Menyedari ada kekurangan dalam penyampaian nyanyiannya, penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, mengakui masih memiliki ruang memperbaiki mutu vokalnya.
Bella, atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabella Awang Astillah, berkata sehingga kini beliau masih belajar memperbaiki vokalnya, malah turut belajar daripada beberapa guru vokal termasuk ayahnya.
“Saya sudah mula menghadiri kelas vokal dan bukan dengan seorang guru vokal sahaja, malah dua guru. Di rumah juga saya belajar dengan ayah, jadi saya takkan berhenti belajar.
“Dalam bidang nyanyian, itulah sebenarnya menguatkan lagi semangat untuk berusaha. Saya percaya perkara itu yang buat saya bersemangat untuk melakukan lebih baik.
“Mana lagu yang kurang sesuai dengan suara, saya takkan buat. Saya juga manusia biasa dan ingin mencuba, tapi atas nasihat keluarga dan guru, saya tahu arah tuju, lebih berhati-hati dan cuba memperbaiki kekurangan.
“Saya faham kekurangan saya dan minta maaf. Sebab saya tahu kadang-kadang saya penat, tak cukup latihan dan sebagainya. Saya akan buat lebih baik selepas ini, insya-Allah,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Dalam pada itu, Bella juga mengambil kesempatan memohon maaf apabila ada segelintir pihak yang kurang gemar apabila dirinya menyanyikan lagu yang dipopularkan Ernie Zakri, Masing-Masing.
“Saya ambil kesempatan ini untuk memohon maaf sebab ada orang kata sudah muak dan tak nak dengar saya menyanyikan lagu Masing-Masing. Saya minta maaf, tapi sebenarnya bila saya diundang, penganjur sendiri yang minta lagu ini.
“Jadi, saya tak boleh nak tolak. Malah, saya sendiri sudah bercakap dengan Ernie dan tiada masalah. Saya pun sedih bila orang cakap penat nak dengar, tapi kalau anda sedih, saya lagi sedih.
“Saya tahu ia bukan lagu saya, tapi bila orang minta, saya kena nyanyi, tambah lagi, orang yang minta adalah penganjur yang bayar saya menyanyi. Bayaran ini adalah rezeki untuk anak-anak, takkanlah saya nak tolak.
“Jadi, saya minta maaf, tapi sekarang saya sudah ada lagu saya sendiri dan hari-hari boleh menyanyikan lagu sendiri,” katanya lagi.
Bella baru sahaja tampil dengan single Tapi Bukan Denganmu, ciptaan dan terbitan komposer, Sharon Paul.
Single Tapi Bukan Denganmu adalah karya yang dekat di hatinya kerana liriknya ditulis Bella sendiri.
Jadi, berilah sokongan buat Bella ya?


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg