Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Beberapa daerah taman marin Phi Phi Thailand dibuka semula kepada awam

May 25, 2025 | 5:30 AM
Teluk Maya adalah struktur batu di Laut Andaman di bahagian barat pantai Thailand. Gambar dipetik pada 2018.
Teluk Maya adalah struktur batu di Laut Andaman di bahagian barat pantai Thailand. Gambar dipetik pada 2018. - Foto SINGHA ESTATE

Selama kira-kira setahun, Thailand tidak membenarkan penyelam meneroka ‘syurga’ bawah air di sekitar Taman Negara Phi Phi.

Disebabkan pemutihan batu karang, diburukkan pelancongan besar-besaran, pencemaran dan perubahan iklim, kawasan snorkeling dan menyelam yang popular di taman marin itu ditutup pada pertengahan Mei tahun lalu bagi membolehkan terumbu karang pulih.

Kini, 10 tempat menyelam telah dibuka semula, menurut laporan media tempatan.

Karang tersebut telah dilaporkan pulih dengan ketara, dan warna cerahnya kembali, menurut pengarah Taman Negara Saengsiri Chongthong, lapor media tempatan.

Pulau-pulau itu menjadi terkenal di dunia pada permulaan milenium.

Apabila drama Hollywood ‘The Beach’ bersama Leonardo DiCaprio ditayangkan di pawagam pada tahun 2000, suasana Ko Phi Phi yang bak ‘syurga’ mencetuskan gembar-gembur global.

Sementara pengarah Danny Boyle menceritakan kisah kehidupan yang jauh dari tamadun, filem itu meninggalkan kesan sebaliknya – dengan akibat yang dahsyat.

Selama bertahun-tahun, berduyun-duyun pelancong menziarahi pulau Phi Phi Leh untuk mengagumi Teluk Maya yang indah.

Kira-kira 6,000 orang datang ke sana setiap hari.

Seperti yang sering berlaku di tempat-tempat terkenal, syurga berubah menjadi mimpi ngeri yang sesak.

Berdozen bot menjatuhkan sauh mereka setiap hari ke terumbu yang dahulunya utuh sehingga batu karang pecah, jerung hilang dan sampah bertimbun.

Pihak berkuasa kini menggesa pelancong dan pengendali pelancongan supaya mematuhi peraturan, seperti tidak membuang sampah ke laut, tidak menyentuh batu karang dan tidak berlabuh di terumbu.

Antara tempat menyelam yang dibuka semula ialah kawasan berhampiran Gua Viking yang terkenal di Ko Phi Phi dan di bahagian utara dan timur Ko Kai, juga dikenali sebagai Chicken Island atau Pulau Ayam.

Namun, bahagian barat Pulau Ayam (dinamakan sempena formasi batu yang menyerupai kepala ayam) masih ditutup bagi kegiatan menyelam.

Terumbu di sana masih memerlukan lebih banyak masa untuk pulih. – Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg