Pencinta durian yang mengidamkan percutian dalam kapal persiaran kini disambut berita baik apabila Resorts World Cruises menawarkan pakej yang membawa pelancong belayar ke Malaysia untuk makan durian sepuas-puasnya.
Kapal Genting Dream akan berangkat dari Singapura pada 25 Ogos dan 1 September ini untuk pelayaran selama dua malam ke Kuala Lumpur, melalui Pelabuhan Klang.
Orang ramai boleh membeli pakej kapal persiaran pesta durian awal untuk mendapatkan akses eksklusif ke bufet durian di Pelabuhan Klang.
Pilihan luas durian yang terbaik dan popular, termasuk Musang King, Tan Sri XO, Black Thorn dan Sweetie, akan tersedia bagi santapan penumpang.
Pelbagai buah-buahan tropika lain juga boleh didapati.
Seiring dengan tema pesta durian dalam dua pelayaran khas tersebut, Genting Dream bakal menawarkan kegiatan suka ria, hiburan dan bengkel yang berkait rapat dengan raja buah itu.
Ini termasuk kelas untuk mempelajari cara memilih durian yang terbaik, satu kemahiran berguna bagi mereka yang sering ke kedai durian.
Maskot baru Resorts World Cruises yang comel, Pin Pin, juga bakal membuat kemunculan, bersama DurianBB dan rakan-rakan untuk memeriahkan lagi suasana.
Penumpang juga boleh menanti-nantikan kegiatan menarik, termasuk sesi bertemu maskot atau menikmati aiskrim lazat bersama mereka, memenangi hadiah dan mengambil bahagian dalam permainan yang diilhamkan daripada durian serta buah-buahan tropika, selain meluahkan kreativiti menerusi seni dan kraf.
Untuk mencipta kenangan indah, cenderahati eksklusif serta barangan maskot khas juga boleh didapati di atas kapal Genting Dream.
Selain pesta durian, penumpang boleh berseronok dengan tawaran lain yang disediakan semasa pelayaran tersebut, termasuk menikmati juadah halal, menonton persembahan pentas dalam teater secara langsung, berendam dalam kolam renang serta beraksi dalam kegiatan lasak seperti memanjat tembok.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg