Baju kurung corak unik jadi pilihan sepanjang tahun

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Baju kurung corak unik jadi pilihan sepanjang tahun

Mar 16, 2026 | 5:31 PM

Baju kurung corak unik jadi pilihan sepanjang tahun

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
baju kurung, fesyen sopan, pakaian tradisional melayu, Bayu Somerset
Rekaan baju kurung dengan kerjasama pelukis batik Malaysia, Arif Rafhan, meraikan tradisi dan seni warisan Melayu. Harga bermula daripada $80. - Foto BAYU SOMERSET

Tidak dapat dinafikan baju kurung yang diperbuat daripada fabrik kapas merupakan antara pilihan popular kerana ia selesa dipakai sepanjang hari.

Apatah lagi dengan cuaca panas di rantau ini, potongan baju yang sederhana itu membuatnya sesuai untuk menghadiri pelbagai acara termasuk dijadikan pakaian harian ke pejabat.

Jenama asal Malaysia, Bayu Somerset, terus mencipta nama dalam dunia fesyen sopan dengan menghasilkan pakaian tradisional Melayu bagi wanita seperti baju kurung, kebaya dan kebarung dengan corak unik dan berwarna-warni.

Menurut Ketua Pemasaran, Cik Dania Kamalul, syarikat itu melihat lebih ramai pelanggan yang membeli baju kurung sewaktu Raya dan menjadikannya pakaian harian selepas itu.

“Kami mempunyai ramai pelanggan yang merupakan karyawan di syarikat, guru dan penjawat awam.

“Mereka berkongsi rekaan kami selesa untuk dipakai ke tempat kerja dan corak serta motif berwarna-warni itu membuat busana mereka lebih menarik,” kongsi Cik Dania yang ditemui Berita Harian (BH) di cawangan Bayu Somerset di Elmina Lakeside Mall, Selangor, Malaysia.

Bagi Raya 2026, jenama itu mengeluarkan enam koleksi berbeza yang dinamakan #SomerSyokRaya’26.

Selain mengekalkan kerjasama dengan pelukis terkenal Bunga dan Bintang, ia turut bekerjasama dengan pelukis batik Malaysia, Alif Rafhan, bagi menghasilkan koleksi yang meraikan seni dan tradisi warisan Melayu.

Menurut Cik Dania, kebanyakan rekaan baju Rayanya mempunyai aksesori seperti selendang atau getah ikat rambut dengan corak yang sama.

Namun, ia dijual secara berasingan untuk memberi kebebasan kepada para pelanggan untuk memilih bagaimana mereka mahu menggayakan baju itu.

“Ada juga pelanggan yang memadankan baju kurung itu dengan skirt biasa yang ada di dalam almari mereka.

“Walaupun ia dilancarkan sewaktu Hari Raya, koleksi kami sangat versatil dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat,” tambahnya.

Di media sosial, terdapat ramai golongan muda yang menggayakan baju kurung itu dengan seluar jean dan kasut sniker sebagai pakaian harian mereka selepas beraya.

Corak dan motif dengan rona warna yang terang mencuri perhatian netizen dengan adanya ramai pelanggan dari luar Malaysia.

Bagi memenuhi permintaan pelanggan di Singapura, jenama itu turut membuka reruai sementara di dalam gedung Metro yang terletak di Causeway Point sehingga 24 Mac.

“Walaupun ia dilancarkan sewaktu Hari Raya, koleksi kami sangat versatil dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.” 
Cik Dania Kamalul, Ketua Pemasaran Bayu Somerset.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg