Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Barang kemas kini jadi aset pelaburan alternatif

Oct 8, 2025 | 5:30 AM
Rantai leher dari Caratell.
Rantai leher dari Caratell. - Foto CARATELL/ULTRALUXE

Jika sebelum ini barang kemas sering dianggap sebagai simbol gaya dan status, kini ia semakin dilihat sebagai satu bentuk pelaburan alternatif yang mampu mengekalkan nilai jangka panjang, malah diwarisi sebagai aset legasi.

Di pameran, UltraLuxe 2025, yang berlangsung dari 2 hingga 12 Oktober di Tent@Ngee Ann City Civic Plaza, pengunjung bukan sahaja berpeluang menyaksikan rekaan menawan, bahkan mengenal pasti jenama yang menawarkan nilai jangka panjang serta potensi dalam pasaran sekunder.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas UltraLuxe, Cik Angela Loh, penilaian terhadap nilai semula barang kemas bergantung pada tiga aspek utama iaitu batu permata, rekaan, dan asal-usul.

“Bagi batu permata, faktor yang menentukan adalah tahap kelangkaan, karat, potongan, kejernihan, serta asal-usulnya.

“Sebutir batu besar yang jarang ditemui, dengan kilauan luar biasa dan pedigri yang jelas, akan sentiasa menonjol,” jelas beliau.

Dari segi rekaan pula, barangan ikonik atau dicipta oleh pereka berprestij kekal diminati kerana keunikan seni dan ketukangan tradisi yang digunakan.

Malah, teknik warisan seperti Cameo, Glyptic Art, atau karya unik seperti Aletto Brothers, menjadikan sesuatu barang kemas bernilai melangkaui bahan asalnya.

Aspek ketiga adalah provenance, iaitu latar belakang sesebuah barang kemas.

Jika ia pernah dimiliki oleh tokoh terkenal, dicipta sebagai karya unik, atau disertai dokumentasi warisan, nilainya di pasaran sekunder meningkat secara semula jadi.

Trend pelaburan dalam barang kemas turut berubah mengikut generasi.

Jika dahulu berlian menjadi tumpuan, kini batu permata berwarna semakin mendapat perhatian.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pereka dengan rekaan ikonik dan imaginatif seperti Wallace Chan, JAR, dan Cindy Chao pula mendominasi pasaran mewah.

Cik Loh menambah, pereka baru seperti House of Umrao, Simone Jewels, Nadine Aysoy, Kelly Xie, dan Kimberly McDonald kian dicari kerana kerap dikaitkan dengan selebriti dan golongan elit.

Populariti itu bukan sahaja melonjakkan permintaan, malah meningkatkan harga karya mereka.

“Jika pembeli bijak mengenal bakat sejak awal, mereka boleh mendapatkan karya pada harga ‘permulaan’ sebelum nilainya meningkat seiring populariti jenama tersebut,” kata beliau.

Tidak seperti pelaburan lain, barang kemas membawa kelebihan tersendiri, iaitu ia boleh dipakai, mudah dibawa, dan memiliki nilai budaya serta emosi yang mendalam.

Cik Loh menasihatkan pelabur agar menilai barang kemas dengan empat kriteria utama: Kelangkaan batu permata dan bahan, rekaan yang menonjol, provenance dengan naratif kuat, serta masa yang tepat untuk membeli bakat baru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg