Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Itulah harapan penyanyi veteran Malaysia, Datuk Khadijah Ibrahim, ketika mengusulkan Bazar Amal Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di Balai Rakyat Kaki Bukit antara 18 dengan 20 Oktober.
Bazar itu bertujuan membantu rakan artis seperjuangan yang lebih memerlukan, baik dari segi kewangan mahupun dilanda penyakit kronik.
Selaku pengerusi Karyawan, Khadijah mengajak barisan artis Singapura dan Malaysia agar bersatu hati dalam menjayakan bazar amal yang pihaknya usahakan buat kali pertama di Singapura.
Ia bakal diadakan dengan kerjasama Balai Rakyat Kaki Bukit serta pengarah kedai makan R&W Bikerz Cornerz, Encik Sham A. Wahab.
Beliau juga pemilik syarikat penganjur acara dan pembekal sistem audio, CMX International.
Sejak 2000, Karyawan didaftar secara rasmi sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan nasib penggiat seni di Malaysia setelah melihat pelbagai masalah dan kemelut yang membelenggu industri hiburan dan seni di negara itu.
Atas daya usaha Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, pemuzik dan penggubah lagu yang tidak asing lagi di Malaysia serta rakan-rakannya, termasuk Khadijah, kegiatan kebajikan seperti konsert atau bazar amal untuk membantu artis dengan pelbagai kesulitan hidup dan krisis kesihatan telah dianjurkan.
Khadijah, 65 tahun, ingin memperkukuh lagi usaha mengumpulkan dana bagi membantu artis di Singapura yang memerlukan setelah menerima beberapa permintaan bakat seni Singapura yang ingin bekerjasama dengannya.
Beliau malahan sanggup turun padang di kedai makan R&W Bikerz Cornerz pada 28 Ogos lalu untuk memberitahu pelanggan kedai tersebut dan beberapa bakat seni Singapura tentang usaha murni itu.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 2 Oktober mengenai Bazar Amal Karyawan, Khadijah menjelaskan:
“Kegiatan yang kami laksanakan di Malaysia ingin diperluaskan ke Singapura atas permintaan bakat seni yang prihatin tentang nasib rakan artis yang hidup susah.
“Insya-Allah, Karyawan akan bergabung dengan barisan artis dari Singapura yang terdiri daripada penggiat seni, pelakon dan pemuzik watan. Lalu, kita akan satukan menjadi Persatuan Karyawan Singapura dan Malaysia.
“Seperti yang kita lihat, keadaan industri kita semakin suram. Kita harus lakukan sesuatu untuk mengumpulkan dana bagi membantu rakan artis yang memerlukan.
“Dengan adanya bazar amal seperti ini, ia merupakan cara yang paling senang dan terdekat untuk beramah dengan masyarakat yang akan meramaikan acara di Balai Rakyat Kaki Bukit nanti.”
Sementara itu, sewaktu dihubungi BH pula, Encik Sham menjelaskan kerjasama antara dua negara itu, terutama dengan persatuan seperti Karyawan adalah penting untuk membentuk rangkaian hubungan sesama artis di kededua negara supaya dapat mewujudkan matlamat dengan lebih berkesan.
“Memandangkan pasaran muzik kita agak kecil, kita perlu dapatkan sokongan daripada artis di Malaysia untuk menarik minat pencinta seni di Singapura dalam menjayakan usaha mengumpulkan dana ini.
“Lagi pun, Karyawan mempunyai wadah publisiti yang kuat. Dengan ini, kita berharap dapat menyelenggarakan bazar amal ini secara lebih luas,” kongsi Encik Sham pada 3 Oktober.
Seramai 40 artis, baik di Singapura mahupun Malaysia, akan bersama-sama menjayakan acara itu.
Antara mereka termasuk Haziq Rosebi, Azian Mazwan, J. Mizan, Wann, Safura, Yusman Umar, Zaiton Sameon, Rahmad Mega, Masnie, Zaibaktian, Imuda, Hairee Kool, Ezlynn, Rizz, Wan Scoin, Aan Ways, Eriy Ryzale, Norsiah Ramly dan ramai lagi.
Band Sejora dan Episodic juga bakal membuat persembahan di Bazar Amal Karyawan nanti.
Selain hiburan nyanyian, bazar itu juga akan dimeriahkan lagi dengan reruai yang menjual pelbagai produk seperti aneka juadah makanan, pakaian, minyak wangi, barang rumah dan sebagainya.
Bertemakan suasana di taman, para pengunjung dapat menikmati persembahan nyanyian sambil menjamah sajian makanan yang dijual artis terlibat seperti asam laksa, tulang merah, sambal tempoyak dan jenama kerepek popular oleh Safura.
Harga yang ditetapkan sangat berpatutan agar dapat memberi ruang kepada masyarakat untuk beramal tanpa rasa keberatan mengeluarkan sumbangan demi amal.
“Dengan menyatupadukan usaha daripada artis terlibat, kami berharap dapat membantu rakan seperjuangan kami dalam bidang seni ini dengan acara ini dijangka lebih meriah,” jelas Khadijah.
Apabila ditanya mengenai perancangan kerjasama Karyawan dan artis Singapura pada masa depan, beliau berkata:
“Memandangkan ini kali pertama kami adakan acara bazar amal di Singapura, kami anggap usaha ini sebagai percubaan dan pastinya saya berharap kami dapat teruskan kegiatan sebegini pada masa akan datang,”
Kegiatan kebajikan lain seperti konsert makan malam dan peragaan fesyen bersama barisan artis muda popular dari Malaysia masih dalam perancangan untuk direalisasikan pada 2025.
Mereka yang berminat untuk menempah reruai di Bazar Amal Karyawan antara 18 dengan 20 Oktober boleh menghubungi Cik Dyllah menerusi e-mel dyllah@eleventoco.com atau Cik Shakira menerusi e-mel shakira@eleventoco.com.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg