Siapa kata seluar perlu sentiasa mengikut potongan badan?
Sama ada berpotongan lurus atau sedikit kembang, seluar sememangnya antara pakaian asas dalam almari.
Namun, jika kita melihat kepada perkembangan fesyen musim ini, seluar berpotongan lebar (wide-legged pants) kini kembali menjadi pilihan.
Berbeza dengan seluar ‘palazzo’ yang biasanya mempunyai potongan kaki yang sangat lebar sehingga menyerupai skirt, seluar berpotongan lebar tampil dengan potongan lebih kemas dan berstruktur.
Ciri ini menjadikannya sesuai digayakan untuk hari bekerja mahupun hujung minggu.
Ia juga mudah dipadankan dengan pelbagai gaya – daripada kemeja berpotongan rapi atau baju rajut santai, sehinggalah kasut sukan, kasut santai (loafers) atau kasut bertumit tinggi.
Malah, ia turut kelihatan bergaya jika dipadankan bersama blazer, jaket atau kemeja.
Potongan lebar seluar ini tidak menonjolkan bahagian seperti perut, pinggul atau paha, yang kadangkala membuat sesetengah orang rasa kurang selesa jika mereka memakai seluar yang mengikut bentuk badan.
Selain itu, potongan lurus seluar ini mencipta garis menegak yang bersih, sekali gus membuatkan tubuh kelihatan lebih tinggi dan langsing.
Dengan pelbagai kelebihan yang ditawarkan, tiada sebab untuk tidak menyukai seluar ini.
Peruncit dalam talian tempatan menawarkan pelbagai pilihan seluar berpotongan lebar yang bergaya.
Antara yang menarik ialah ‘Vera Pleated Wide Leg Pants’ di bawah jenama Love & Bravery.
Seluar ini memberi nafas baru kepada potongan lebar klasik dengan sentuhan moden yang kemas dan praktikal untuk pemakaian harian.
Diperbuat daripada campuran fabrik poliester dan rayon yang ringan, fabrik seluar ini lembut namun tetap terletak kemas ketika dipakai.
Rekaan ini tampil menarik dengan lipatan (pleats) sisi yang kemas serta perincian halus di bahagian pinggang, sekali gus menaikkan seri potongannya yang ringkas.
Dengan potongan pinggang tinggi, jahitan yang kemas, dan gelung tali pinggang, seluar ini mengimbangi gaya profesional dengan keanggunan yang tampak mewah.
Sama ada dipadankan dengan blaus atau kemeja-T ringkas untuk acara hujung minggu, seluar ini mudah digayakan untuk pelbagai acara.
‘Pinstripe Panelled Waistband Trouser’ daripada Beyond the Vines pula memberi sentuhan moden pada gaya korporat klasik.
Seluar bercorak jalur halus ini menampilkan rekaan pinggang berpanel yang unik, sekali gus memberi nafas baru kepada gaya pakaian pejabat.
Diperbuat daripada fabrik sut lembut, potongan lebar seluar ini dilengkapi lipatan depan yang kemas, menghasilkan fabrik yang terletak cantik.
Gabungan jahitan klasik dengan perincian moden menjadikan seluar ini pilihan tepat buat mereka yang ingin tampil berbeza di pejabat, atau kelihatan bergaya untuk acara santai.
Selain itu, seluar jean berpotongan lebar dengan pinggang ‘mid-rise’ (sederhana tinggi) daripada Love, Bonito, direka untuk keselesaan sepanjang hari.
Lipatan depan seluar ini memberi sentuhan kemasan yang halus, manakala hujung seluar yang beralun menambahkan elemen moden yang santai.
Dilengkapi dengan poket depan dan belakang yang praktikal untuk keperluan harian, seluar ini mudah digayakan dengan pelbagai baju – daripada kemeja-T asas hingga blaus berbutang.
Sama ada diperbuat daripada fabrik formal seperti sut atau denim santai, serta dipadankan dengan blaus pejabat atau kemeja-T, seluar berpotongan lebar ini membuktikan bahawa seseorang masih boleh tampil bergaya meskipun mengutamakan keselesaan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg