dalam ketegasan; delima merah menyerlahkan kuasa dan semangat; manakala zamrud melambangkan pertumbuhan, pembaharuan, dan keberanian.

Dengan hasil teknologi batu buatan makmal, warna-warna ini kini bukan lagi eksklusif untuk segelintir peminat permata sahaja.

Berlian biru asli seberat satu karat boleh mencecah ribuan dolar, manakala harga berlian biru buatan makmal mungkin mencecah beberapa ratus dolar sahaja.

Ini membolehkan wanita bermain dengan rona warna secara lebih berani dan penuh keyakinan.

Di LeCaine, pelanggan kini lebih bebas bereksperimen dengan rekaan.

“Kami melihat permintaan tinggi untuk rekaan khas yang menonjol dengan batu berwarna buatan makmal,” kata jurucakap LeCaine.

“Permintaan popular selalunya menampilkan palet warna yang ceria dan romantik – merah, merah jambu, dan biru.

“Pelanggan suka menggabungkan pelbagai bentuk dan saiz untuk mencipta rekaan unik,” katanya.

Perubahan generasi, cara berfikir

Pelanggan muda dari generasi milenial dan Gen Z, menjadi penggerak utama trend ini kerana mereka mengutamakan kemampanan dan kemampuan.

Namun, Encik Arya menekankan ia bukan sekadar trend generasi muda.

“Kami juga melihat minat yang konsisten daripada para pengumpul (permata) berpengalaman,” katanya.

“Bagi mereka, ia bukan tentang jenama, tetapi mutu, keunikan warna, dan rekaan.

“Apabila mereka melihat, memegang, dan merasa batu-batu itu sendiri, perbezaan antara batu buatan makmal dengan asli menjadi kurang penting.

“Ini bukan sekadar perubahan generasi, tetapi perubahan cara berfikir,” katanya.

Encik Tong turut bersetuju dengan kenyataan tersebut sambil menyerlahkan perbezaan pilihan gaya pelanggan.

“Pelanggan yang memilih berlian buatan makmal biasanya lebih gemar rekaan moden dan berani, manakala mereka yang memilih batu berwarna asli cenderung kepada gaya klasik dan halus,” tambahnya.

Justeru itu, batu-batu itu bukan sekadar memancarkan kilauan etika – ia turut mengubah cara perhiasan mewah direka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg