Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelia pilih reka koleksi sendiri setelah tidak jumpa pakaian sesuai cita rasa
Mahasiswi SMU gabung ciri ‘street chic’ dengan pakaian mesra pejabat dalam satu rekaan
Belia pilih reka koleksi sendiri setelah tidak jumpa pakaian sesuai cita rasa
Akibat sukar mencari pakaian daripada jenama tempatan yang benar-benar mencerminkan cita rasanya, Cik Nurul Zakirah Mohamed Zakir, 23 tahun, memilih jalan yang berbeza dengan menghasilkan sendiri pakaian yang mahu digayakannya.
Dengan hanya satu rekaan dengan tiga warna berbeza, mahasiswi tahun akhir Universiti Pengurusan Singapura (SMU) itu melancarkan jenama fesyen sopan, Ploum pada 1 Januari.
Sembilan bulan kemudian, apa yang bermula sebagai projek peribadi kini berkembang menjadi ruang untuk wanita muda lain mencari gaya mereka sendiri.
“Saya mahukan pakaian yang benar-benar menggambarkan diri saya, tetapi pada masa yang sama cukup ringkas untuk dipakai setiap hari,” kata Cik Zakirah, yang mengikuti jurusan perniagaan dengan pengkhususan dalam pemasaran.
Beliau menggambarkan gaya Ploum sebagai gabungan ciri street chic dengan pakaian mesra pejabat yang sofistikated dan menonjol, namun tidak keterlaluan.
Minat terhadap fesyen bukan sesuatu yang baharu bagi Cik Zakirah.
Sebagai pencipta kandungan yang sering berkongsi tentang gaya hidup dan fesyen, beliau sudah terbiasa memerhatikan pakaian yang menarik perhatian di media sosial.
Namun, menjadi pemilik jenama fesyen mengubah cara beliau melihat pakaian.
Jika dahulu soalannya sekadar “Adakah saya suka pakaian ini?”, kini perhatiannya beralih kepada fabrik, siluet, pembuatan pakaian dan sebab sesuatu rekaan boleh menjadi tular.
Trend tetap menjadi sumber inspirasi utama Ploum, namun Cik Zakirah tidak mahu jenama itu menghasilkan sesuatu hanya kerana ia sedang popular.
Baginya, perhatian di media sosial tidak semestinya bermakna sesuatu gaya akan bertahan.
Beliau lebih tertarik melihat sama ada pengguna benar-benar menggayakan sesuatu rekaan dengan cara mereka sendiri dan terus memakainya selepas ia menjadi tular di kalangan pengguna.
Pendekatan itu turut mencerminkan sebab beliau memulakan Ploum.
Cik Zakirah gemar mengambil pakaian asas dan memikirkan bagaimana ia boleh diberi sentuhan tersendiri agar kelihatan lebih menarik.
Namun, menterjemah idea dalam benak fikiran kepada pakaian sebenar bukan semudah yang disangka.
Di sebalik setiap koleksi terdapat proses mencari fabrik, menghasilkan contoh, berurusan dengan pengilang dan membuat beberapa pusingan perubahan sebelum sesuatu rekaan menepati apa yang diinginkannya.
Sebagai jenama kecil, Cik Zakirah juga masih melakukan hampir segala-galanya sendiri, daripada reka bentuk dan pembangunan produk hingga pemasaran, operasi dan membungkus pesanan.
Ini semua di samping membahagikan masa sebagai seorang mahasiswi sepenuh masa.
Namun, faktor yang mendorongnya untuk terus membina Ploum kini adalah lebih besar daripada sekadar mencari pakaian yang sesuai dengan gayanya sendiri.
Antara detik paling bermakna baginya adalah apabila beliau menerima mesej daripada pelanggan yang tidak dikenalinya.
Pelanggan tersebut memberitahu bahawa pakaian rekaan Cik Zakirah membuat mereka berasa lebih yakin.
“Pada awalnya, saya memulakan perniagaan ini kerana ingin mencari gaya saya sendiri. Tetapi sekarang, apabila saya dapat membantu wanita lain mencari gaya mereka, rasanya sangat bermakna,” tambahnya.
