Fenomena Jalan Jalan Japan (JJJ) bukan sekadar trend biasa.
Ia telah menjadi perbualan hangat dalam kalangan Gen Z, khususnya di Singapura, yang sedang mencari pilihan fesyen unik tanpa perlu berbelanja besar.
Tidak menghairankan ramai yang sanggup menyeberang sempadan hanya untuk mengalami sendiri pengalaman membeli barangan terpakai atau ‘thrifting’ di JJJ.
Tertarik dengan sambutan luar biasa itu, saya mengambil kesempatan mengunjungi salah satu cawangannya di 1 Shamelin Mall, Cheras, untuk memahami apakah yang membuat kedai itu begitu istimewa.
Walaupun lokasi kedai berhampiran stesen LRT Maluri, perjalanan kaki ke sana agak mencabar kerana pusat beli-belah itu sedang menjalani pengubahsuaian, dengan banyak akses lif dan tangga gerak yang ditutup.
Seperti ramai pengunjung JJJ dari Singapura, menaiki Grab menjadi pilihan paling praktikal dan selesa bagi saya.
Namun, segala keletihan dan cabaran awal segera rasa berbaloi sebaik melangkah masuk ke ruang kedai yang luas dan memikat.
Dengan keluasan kira-kira 21,200 kaki persegi, ruang itu dipenuhi pelbagai barangan ‘preloved’ atau terpakai yang mengujakan – daripada pakaian, perabot, mainan, basikal, hingga alat muzik.
Setiap seksyen diatur rapi dan dilabel dengan jelas seperti ‘Skirt Pendek’, ‘Pakaian Kerja’ dan ‘Kasut’, memudahkan pencarian tanpa rasa tersesat dalam lautan pilihan.
Mengunjungi kedai pada Jumaat petang yang agak lengang memberi kelegaan tersendiri kerana tiada kesesakan atau barisan panjang di bilik salin.
Walaupun bilik salin itu ringkas, ia cukup selesa dan bersih untuk mencuba pelbagai pilihan.
Had maksimum lima pakaian pada satu masa agak menyukarkan kerana pakaian lain terpaksa ditinggalkan di luar.
Namun secara keseluruhan, proses mencuba juga berjalan lancar.
Apa yang paling menarik perhatian ialah harga yang jauh lebih berpatutan berbanding kedai barangan terpakai di Singapura.
Beberapa barangan dijual serendah RM3 ($0.91) manakala beg tangan kulit palsu dalam keadaan baik boleh dibawa pulang pada harga sekitar RM30, satu penemuan yang sukar ditandingi.
Suasana kedai pula menambahkan lagi kenikmatan pengalaman thrifting.
Tiada tekanan atau pengawasan berlebihan, hanya kebebasan sepenuhnya untuk meneroka dan memilih mengikut cita rasa sendiri.
Pelanggan pula datang daripada pelbagai lapisan usia – daripada golongan muda hingga mereka yang lebih berpengalaman, membuktikan keunikan JJJ merentasi generasi.
Bagi yang mencari pakaian pejabat, terdapat pilihan menarik seperti kemeja bercorak kotak dan blazer yang sesuai.
Bahagian beg tangan pula menawarkan pelbagai gaya daripada beg dengan hiasan manik, yang bergaya ‘funky’, hingga denim bergaya ‘Y2K’ yang membangkitkan nostalgia tersendiri.
Walaupun beberapa beg kelihatan agak lama sedikit, kebanyakannya masih dalam keadaan baik.
Bagi pencinta vintaj dan ‘retro’, JJJ turut menyediakan koleksi baju blaus lengan panjang mesra gaya sopan serta jean dengan potongan unik seperti bootcut dan low-rise yang cukup unik.
Tidak dilupakan, seksyen khas yang mempamerkan barangan berjenama vintaj seperti Tommy Hilfiger, Burberry, Cartier dan Louis Vuitton di sebalik laci kaca turut menjadi tarikan utama dengan harga jauh lebih rendah berbanding pasaran biasa.
Lepas hampir tiga jam menjelajah setiap sudut kedai, tiga helaian pakaian dan dua beg tangan berjaya dibawa pulang dengan jumlah perbelanjaan hanya sekitar RM95.
Walaupun tidak begitu banyak, setiap satu memang menawarkan nilai, gaya dan keselesaan yang sukar ditemui di tempat lain.
Alamat: Jalan Jalan Japan Shamelin Mall, Unit L3, Tingkat 1, Shamelin Mall, 56100, Jalan Wangsa Perdana 1, AU 3, 53300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg