Bergaya dengan warna pilihan Pantone 2026, ‘Cloud Dancer’ untuk tampil kemas, moden
Bergaya dengan warna pilihan Pantone 2026, ‘Cloud Dancer’ untuk tampil kemas, moden
Syarikat yang diiktiraf secara global sebagai pakar warna, Pantone, telah meramalkan ‘warna pilihan tahun’ sejak 1999.
Pilihan untuk warna yang bakal digayakan, diminati, dan digunakan ramai pada 2026 ialah ‘Cloud Dancer’, atau kod rasminya Pantone 11-4201.
Pada asasnya ‘Cloud Dancer’ hanyalah nama mewah untuk warna putih.
Pendekatan minimalis dan elegan yang ditonjolkan warna ini sesuai diterapkan dalam gaya putih harian.
Untuk menggayakan warna putih dalam pakaian harian, ia memerlukan perhatian pada perincian dan padanan yang tepat.
Gabungkan tekstur seperti kapas, kain rajut lembut, renda, dan potongan kemas untuk memberi sentuhan gaya yang lebih sofistikated.
Pilih potongan yang santai tetapi kemas, dan padankan rona lembut seperti putih pudar (off-white), putih kekuningan (ivory), dan krim untuk mencipta penampilan yang mengekalkan kesederhanaan namun tetap menawan.
Warna pilihan 2026 yang sering dikaitkan dengan kesucian, kelembutan ini juga sesuai dipadankan dengan mana-mana warna, bergantung kepada ‘vibe’ atau aura yang ingin ditonjolkan.
Penggayaan warna putih dalam busana harian jika dilengkapkan dengan aksesori minimal dan kasut moden yang sesuai, dapat menghasilkan penampilan yang segar, elegan, dan kemas.
Lebih berkilau dengan hiasan labuci
Berikan sentuhan elegan dan glamor pada kemeja-T putih dengan menambah pakaian luar yang berkilau dengan hiasan labuci.
Gaya ini juga boleh disesuaikan dengan memadankan elemen klasik seperti sepasang seluar jean bagi penampilan lebih santai atau kemeja kolar leher penyu (turtleneck) untuk penampilan lebih kemas dan rapi.
Lebih menonjol dengan warna gelap
Padankan kemeja putih formal ala gaya ‘white-on-white’ leher penyu Celine, dengan blazer hitam kemas, kemudian serlahkan gaya dengan seluar longgar, tali pinggang dan but kulit untuk mencipta penampilan yang sofistikated dan berani.
Lebih berseri dengan padanan skarf
Skarf bercorak yang digayakan dengan tepat mampu menyerlahkan penampilan seseorang, walaupun mereka memakai kemeja-T biasa.
Contohnya, penyanyi terkenal Rihanna memadankan dua skarf dalam satu gaya: satu di kepala, satu lagi di leher, menjadikan penampilan ringkas kelihatan penuh bergaya dan berkarakter.
Lebih sofistikated dengan jaket kulit
Ubah gaya santai gaun putih ‘sundress’ atau ‘shirtdress’ menjadi lebih bergaya dengan memadankannya dengan pakaian luar bertekstur.
Jaket kulit ialah pilihan tepat untuk memberikan aura mewah yang ringkas tanpa usaha berlebihan.
Warna putih mungkin kelihatan terlalu ringkas atau mungkin membosankan, namun ia juga umpama sebuah kanvas kosong yang memberi ruang luas untuk si pemakai mengekspresikan kreativiti mereka melalui padanan gaya masing-masing.
Artikel ini pertama kali diterbitkan dalam majalah Her World.

