Pergerakan pelakon serba boleh, Beto Kusyairy, terbatas khususnya dalam melakukan babak aksi dalam penggambaran drama atau filem sejak akhir-akhir ini.
Beto atau nama sebenarnya, Nur Kusyairy Zakuan Osman, 44 tahun, mengakui mempunyai ‘slipped disc’ atau masalah cakera teranjak pada tulang belakang.
Dalam satu laporan Berita Harian Malaysia (BHM), pelakon filem Mat Kilau itu mengakui pada mulanya beliau mengabaikan kesakitan yang dialami.
Namun, selepas membuat pemeriksaan, akhirnya beliau disahkan mempunyai masalah tulang belakang.
Ditemui di set penggambaran filem terbaru, Gayong, di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi pada 19 November, Beto berkata:
“Umur saya sudah 44 tahun. Semestinya, apabila sudah mencecah angka empat, semua perkara menjadi perlahan. Pergerakan juga sudah tidak sama seperti zaman muda dulu.
“Banyak kecederaan lama yang saya tidak pernah ‘layan’, sekarang datang semula. Pinggang mula sakit. Ketika buat pemeriksaan, rupa-rupanya ada dua tempat berlakunya ‘slipped disc’.
“Hati mahu buat macam-macam aksi, tetapi, kemampuan fizikal tidak membenarkan. Sudah terbatas sedikit. Saya terfikir mahu perlahankan bawa watak aksi.”
Bagaimanapun, penerima trofi Aktor Filem Popular yang disampaikan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-35 itu bersyukur tidak berdepan masalah ketika menjayakan babak aksi seperti silat dalam filem Gayong.
“Saya bersyukur dalam projek filem Gayong, saya diberi koreografi yang sangat bagus dan mampu dibuat. Saya dijaga dan dikawal dengan baik daripada sudut keselamatan.
“Alhamdulillah, bermula hari pertama penggambaran hingga hari terakhir filem Gayong, tiada kecederaan serius.
“Cuma lebam dan luka sedikit itu biasalah,” tambahnya.
Berkongsi tentang cabaran membawa watak Allahyarham Datuk Meor Rahman, pengasas seni bela diri, Silat Gayong dalam filem Gayong, Beto khuatir dengan penerimaan masyarakat terutama ahli keluarga arwah sebaik filem itu ditayangkan.
Beliau akur enggan menerima tawaran pada awalnya, namun, selepas diyakinkan syarikat penerbitan, akhirnya Beto sedia menggalas peranan tersebut.
“Antara cabaran yang saya hadapi adalah daripada sudut tanggapan masyarakat terutama keluarga arwah, peminat dan anak-anak Silat Gayong.
“Saya juga adalah anak Silat Gayong. Saya belajar seni bela diri ini, bermula dari Darjah 1 sampai habis sekolah menengah.
“Sejak menuntut di universiti, ia mula perlahan. Namun, saya terima tawaran selepas berjumpa dengan penerbit dan diterangkan jalan cerita. Filem ini berkisar awal penubuhan gerakan Silat Gayong.
“Mendengar itu, saya mula reda,” ulas Beto.
Filem Gayong ialah naskhah biopik yang mencerminkan perjalanan awal pengasas seni bela diri Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman dan akan ditayangkan di Malaysia pada Mei 2025.
Filem arahan Faisal Ishak itu menampilkan pelakon handalan seperti Nabila Huda, Syafie Naswip, pelakon aksi popular dari Indonesia, Yayan Ruhian dan aktor Thailand, Chevanon Phukaokaew.
Pada 19 Disember, Beto akan tampil dengan filem, Reversi, arahan Adrian Teh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg