Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Daripada perniagaan dalam talian, jenama pakaian SG, Kaifiyyah kini jana penjualan jutaan dolar

Biasa yang ‘luar biasa’

Jenama fesyen yang berjaya mengaitkan diri mereka dengan keinginan masyarakat, berserta tujuan sosial mempunyai pengaruh yang lebih baik dan lebih kuat dalam kalangan pelanggan berbanding jenama yang tidak. Dua jenama fesyen tempatan yang diketengahkan ruangan WHe hari ini – Kaifiyyah dan Studio Gysied – menjejaki cerita di sebalik perjuangan pengasasnya untuk menjadikan pakaian mereka bukan setakat komoditi perniagaan, bahkan berperanan meningkatkan jati diri tanpa perlu terikat dengan tuntutan trend.
Aug 23, 2023 | 05:31 AM



Baju kurung adalah antara pakaian yang dijualnya, tetapi kurung yang dihasilkan peniaga Kat Aziz bukan yang biasa menjadi pilihan kebanyakan majalah fesyen – potongannya labuh dan gedoboh, dan boleh saja dipadankan dengan skirt atau seluar yang tidak sama warna, corak atau bahan. Nak dipadankan dengan seluar denim pun boleh.

Bahkan, peminat pakaian dari butik Kaifiyyah yang diasaskan Cik Kat, atau nama sebenarnya Siti Khadijah Abdul Aziz, 38 tahun, sering dilihat selamba menggayakan baju bersaiz luar biasa besar yang lengannya kadangkala begitu panjang sehingga melepasi tapak tangan.

Aneh bagi mereka yang lebih suka berpakaian ‘selamat’ di mata majoriti, tetapi ‘luar biasa’ bahkan ‘comel’ dan ‘classy’ bagi mereka yang mencari kelainan, tidak konformis dalam berfesyen tetapi patuh syariah.

Apa pun pandangan ramai terhadap pakaian ‘luar biasa’ Kaifiyyah, kemajuan yang dicapai jenama tempatan itu dalam tempoh yang singkat memang mengagumkan.

Dalam masa enam bulan butiknya dibuka secara fizikal di Kandahar Street pada 2021 – ketika Covid-19 masih aktif menular – penjualan bernilai $1 juta telah dicapai. Bahkan penjualan Kaifiyyah kini mencapai hampir $10 juta!

Cerita bagaimana fesyen jenama Singapura itu bermula ini juga kedengaran seperti ‘biasa-biasa’ – kisah bagaimana seorang suri rumah yang minat berniaga, berjinak-jinak menerusi perniagaan secara dalam talian untuk mencari pendapatan tambahan.

Menariknya, Cik Kat sebenarnya terlatih dalam bidang kejururawatan dan menjadi jururawat hospital selama beberapa tahun.







“Tak pernah ada minat dalam bidang jururawat pun, sebaliknya saya lebih berminat kepada seni dan teater. Tetapi bapa saya tak benarkan saya melanjutkan pelajaran di Maktab Seni LaSalle kerana ketika itu, tiada subsidi yuran.

“Saya hanya ada dua pilihan untuk teruskan pengajian di politeknik, sama ada bidang kejuruteraan atau kejururawatan. Bapa saya minta saya pilih jururawat kerana sekurang-kurangnya ada seorang anggota keluarga jadi jururawat,” kongsi beliau.

Beliau akhirnya meninggalkan pekerjaan jururawat pada 2012 untuk menjaga tiga anaknya yang masih kecil.

“Waktu itu, penjualan tudung secara dalam talian menjadi trend. Saya ikut sekaki. Padahal, masa itu langsung tak ada ilmu meniaga,” tambah beliau.

Akibat tiada pengalaman berniaga dan lemah pengurusan, beliau dibebani masalah kewangan.

Pada 2019, untuk menguatkan semula kedudukan kewangannya, beliau kembali bekerja secara sepenuh masa di hospital, tetapi kali ini sebagai pegawai penyelaras.

Beliau ketepikan sebahagian gajinya untuk modal penjualan pakaiannya.

Pada 2020, beliau mula mendapatkan nasihat perniagaan daripada seorang mentor di Malaysia.

Kisah baju kurung labuh dan gedoboh yang menjadi ‘signature’ Kaifiyyah juga ada kisahnya.







“Semasa dewasa, saya saksikan mak saya gigih siapkan baju kurung untuk sekeluarga. Ratusan dolar dihabiskan untuk beli kain ela dan beliau jahit baju berjam-jam, sampai bertengkar orang tua saya. Tetapi akhirnya, baju kurung itu hanya dipakai untuk Hari Raya. Ini secara tidak langsung, membuat saya benci baju kurung dan dan saya berazam tidak mahu pakai baju yang orang sibukkan setahun sekali dan mahal harganya,” ujar Cik Kat.

Namun, sebagai orang Melayu, macam mana sebal pun Cik Kat terhadap baju kurung, beliau tidak dapat lari daripada berpaut pada akar dan budaya demi jati diri.

Justeru Cik Kat menghidupkan otak kanannya untuk menghasilkan kurung versi beliau sendiri – yang boleh dipakai pada bila-bila masa secara selesa dan meyakinkan.

“Sejak remaja saya suka baju ‘oversize’ (luar biasa besarnya) dan dilihat sebagai perosak fesyen. Mana-mana saya pergi, semasa Hari Raya atau ziarah saudara-mara, orang selalu komen… baju kau ni lain macam, tapi cantik.

“Setelah saya bertudung pula, saya tidak mahu kelihatan seperti mak cik-mak cik. Saya tak mahu berpakaian seperti mak saya,” selorohnya yang akui pada usia 15 tahun, beliau menghabiskan banyak wang membeli majalah-majalah fesyen dari Jepun

Kurung dari Kaifiyyah bermula dengan Cik Kat meminta ibunya menjahitkan baju yang direkanya.







Semasa pelancaran penjualan pertama, kesemua 25 baju yang disiapkan habis direbut pembeli secara dalam talian dalam masa sesingkat setengah jam.

Daripada 25 helai, ibunya menyiapkan 60 helai untuk pelancaran seterusnya… sampai 3 hingga 4 pagi ibu bersengkang mata di mesin jahit.

“Melihat ibu saya bekerja keras begitu, saya berkata… ini tak boleh jadi, tak boleh terus-terusan susahkan ibu. Saya kemudian meminta seseorang yang boleh dipercayai untuk siapkan pesanan.

“Saya mula promosikan baju kurung saya dengan naratif penggayaan, bahawa baju kurung boleh digayakan dengan jean. Ramai yang suka dan sambutan sangat baik. Berkat doa orang tua saya juga,” ujarnya.

Beliau menamakan potongan-potongan tertentu baju kurungnya seperti ‘Annie’, ‘Lucy’, ‘Hajar’, ‘Iman’ dan sebagainya. Terdapat juga pilihan pakaian lain seperti kardigan, seluar kargo dan skirt kembang.

Di bawah jenama Kaifiyyah, Cik Kat menangkap inti pati pakaian bersaiz besar, mentakrifkan semula konsep gaya dan keselesaan. Dengan perhatian yang teliti terhadap fesyen dan pemahaman mendalam tentang pelbagai jenis badan.

Apabila penjualan semakin meningkat sehingga 1,000 helai baju terjual dalam sekali pelancaran, beliau mengambil keputusan untuk mendapatkan ruang secara fizikal bagi mengejar impiannya.

Pada 2021, beliau mendapatkan unit pertama di Kandahar Street dengan sewa harga yang menarik memandangkan pandemik masih melanda.







Dalam tempoh enam bulan, beliau mencapai penjualan $1 juta. Kini dalam tempoh dua tahun, Kaifiyyah sudah mengisi empat unit di kawasan yang hanya beberapa meter dari Masjid Sultan itu.

Selain pelanggang yang masuk ke butiknya, penjualannya juga laris secara dalam talian, apatah lagi Cik Kat dan para pekerjanya sering melakukan demonstrasi penggayaan secara ‘live’ di Instagram, hampir setiap hari.

Beliau mempunyai ‘pop-up store’ di Brunei dan pernah menyertai reruai di Kuala Lumpur. Beliau juga membentuk rangkaian perniagaan di Dubai dan Jakarta.

Dengan perniagaan yang semakin berkembang dan mempunyai 15 kakitangan tetap, Cik Kat tidak lagi melihat dirinya sebagai ‘penjual baju’, sebaliknya sebagai pemimpin yang menerajui pasukannya menggerakkan sebuah industri pakaian patuh syariah, yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Sebab itu Cik Kat, yang pernah merintis Women Of Haya, pergerakan yang memperkasa Muslimah, menggunakan kelebihan yang ada dengan melibatkan diri dengan kerja-kerja kemasyarakatan.

Kaifiyyah yang pernah menaja program Persatuan Ain dan sedekah beras kepada golongan yang memerlukan, pada Jumaat dan Sabtu ini akan menjadi hos acara ceramah oleh pakar motivasi popular Amerika Syarikat yang sering muncul dengan dakwah ringkasnya dalam klip-klip video di media sosial, Cik Yasmin Mogahed.


Maklumat lanjut mengenai ceramah ini boleh didapatkan di kaifiyyah.com.


Diminta nasihat bagi mereka yang mahu mula berniaga, Cik Kat berkata seseorang perlu menetapkan dan menguatkan niat kenapa mahu berniaga dan dapatkan ilmu daripada pakar atau mentor yang terbukti telah menghasilkan ramai peniaga berjaya.

“Kalau buat silap, cepat-cepat belajar dan move on. Jangan buang masa dengan benda yang tak menjadi. Apa yang kita buat, harus menguntungkan diri dan memberi manfaat kepada orang lain,” ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >