Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Be Tough' penawar cinta terkini duo malar segar Air Supply

Dec 16, 2022 | 05:30 AM



TIDAK semua kisah cinta berakhir dengan kebahagiaan. Ada yang menutup tirainya dengan seribu satu kehancuran.



Di sebalik segalanya, seseorang itu harus cekal dan berani menghadapi apa jua rintangan dan kekecewaan menyulam kasih tak sampai.



Pesanan itu datang daripada kumpulan duo malar segar Air Supply yang disifatkan majalah antarabangsa Time sebagai band paling romantik di dunia.



Russell Hitchcock, 73 tahun, dan Graham Russell, 72 tahun, menyisipkan nasihat cinta itu dalam lagu terkini mereka, Be Tough, yang rasanya sesuai untuk memberi kekuatan bukan sahaja dalam konteks putus cinta tetapi dalam mengharungi pandemik yang perit.



Hitchcock dan Russell diterbangkan syarikat penganjur dan promoter konsert Unusual Entertainment ke Singapura baru-baru ini bagi konsert jelajah sempena ulang tahun ke-45 band ini, Air Supply 45th Anniversary Tour - The Lost In Love Experience di Stadium Tertutup Singapura.



Sebelum ke Singapura, mereka berkonsert di Indonesia dan selanjutnya ke Filipina dan Genting Highlands di Malaysia.



Band yang dibentuk di Melbourne, Australia pada 1975 ini sudah beberapa kali datang ke Kota Singa sejak 1981.



Setiap kali datang, mereka akan bawa cendera hati berupa lagu baru meskipun yang ramai nantikan adalah lagu malar segar Sweet Dreams, Even The Nights Are Better, Every Woman In The World, Goodbye, The One That You Love dan Lost In Love.



"Tak semua cinta itu indah walaupun pada dasarnya jatuh cinta itu perasaan murni yang menggembirakan.



"Namun kehidupan harus diteruskan dan kita harus tabah walau apa jua keadaan... kuat melalui segala yang meremukkan perasaan. Inilah menjadi inti lagu terbaru kami Be Tough," kata Hitchcock.



Konsert tempoh hari bukan sahaja meraikan irama cinta sayu mendayu tetapi turut menyemarakkan erti persahabatan buat kededuanya yang sudah mengenali satu sama lain sejak 50 tahun lalu.



"Ada banyak persamaan antara kami. Kali pertama saya bertemu Russell adalah di set pementasan muzikal Jesus Christ Superstar.



"Dahlah namanya dan nama keluarga saya sama iaitu Russell. Kami lahir pada bulan yang sama iaitu Jun. Cita rasa kami pada muzik pun sehala.



"Selama 50 tahun, kami tidak pernah bergaduh. Kalau anda mengenalinya, anda akan tahu mengapa aman berkawan dengan orang sepertinya. Dialah sahabat sejati saya," ujar Russell penuh sanjungan buat rakannya.



Hitchcock ternyata mementingkan rasa tanggungjawab, saling memahami dan baik budi.



Pesannya pada 5,000 penonton pada hari itu:



"Budi baik akan bawa kita pergi jauh dalam kehidupan. Kongsi budi anda dan perkara baik-baik akan singgah ke dalam hidup anda."



Banyak nostalgia yang mungkin singgah di jiwa hadirin yang pastinya terkenang zaman mereka dewasa dan bertemu pasangan masing-masing sekitar 1980-an.



Malah, ada ibu bapa yang turut membawa anak remaja mereka untuk menikmati lagu cinta yang menekankan erti pengorbanan, pemahaman dan kesetiaan.



Russell yang begitu meminati keindahan penulisan dan bahasa sempat membacakan puisi yang dicoretkannya. Ia ibarat membawa anda ke ruang lebih nyaman di pinggir sungai sambil mata ini menikmati alam semesta menghijau dan air terjun yang mengalir deras.



Konsert ini dilabuhkan tirainya dengan dua lagu ikonik, Without You dan All Out of Love.



Di sebalik lagu yang antik, pujian wajar diberi kepada band yang mengiringi Air Supply, yang terdiri daripada anak muda penuh semangat.



Gitaris utama dan pengarah muzik, Aaron McLain; pemain bes, Douglas Gildner; pemain dram, Pavel Valdman (yang menerima sorakan paling kuat); dan pemain papan nada, Mirko Tessandori, menyuntik nafas baru pada lagu lama yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >