Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelajar mengenai wang sambil bermain di Muzium Kanak-Kanak
Belajar mengenai wang sambil bermain di Muzium Kanak-Kanak
Kanak-kanak berpeluang mempelajari cara memperoleh, menyimpan, berbelanja dan menderma wang menerusi permainan di pameran khas baharu di Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG).
Pameran, Money Town: Make It Count! yang dibuka pada 14 November itu direka untuk kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun, dan menawarkan pengalaman interaktif yang bertujuan membina tabiat kewangan yang positif sejak kecil.
Sebaik sahaja memasuki pameran itu, setiap pengunjung cilik akan menerima gelang tangan dengan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) yang berfungsi sebagai dompet sepanjang kunjungan mereka.
Dengan menggunakan teknologi tersebut, kanak-kanak boleh memperoleh, menyimpan, berbelanja dan mendermakan wang serta mengumpul ganjaran sambil meneroka pelbagai keadaan kewangan.
Mereka juga dapat melihat bagaimana keputusan yang dibuat mempengaruhi sumber yang dimiliki.
Pameran itu turut memperkenalkan sejarah dan warisan bidang kewangan menerusi kegiatan perdagangan, pertukaran serta objek muzium.
Sepanjang meneroka Money Town, kanak-kanak berpeluang membuat dan menilai semula pilihan kewangan mereka.
Kegiatan menyimpan wang dan melihat jumlah simpanan bertambah memperkenalkan konsep kesabaran, perancangan dan usaha mencapai matlamat masa depan.
Mereka juga belajar membezakan antara keperluan dengan kehendak bagi mengurus sumber yang terhad.
Selain itu, cabaran interaktif berkaitan penipuan dalam talian menggalakkan kanak-kanak mengenal pasti risiko, mempersoalkan dakwaan yang mencurigakan dan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang betul.
Di akhir kunjungan, setiap kanak-kanak akan menerima resit dan lencana sebagai rekod keputusan yang dibuat sepanjang lawatan.
Ia juga menggalakkan mereka kembali untuk mencuba pendekatan berbeza.
Bagi kanak-kanak berusia 48 bulan dan ke bawah, mereka boleh bermain di ruang permainan khas, Money Barn.
Menerusi permainan imaginatif, penerokaan secara langsung dan pengalaman deria, kanak-kanak dapat mempelajari kemahiran asas seperti mengasingkan objek, mengira, memadankan dan bermain peranan dalam persekitaran yang menyeronokkan.
Pameran, Money Town: Make It Count! direka sebagai pengalaman yang dikongsi ibu bapa dan anak.
Dengan menggunakan gelang tangan RFID, ibu bapa boleh dipadankan dengan anak mereka untuk memperoleh wang bonus digital di pameran tertentu.
Ini membuka peluang untuk ibu bapa berbincang dengan anak mengenai pilihan, pertimbangan dan tabiat mengurus wang.
Panduan sebelum dan selepas lawatan yang dibangunkan bersama ahli terapi kanak-kanak turut disediakan bagi menyokong kegiatan bermain dan perbualan antara ibu bapa dengan anak.
Kemasukan ke CMSG adalah percuma bagi warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR).
Maklumat lanjut boleh didapati di pautan, www.heritage.sg/childrensmuseum