Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biduan suara emas, Jay Jay, meninggal dunia

Aug 5, 2024 | 1:02 AM
Allahyarham Mohd Fauzi Darus atau lebih dikenali sebagai Jay Jay disifatkan sebagai antara pemain bes terbaik Malaysia di samping memiliki suara yang menenangkan.
Allahyarham Mohd Fauzi Darus atau lebih dikenali sebagai Jay Jay disifatkan sebagai antara pemain bes terbaik Malaysia di samping memiliki suara yang menenangkan. - Foto FAIL

Penyanyi bersuara emas, Jay Jay, yang pernah dikenali sebagai vokalis band popular era 1970-an, Carefree, meninggal dunia pada 9.27 malam, 4 Ogos 2024.

Jay Jay atau nama sebernarnya, Mohd Fauzi Darus, 67 tahun, yang dilahirkan pada 6 Jun 1957 di Kedah, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Thomson, Kota Damansara di Petaling Jaya.

Berita pemergiannya dimaklumkan sahabat seninya, Datuk Hattan, yang menerima panggilan telefon daripada isteri Allahyarham, Zaitoon Wahib.

“Saya baru sahaja bercakap dengan isteri arwah dan dia beritahu Jay Jay meninggal kira-kira jam 9 malam tadi.

“Jenazah masih berada di hospital dan sedang diuruskan,” kata Datuk Hattan kepada Berita Harian (Malaysia).

Sebelum ini, Jay Jay telah menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selama enam jam pada Mei.

Beliau dikatakan mengalami serangan jantung dan sesak nafas.

Berita pemergiannya turut dikongsi beberapa rakan seni termasuk pelakon Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dan penyanyi kelahiran Singapura, Jatt Ali.

“Saya dapat berita pulangnya biduan Jay Jay kepada Ya Khaliq.

“Hilangnya seorang insan seni yang tiada pengganti. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah, diampunkan dosa-dosanya, diterima segala amal ibadahnya dan ditenpatkan arwah bersama hamba-hamba-Nya yang beramal soleh,” tulis Fauziah di Instagram.

Di dalam Facebook, Jatt pula menulis:

“Ya Allah, baru dapat berita sahabat saya, seorang pemain bes dan penyanyi bersuara lunak telah dijemput Allah Yang Maha Esa.

“Sungguh tak sangka kerana apabila kami datang menziarahinya pada 8 Julai lalu, beliau seakan beransur pulih dan dapat berborak macam biasa sahaja.

“Saya sekeluarga rasa sangat kehilangannnya. Kali terakhir buat ‘show’ bersama dan beliau di Selangor pada Disember 2023.

“Ingatkan dapat lagi peluang untuk berkongsi pentas sekali lagi tahun ini tetapi, beliau sudah tiada...Moga rohnya dicucuri rahmat Allah dan berada dalam kalangan orang-orang beriman.

“Selamat jalan sahabatku.”

Jay Jay memulakan kerjaya seninya bersama Carefree pada 1979. Kumpulan ini terkenal dengan lagu seperti Rindu Bayangan, Belaian Jiwa, Joget Mak Enon dan Aku Terpesona.

Sebagai artis solo pula, Jay Jay dikenali kerana lagu Kau Yang Tersendiri, Keasingan Dalam Luka dan Joget Angan Tak Sudah.

Lagu duetnya bersama Dayangku Intan, Kita Insan Biasa, juga kekal sebagai antara paduan suara malar segar kegemaran ramai.

Setiap Raya juga akan berkumandang lagu Allahyarham, Hari Raya Bahagia, di corong radio.

Allahyarham meninggalkan seorang balu yang merupakan kelahiran Singapura dan empat anak.

Salam takziah buat keluarganya dan moga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang dirahmati. Al-Fatihah. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg