Kalangan ibu bapa mungkin mempunyai ungkapan yang kerap diketengahkan.

Sebagai contoh, ia termasuk:

“Anak saya banyak bertanya.”

“Dia suka memberi pendapat.”

“Ada sahaja perkara yang ingin dikongsikannya.”

Namun, pernahkah kita berhenti sejenak dan bertanya kepada diri sendiri – apabila anak-anak bercakap, adakah kita benar-benar mendengar?

Dalam kesibukan kehidupan harian, ramai ibu bapa lebih memberi tumpuan untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang baik, cukup makan, sihat dan selamat.

Semua itu penting. Namun ada satu keperluan yang sering terlepas pandang, iaitu keperluan untuk didengari.

Mendengar anak bukan sekadar membenarkan mereka bercakap.

Ia bermaksud memberi perhatian kepada pandangan mereka, memandang serius apakah yang mereka katakan di samping mempertimbangkan pandangan mereka dalam perkara yang melibatkan kehidupan.

Ia merupakan satu bentuk penghormatan yang menunjukkan kepada anak bahawa suara dan pandangan mereka dihargai.

Dalam masyarakat Asia, kita sering menekankan nilai hormat kepada orang tua – sesuatu yang penting dan perlu dipelihara.

Namun, menghormati kanak-kanak dengan mendengar pandangan mereka tidak bermaksud mengurangkan peranan atau kewibawaan ibu bapa.

Sebaliknya, ia membantu membina hubungan yang lebih kukuh berasaskan kepercayaan, komunikasi dan saling menghormati.

Pandangan itu disokong oleh penyelidik Singapura, Dr Joanna Tay-Lim, yang menyifatkan kanak-kanak sebagai “pakar tentang kehidupan mereka sendiri”.

Mereka memahami pengalaman, cabaran dan aspirasi mereka dengan cara yang mungkin tidak dapat dilihat sepenuhnya oleh orang dewasa.

Untuk memahami dunia kanak-kanak, kita perlu mendengar mereka sendiri.

Di peringkat serantau pula, peguam dan aktivis hak kanak-kanak Malaysia, Cik Sharmila Sekaran, sering menegaskan bahawa kanak-kanak memerlukan ruang selamat untuk menyuarakan pandangan mereka.

Apabila suara mereka dihormati dan diambil kira, mereka menyedari pandangan mereka mempunyai nilai dan mereka mampu menyumbang secara positif kepada keluarga, sekolah dan masyarakat.

Mengapa perkara ini penting?

Apabila kanak-kanak didengari, mereka membina keyakinan diri.

Mereka belajar berfikir secara kritikal, menyampaikan idea dengan jelas dan menghormati pandangan orang lain.

Mereka juga lebih berani untuk bertanya, mencuba perkara baharu dan menyelesaikan masalah.

Malah, kajian dalam bidang perkembangan kanak-kanak menunjukkan bahawa hubungan yang responsif antara ibu bapa dengan anak memainkan peranan penting dalam perkembangan emosi dan sosial mereka.

Apabila orang dewasa memberi perhatian kepada apa yang diperkatakan oleh anak, mereka bukan sahaja membantu anak berasa dihargai, malah mengukuhkan rasa selamat dan keyakinan diri mereka.

Sebaliknya, apabila pandangan mereka sering diketepikan atau dipandang remeh, mereka mungkin berasa suara mereka tidak penting.

Dalam jangka panjang, ini boleh menjejas keyakinan mereka untuk bersuara, berkongsi idea dan mengambil bahagian secara aktif dalam masyarakat.

Mendengar apa yang diperkatakan anak juga tidak bermaksud ibu bapa perlu memenuhi setiap permintaan mereka.

Orang dewasa masih bertanggungjawab membuat keputusan yang terbaik berdasarkan pengalaman dan pertimbangan yang lebih luas.

Namun, terdapat perbezaan besar antara berkata ‘tidak’ selepas mendengar dan memahami pandangan anak, dengan berkata ‘tidak’ tanpa memberi peluang kepada mereka untuk bersuara.

Seorang anak mungkin tidak bersetuju dengan keputusan ibu bapanya, tetapi dia masih boleh menerima keputusan tersebut dengan lebih baik apabila berasa pandangannya telah didengar dan dipertimbangkan.

Sebenarnya, amalan mendengar anak boleh bermula dengan perkara kecil di rumah.

Misalnya apabila merancang percutian keluarga, tanyakan kegiatan yang ingin mereka lakukan yang boleh dinikmati seisi keluarga.

Apabila memilih buku untuk dibaca atau menu hujung minggu, libatkan mereka dalam perbincangan.

Jika berlaku perselisihan antara adik-beradik, beri ruang kepada setiap anak untuk berkongsi perspektif mereka sebelum membuat keputusan.

Yang penting, berikan perhatian sepenuhnya.

Letakkan telefon bimbit seketika. Pandang mata mereka. Dengar tanpa memotong percakapan atau terus memberikan jawapan.

Kadangkala anak-anak tidak memerlukan penyelesaian segera; mereka hanya mahu mengetahui bahawa seseorang benar-benar mendengar.

Dalam era digital hari ini, perkara ini menjadi lebih penting.

Kanak-kanak membesar dalam dunia yang penuh dengan maklumat, pengaruh media sosial dan pelbagai cabaran baru yang mungkin tidak pernah dialami oleh generasi ibu bapa mereka.

Mendengar pengalaman dan pandangan mereka memberi peluang kepada kita untuk memahami kebimbangan, harapan dan cabaran yang mereka hadapi setiap hari.

Di Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG), kami melihat sendiri bagaimana kanak-kanak mampu menyumbang idea yang bernas apabila diberi peluang.

Melalui Children’s Panel, sekumpulan kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun dijemput berkongsi pandangan tentang program, pameran dan pengalaman pelawat.

Mereka memberi maklum balas tentang kegiatan yang menyeronokkan, perkara yang boleh diperbaiki dan topik yang menarik minat kanak-kanak.

Idea yang mereka kemukakan sering kali membuka perspektif baharu kepada kami sebagai orang dewasa.

Adakalanya kegiatan yang kami anggap menarik sebenarnya kurang relevan kepada mereka.

Ada juga cadangan yang begitu kreatif sehingga mengubah cara kami merancang sesuatu program.

Pengalaman ini mengesahkan apa yang dinyatakan oleh Dr Tay-Lim bahawa kanak-kanak benar-benar memahami keperluan dan pengalaman mereka sendiri, dan suara mereka boleh membantu kita membuat keputusan yang lebih baik.

Pada 2025, kami turut menganjurkan Children’s Takeover, yang melibatkan 32 Duta Cilik daripada Sekolah Rendah Gan Eng Seng.

Untuk separuh hari, mereka mengambil alih pelbagai peranan di muzium termasuk menyambut pelawat, membantu di kaunter tiket, memberi penerangan kepada pengunjung dan menyokong operasi muzium.

Ramai yang kagum melihat tahap keyakinan, kematangan dan rasa tanggungjawab yang ditunjukkan oleh mereka.

Namun bagi kami, pengalaman tersebut membuktikan satu perkara yang penting iaitu apabila orang dewasa mempercayai kanak-kanak dan memberi mereka peluang untuk menyumbang, mereka mampu melebihi jangkaan.

Hakikatnya, kebolehan untuk bersuara dengan yakin tidak terbentuk secara tiba-tiba apabila anak memasuki alam dewasa.

Ia dipupuk sejak kecil apabila mereka berasa pandangan mereka didengari dan dihargai.

Dan proses itu tidak bermula di sekolah, muzium atau institusi.

Ia bermula di rumah; di meja makan, di dalam kereta, sebelum tidur, dan dalam perbualan harian yang sering kita anggap remeh.

Sebagai ibu bapa, mungkin antara soalan paling penting yang boleh kita tanyakan kepada anak-anak adalah, “Apa pendapat awak?”

Kemudian, dengarlah jawapan mereka dengan hati yang terbuka.

Mungkin kita akan terkejut dengan kebijaksanaan, kreativiti dan kejujuran yang lahir daripada suara kecil yang selama ini hanya menunggu untuk didengari.

Kerana apabila kita mendengar anak-anak, kita bukan sahaja membantu mereka membesar menjadi individu yang lebih yakin dan bertanggungjawab.

Kita sedang membina generasi yang berani menggunakan suara mereka untuk menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Penulis Pengarah di Muzium Kanak-Kanak Singapura. Beliau mempunyai hampir dua dekad pengalaman dalam bidang muzium, pendidikan warisan dan pembangunan program pembelajaran untuk kanak-kanak serta masyarakat umum. Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengurus Besar di Taman Warisan Melayu, Timbalan Pengarah (Pendidikan) di Lembaga Warisan Negara, serta Pensyarah di Politeknik Republic.

“Apabila kanak-kanak didengari, mereka membina keyakinan diri. Mereka belajar berfikir secara kritikal, menyampaikan idea dengan jelas dan menghormati pandangan orang lain. Mereka juga lebih berani untuk bertanya, mencuba perkara baharu dan menyelesaikan masalah.”
Penulis.