Bhutan adalah negara kecil yang terletak di antara India dengan China, tersembunyi di tengah pergunungan Himalaya.
Walaupun tidak sebesar negara-negara lain di Asia, keindahannya luar biasa dan itulah yang membuatnya begitu istimewa.
Negara tersebut, yang mengamalkan agama Buddha, dikelilingi pergunungan indah, lembah hijau menenangkan, serta desa tradisional yang masih mempertahankan budaya aslinya.
Meskipun ia bukan destinasi percutian yang begitu popular, pengendali perjalanan mewah Scott Dunn melihat peningkatan minat terhadap Bhutan.
Ini seiring dengan keinginan semakin ramai pengunjung yang mendambakan pengalaman lain daripada lain dan lebih bermakna.
Perunding perjalanan kanan di Scott Dunn, Cik Geraleine Yap baru-baru ini meneroka negara tersebut pada Februari dan berkongsi beberapa tempat menarik untuk dikunjungi.
Thimphu, ibu kota negara, sesuai untuk mendalami budaya Bhutan, manakala Gangtey menawarkan jejak alam semula jadi dengan pengunjung dapat memerhati kehidupan liar, terutama burung-burung.
Punakha pula sesuai jika pengunjung ingin mempelajari tentang kepentingan agama Bhuddha di Bhutan.
Cik Yap turut berkongsi lima tip berikut.
Biara Tiger’s Nest merupakan salah satu daripada mercu tanda paling ikonik di Bhutan, tetapi ia juga antara yang tertinggi di negara itu.
Tapak utama Buddha itu terletak 3,000 meter di atas paras laut, dan terletak di hujung pendakian yang curam.
“Saya sarankan anda melawat Tiger’s Nest di akhir percutian anda, dan untuk menyesuaikan diri dengan ketinggian itu secara beransur-ansur dengan melancong ke rantau berbeza dahulu,” ujarnya.
“Melakukan pendakian itu di akhir perjalanan anda juga menjadikan ia lebih bermakna.”
Tempat permulaan yang baik ialah Thimphu, ibu negara dan bandar terbesar negara tersebut.
Di sana, terdapat banyak tapak kebudayaan, contohnya Great Buddha Dordenma, patung setinggi 54 meter yang boleh dilihat daripada kapal terbang.
Walaupun seseorang kini boleh melakukan perjalanan mereka sendiri ke Bhutan, mereka masih perlu ditemani jurupandu bertauliah atau agensi perjalanan sepanjang masa apabila berada di sana dan mengambil kira keperluan lain, contohnya yuran harian bernilai AS$100 ($129) yang perlu dibayar setiap hari sepanjang berada di negara itu.
Bagi Cik Yap, mempunyai pengendali yang menguruskan segala-galanya membuat keseluruhan perjalanan lancar.
“Dari proses permohonan visa hingga bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan lakukan kegiatan, ia semua diurus mereka. Apa yang saya hanya perlu lakukan adalah hadirkan diri,” ujarnya.
Beliau menyarankan agar pengunjung menempah perjalanan dengan pakar yang boleh dipercayai supaya tidak rasa tertekan dengan urusan logistik yang adakalanya melecehkan.
“Di Bhutan, mereka percaya bahawa setiap gunung mempunyai tuhan di dalamnya, justeru mereka tidak akan lakukan sesuatu yang ‘memotong’ (cut through) gunung, dan ini termasuk jalan raya.
“Itu bermakna bahawa kebanyakan laluan agak berliku-liku, jadi saya nasihati pengunjung supaya bersedia untuk keadaan tersebut. Namun pemandangannya sangat menakjubkan dan benar-benar berbaloi, dan wajar untuk anda berada lebih lama di situ dan hayati suasana di sekeliling anda,” kata Cik Yap.
Penghormatan yang diberikan terhadap alam semula jadi hanyalah salah satu aspek budaya kerohanian mendalam di negara tersebut.
Jika boleh, pengunjung digalak berbual dengan warga setempat, yang selalunya senang hati untuk berborak.
“Sewaktu perjalanan saya, saya berpeluang bersarapan dengan beberapa sami Buddha, dan saya ambil peluang tersebut untuk tanya mereka tentang tanggungjawab mereka. Ada yang masih remaja, tetapi mereka mempunyai asas yang baik dan dedikasi – mendengar mereka bercakap penuh yakin tentang tanggungjawab mereka sangat menyentuh hati,” katanya.
Makanan Bhutan enak belaka, dengan cili, keju dan kari menjadi asas makanan, terutamanya sewaktu bulan-bulan lebih sejuk.
“Kebanyakan makanan yang saya rasa adalah sayur-sayuran tetapi saya tidak rindu daging langsung. Bahan-bahannya penuh berperisa,” kata Cik Yap.
Salah satu hidangan istimewa mereka ialah ema datshi – rebusan pedas dan berkeju yang dibuat dengan lada dan sos keju – menyelerakan pada musim sejuk.
Sama ada bermeditasi dengan sami Buddha atau mendaki ke Tiger’s Nest yang terkenal, pengunjung digalak fahami warisan kerohanian Bhutan dengan sifat ingin tahu dan penuh rasa hormat.
Cik Yap juga menggalakkan pengunjung supaya peka akan adat setempat.
Contohnya, apabila melawat tapak keagamaan, sentiasa berjalan mengikut putaran jam mengelilingi struktur tersebut – berjalan ‘melawan’ putaran jam dianggap biadab dan tidak baik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg