Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belia harus berani redah, ketengah kemelut masyarakat dalam karya seni

Pementasan dari institusi pengajian buka ruang anak muda kaji sejarah, jati diri meski hadapi keterbatasan wang
Nov 16, 2024 | 5:30 AM
Pementasan teater bergerak yang memukau ini meneroka kekayaan sejarah di Blok Moberly (bangunan di Politeknik Singapura) yang dahulunya merupakan sebahagian Berek Princess Mary di 1000 Dover Road.
Pementasan teater bergerak yang memukau ini meneroka kekayaan sejarah di Blok Moberly (bangunan di Politeknik Singapura) yang dahulunya merupakan sebahagian Berek Princess Mary di 1000 Dover Road. - Foto BH oleh KHALID BABA

Melihat bangunan putih sekitar perkarangan Politeknik Singapura (SP) di hadapan saya masih berdiri tegak dan utuh, tidak sangka pula ia sudah pun berada di 1000 Dover Rd sejak 1950-an lagi hingga 1970-an, lebih tepatnya ketika tempoh pascapeperangan.

Bahkan, saya juga belum lahir lagi pada ketika itu.

Berek itu juga dikatakan telah menjadi kediaman tentera British dan Malaya selama dua dekad.

Itulah bangunan Blok Moberly (dahulunya dikenali sebagai Berek Princess Mary) yang kini menjadi hab kegiatan pelajar, khususnya bagi penuntut SP.

Sebelum ini, saya hanya tahu tentang sisa-sisa berek tentera yang masih lagi dipelihara di Kota Singa iaitu Berek Gillman di 9 Lock Road. Ia sudah pun bertukar menjadi galeri seni kontemporari.

Jika bukan kerana pementasan Kisah Moberly oleh Persatuan Bahasa Melayu SP sempena Fiesta Seni SP 2024, saya mungkin masih seperti katak di bawah tempurung, yang tidak tahu kewujudan berek tentera itu. 

Dalam pementasan tersebut, penonton dibawa melewati kembara masa dari pascapeperangan hingga ke 2010 melalui tiga watak iaitu, Melati, Hassan dan Ayden.

Pada 8 November, ia merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke Blok Moberly bagi persembahan itu.

Apatah lagi, ketika saya mendapat tahu konsepnya adalah ‘roving theatre’ atau teater bergerak apabila penonton dikehendaki berjalan dari satu ruang ke satu ruang lain semasa pementasan berlangsung.

Buat kali pertama menghadiri pementasan sebegitu, saya tidak meletakkan sebarang jangkaan yang tinggi.

Ketika sinar matahari masih lagi terpacak di atas kepala, latar suara dikir barat kedengaran berkumandang di sekitaran.

Saya menoleh sambil mencari dari mana datangnya suara itu.

Debaran kian terasa, menambahkan lagi perasaan ingin tahu dan keghairahan saya untuk menyelongkar kisah-kisah yang akan dibentangkan dalam Kisah Moberly.

Tepat 7.30 malam, pementasan itu dibuka dengan persembahan dikir barat oleh Seri Thera.

Pementasan dimulakan di kawasan luar Blok Moberly.

Di tengah-tengah persembahan dikir barat yang memukau, tiba-tiba jeritan nyaring kedengaran.

Itulah suara Melati (lakonan Adryana Sofea Abdullah), seorang wanita berusia 40-an tahun yang masih meratap kesedihan dek kesan peperangan dalam hidupnya.

Jujur saya katakan, ia tidak mudah untuk menguasai panggung (tanpa mikrofon) di kawasan luar Blok Moberly.

Namun, dengan berlatarbelakangkan suasana malam yang agak sunyi dan malap, ia menambah lagi kesan misteri pada watak Melati.

Iyalah, siapa yang tidak akan kehilangan arah selepas ditinggalkan suami dan anaknya semasa perang?

Apabila Melati ketawa mengilai, bulu roma saya naik dengan serta-merta.

Ditutup pula kisahnya dengan persembahan jitu tarian daripada Wangsa Kesari Seni yang berpakaian seperti askar, ia seolah membawa saya ke zaman 1950-an.

Saya dapat bayangkan, jika sistem bunyi (alat pembesar suara) dapat dibaiki, ia pasti akan menambah lagi kesan misteri dalam persembahan itu.

Hassan (Muhammad Iman Ilhan) pula membawa saya ke era 1980-an. Beliau adalah seorang pak cik berusia 60-an tahun dan bekerja sebagai pekerja pembersihan.

Gelagatnya yang candi dan bersahaja, menyapu sambil bernyanyi-nyanyi menghilangkan sisa debaran yang masih terasa daripada kisah tragik Melati.

Dalam canda dan tawanya, terkubur penyesalan Hassan yang dahulunya tidak mementingkan pendidikan sewaktu masih muda belia. 

Hal ini tidak lagi asing bagi saya. 

Sesekali saya juga pernah bertembung dengan situasi dinasihati orang-orang seperti Hassan di luar.

Mungkin, tanpa kita sedari, penyesalan masih lagi mendarah daging dalam masyarakat Melayu walau zaman sudah semakin maju.

Jangan dibiarkan penyesalan membelenggu hidup kita tanpa adanya pendidikan.

Sebagai anak muda yang lahir di era 2000-an, kisah Ayden (Rayyan Nor Azahar) dalam era tersebut pula mengingatkan saya akan kenangan sewaktu melakukan seni pementasan di politeknik.

Seperti Ayden, seni memberi makna dalam hidup sekali gus membantu menangani masalah sosial ketika remaja terutamanya keyakinan diri.

Saya ingat lagi kata-kata Ayden dalam persembahan iaitu ‘seni ada dalam setiap diri kita, hanya kita perlu cari bagaimana untuk menggunakannya dengan betul’. 

Bagaimanakah hendak menggunakannya dengan betul jika tiada sokongan dan bimbingan yang baik?

Bagi saya, ia amat penting bagi remaja untuk mendapatkan sokongan moral dan bimbingan daripada seseorang yang bergelar mentor, apatah lagi dalam melakukan kerja seni.

Tanpa bimbingan mereka dalam berseni, mungkin remaja tidak akan dapat mengenal diri mereka masing-masing.

Saya melihat kerja seni belia Singapura sebagai memperkasa minda dan jiwa mereka yang mencari-cari arah tuju.

Sebelum ini, saya pernah menonton persembahan tarian, ITE Emblazon 2024 di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central serta persembahan tarian Muse XIII: Elemental dan pementasan Kancil di Pusat Budaya Republic, Politeknik Republic (RP), tempat saya menimba ilmu.

Kebolehan dan kemampuan belia dalam menghasilkan kerja seni walau dalam keadaan yang terhad (dari segi kewangan dan kelengkapan) amat mengagumkan. 

Biar dalam keadaan yang terhad dan terbatas sekali pun, ia tidak bermaksud sebuah kerja seni itu tidak dapat mencapai tahap mutu yang tinggi.

Seperti Kisah Moberly, walaupun dengan keterbatasan tempat serta ruang, idea untuk menggunakan bekas berek tentara dan meraih inspirasi dari sejarah Blok Moberly dapat menghasilkan pengalaman seni yang lain daripada lain.

Memandang ke depan, saya berharap belia kita dapat mengambil langkah berani untuk membongkar kemelut dalam masyarakat yang dapat dijadikan renungan serta pelajaran dalam kesenian mereka, baik tarian, dikir barat atau nyanyian.

Ibarat pepatah remaja sekarang ‘go jer’ atau redah sahaja, kita tidak akan tahu hasil sesuatu perbuatan jika kita tidak mencubanya.

Peluang yang tersedia di bangku sekolah untuk berkarya, justeru perlu digunakan sebaiknya kerana fasa ini adalah fasa pembelajaran dan pembentukan identiti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg