Kalau nakkan drama bermutu tinggi, malahan setanding dengan naskhah luar negara seperti dari Indonesia dan Korea Selatan, mestilah perlu bersedia mengeluarkan bajet besar.
Begitulah pandangan pelakon berkaliber, Beto Kusyairy, 44 tahun, apabila menyentuh tentang apa yang perlu dilakukan syarikat penerbitan di Malaysia buat masa ini.
Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33 ini memberitahu Berita Harian Malaysia (BHM), bajet besar membolehkan syarikat penerbitan mendapatkan sentuhan pengkarya dengan mutu terbaik.
“Saya beri contoh drama popular dari Korea Selatan seperti Squid Game. Bajet diperuntukkan mungkin mencecah RM4 juta ($1.2 juta) untuk satu episod. Ia beribu kali ganda lebih tinggi berbanding peruntukan yang kita ada untuk menghasilkan keseluruhan drama di Malaysia.
“Disebabkan bajet tinggi, mereka boleh dapat tenaga kerja yang sangat mahir. Kita kena ingat, kemahiran tidak murah, ada harga perlu dibayar untuk mendapatkan mereka.
“Saya percaya kita ada penulis skrip yang baik, namun tidak semua syarikat penerbitan berani keluarkan duit banyak untuk bayar bagi kemahiran mereka.
“Kita juga tidak mahu ganggu pasaran penulis skrip jika asyik minta harga murah,” katanya yang ditemui pada tayangan perdana filem pendek terbitan Bank Rakyat, Aur Dengan Tebing, di Kuala Lumpur.
Mengenai mutu drama tempatan sejak akhir-akhir ini, Beto tidak menafikan ada peningkatan, terutama dari segi penceritaan.
“Saya berpendapat, perkara positif yang berlaku dalam industri kita sekarang adalah penambahbaikan dari sudut skrip dan mutu penerbitan walaupun ia bukan peningkatan sekelip mata.
“Peningkatan ini perlu ada memandangkan khalayak ramai sudah tidak lagi menonton televisyen (TV) kerana cenderung memilih platform Over-The-Top (OTT).
“Jadi, pada saya, stesen TV perlu tampilkan kelainan untuk bersaing dengan kandungan yang ada,” katanya, yang membintangi dua filem baru yang bakal ditayangkan pada 2025, iaitu Gayong dan The Original Gangster.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg