Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, tidak menuntut apa-apa sebab harta paling berharga adalah anak-anak.
Begitulah jelas Bella ketika ditanya alasan melepaskan tuntutan mutaah, iddah, tunggakan nafkah isteri, hutang perkahwinan dan harta sepencarian, pada prosiding di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada 13 Jun.
Bella, 30 tahun, sah bercerai talak satu daripada bekas suami, penyanyi dan pelakon Singapura, Aliff Aziz, 33 tahun.
Aliff bersetuju memberi hak penjagaan penuh kedua-dua anak mereka iaitu Mohamad Ayden Adrean, tujuh tahun, dan Ara Adreanna, empat tahun, kepada Bella, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Saya tidak mahu panjangkan lagi apa-apa selepas ini. Saya tidak mengharapkan apa-apa daripada Aliff.
“Sekarang ini adalah fasa untuk ‘move on’ (terus ke hadapan) sahaja. Itu jauh lebih penting sebab saya ada banyak perkara lagi mahu dibuat... Saya mahu jaga anak-anak.
“Hak penjagaan anak diberi kepada saya sepenuhnya. Saya tak tuntut apa-apa. Sudah dapat anak, cukup, sebab anak-anak adalah nombor satu... Alhamdulillah,” kata Bella ketika ditemui pemberita selepas prosiding perceraan talak berakhir.
Bella turut bersyukur prosiding di mahkamah lancar.
“Alhamdulillah, terima kasih semua yang mendoakan saya. Mungkin ini kali terakhir saya berada di Mahkamah Syariah, Insya-Allah... Alhamdulillah selesai sudah.
“Tolong doakan saya dan anak-anak terus kuat dan bahagia selepas ini, Insya-Allah... Terima kasih.
Bertanya mengapa tidak mahu bersalaman sebelum Aliff melafazkan cerai, Bella enggan mengulas panjang.
“Biarlah masa yang menjawab segala-galanya,” katanya ringkas.
Bella juga belum memikirkan soal kembali berhubung dengan Aliff secara baik.
“Masih belum sempat fikirkan perkara itu. Jadi, kita tengok perlahan-perlahan... Insya-Allah,” katanya.
Dalam catatan Instagramnya selepas itu, Bella menulis:
“Buat kali terakhir, saya ingin ucap tahniah kepada bekas sahabat saya, Ruhainies, kerana berjaya meruntuhkan masjid ini dan anak-anak saya hilang bapa mereka.”
Catatan itu ditujukan kepada pelakon Ruhainies yang sebelum ini ditangkap khalwat dengan Aliff di sebuah kondominium mewah pada 9 Mac lalu, hingga membawa kepada kontroversi dan keretakan hubungan Bella dan bekas suaminya itu.
Bella berkata, perceraian kali kedua bersama Aliff banyak memberi pengajaran kepada dirinya agar tidak mencintai seseorang terlalu dalam.
“Selepas hari ini, saya tidak lagi ingin mencintai seseorang terlalu dalam. Jika berpisah, lukanya pun pasti terlalu dalam.
“Berakhirlah kisah kami. Saya selalu percaya bahawa peluang mampu mengubah seseorang tetapi hanya jika digunakan dengan baik.
“Kesalahan yang dibuat berulang-ulang bukanlah suatu kesilapan akan tetapi, pilihan.
“Saya selalu impikan rumah tangga yang kekal tetapi apabila difikirkan balik, seberapa banyak peluang yang saya beri, namun, pada akhirnya, saya tidak mampu melawan takdir,” katanya.
Tambah Bella dalam hantaran yang sama, perceraian yang berlaku membuktikan tiada lagi peluang untuk dirinya kembali kepada bekas suaminya itu.
“Sudah cukup memperjuangkan hubungan ini. Tetapi perjuangan ini sia-sia kerana saya seorang sahaja yang berjuang.
“Doa saya agar kehidupan baru saya bersama anak-anak dipermudahkan. Saya akan cuba sebaik mungkin menjadi ibu dan bapa yang terbaik untuk mereka.
“Tiada penyesalan, saya terima ini adalah ujian dan pengalaman hidup. Terima kasih buat keluarga, sahabat, rakan-rakan industri, media dan semua pengikut yang mendoakan kami semua.
“Semoga segala doa yang baik baik berbalik kepada anda semua,” katanya.
Aliff dan Bella pernah bercerai talak satu pada 16 Mei 2019, namun, rujuk kemudian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg