Lapan tahun lalu, saya melangkahkan kaki ke rumah biduanita legenda, Nona Asiah, sebulan sebelum beliau disampaikan dengan Pingat Budaya, pengiktirafan tertinggi Majlis Seni Kebangsaan (NAC), dengan rasa teruja meneroka perjalanan seninya.
Nona Asiah, atau nama sebenarnya, Noor Asiah Aman, membelek satu per satu halaman album foto lama yang mengandungi gambar kenangannya menjadi penyanyi latar dan runut bunyi filem era P. Ramlee daripada Malay Film Productions dan Cathay-Keris.
Setiap foto ada kisahnya, baik yang menggembirakan, membanggakan mahupun yang melucukan.
Beliau yang dikenali dengan panggilan manja, Mak Nona, kemudian meminta izin meninggalkan sebentar saya, wartawan akhbar Cina, Lianhe Zaobao, dan beberapa pegawai perhubungan awam NAC, untuk masuk ke biliknya.
Ingatkan beliau ingin ke mana? Rupanya, Mak Nona berjalan perlahan masuk ke bilik untuk bertukar pakaian kepada kebaya lama yang beliau sendiri jahit dan masih lagi nampak baru untuk dipakai.
“Mak Nona bangga dengan kerja seninya. Dia nak tunjukkan kepada anda semua apa yang dia hasilkan sampai bintang filem lain pun terpesona dan minta dia jahit,” ujar anak bongsu Mak Nona, Indra Shahrir Ismail, kepada kami.
Seingat saya, bakat Mak Nona memang luar biasa.
Pada era kegemilangannya, beliau adalah simbol wanita perkasa yang mampu berjaya dalam apa sahaja. Beliau adalah penghibur, penyanyi, juruhebah radio, pelakon, guru dan pereka fesyen seawal 1950-an lagi.
Selepas subuh pada 30 Julai, saya mendapat kiriman WhatsApp daripada biduanita, Rahimah Rahim, mengenai pemergian Mak Nona pada usia 94 tahun.
Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 4.25 pagi setelah dirawat dua bulan di Hospital Besar Changi (CGH) kerana komplikasi penyakit ginjal, jantung dan paru-paru.
Sebelum ini, Indra yang menjadi pengarah muzik bagi persembahan jaz pada 27 Julai, Jazz 2.0@Persada, di Wisma Geylang Serai, meminta maaf kerana tidak dapat menyertai sesi wawancara Zoom bersama Berita Harian (BH) untuk promosi acara itu kerana ibunya tenat.
Jika disingkap semula sejarah, Mak Nona merakam dua lagu pertama ke piring hitam pada 1949 iaitu, Ciumku Lagi, (disesuaikan daripada lagu Mexico yang malar segar, Besame Mucho) dan Bunga Sakura (lagu Jepun) sebagai pembuka tirai kerjaya seninya.
Kerana sambutan baik pada lagu-lagunya, beliau ditawarkan sebagai penyanyi latar bagi filem keluaran Malay Film Productions dan kemudian Cathay-Keris.
Antara filem yang mengetengahkan vokal merdunya termasuk, Chinta, Nasib, Nilam, Rachun Dunia, Hujan Panas dan Bujang Lapok.
Mak Nona dilahirkan dalam keluarga bangsawan dan amat menghargai jasa ibunya, Hajar Rahmah, dalam mendedahkannya kepada dunia bangsawan sebagai penghibur sementara latar di pentas sedang diubah.
Kehidupannya dikelilingi orang-orang seni ketika menetap di rumah kedai sekitar Allenby Road, kawasan yang turut didiami seniwati, Siput Sarawak.
Satu kenangan yang tidak dapat Mak Nona lupakan yang turut diceritakan kepada BH sebelum ini ialah pengalaman menghiburkan tentera Jepun di pangkalan tentera di Seletar dan Tengah.
Beliau dan beberapa anak panggung dibayar beras dan bahan makanan lain untuk membantu mereka mengharungi kesukaran pada waktu perang.
Selepas penyerahan Jepun, Mak Nona diberi pekerjaan berbayar sebagai penyanyi yang melaksanakan permintaan lagu pada rancangan radio mingguan di Radio Malaya.
Beliau menyanyikan lagu Indonesia dan lagu Barat dalam Bahasa Melayu, disokong oleh trio yang dikenali sebagai Tiga Serumpun – seorang pemain piano, gitaris dan pemain bes.
Mak Nona, yang berumah tangga dengan anggota Tiga Serumpun, Ismail Kassim, pernah mendapat tawaran membuat persembahan di Sarawak dan Brunei.
Nama Nona Asiah merupakan pemberian P. Ramlee, yang merupakan antara mentornya selain penggubah lagu kebangsaan, Majulah Singapura, Zubir Said.
Antara lagu terkenal Mak Nona ialah, Cempaka Biru, Hasan dan Hasnah dan Gelora Chinta.
Beliau juga pernah cuba berlakon bersama suaminya, Ismail, dalam filem arahan Nas Achnas, Pelangi.
“Saya lebih suka menyanyi tapi Nas berusaha dapatkan saya berlakon sebab dia tertarik pada pencapaian saya dalam bidang seni suara dan budaya kerja saya.
“Cuma yang saya tak boleh lupa ialah babak saya terjun dalam kolam. Sewajarnya, saya dibiarkan terkapai-kapai di situ tapi Pak Mail (gelaran buat suaminya) kasihan tengok saya meronta-ronta dalam air. Dia terus terjun, tak sampai hati tengok saya.
“Itu babak yang tak ada dalam filem. Lalu, dia dimarahi pengarah!” ceritanya seraya ketawa dalam satu wawancara bersama BH ketika dinobatkan sebagai penerima Pingat Budaya 2016.
Namun, dirinya tidak berminat meneruskan kerjaya lakonan kerana selepas itu banyak lagi amanah termasuk mengendalikan siaran radio buat pelajar sekolah dan menjadi pengasuh nyanyian bagi Bengkel Radio dan TV yang perlu digalas.
Tiada penyesalan yang mengisi ruang benak Nona Asiah apabila melihat anak didiknya seperti pengacara televisyen, Rilla Melati Bahri; deejay radio, Suriani Kassim; pengarah dan pelakon, Khairudin Samsudin; pengarah, Faisal Ishak; dan guru, Djohan Abdul Rahman, berjaya dalam kerjaya mereka.
“Apabila saya duduk-duduk di rumah dan meluangkan masa dengan beribadah, membaca Al-Quran dan berehat dengan anak cucu, saya teringatkan pencapaian mereka.
“Ada yang nakal bukan main tapi kini berjaya berkat latihan awal di Bengkel Radio dan TV dulu.
“Saya bangga bahkan rasa masing-masing boleh perkasa diri dengan bakat yang ada. Seni kita menghiburkan orang. Kita perlu rajin dan tidak harus gentar dengan cabaran,” tambahnya.
Anak-anak Allahyarhamha Mak Nona rata-rata berpengalaman dalam bidang muzik.
Anak sulungnya dalam lima beradik, Allahyarham Iskandar Ismail, bahkan menerima Pingat Budaya 2008.
Pada 2015, satu konsert, Si Cempaka Biru – Celebrating the Life of Nona Asiah, diadakan di Esplanade sempena Pesta Raya bagi menyanjung bakti Mak Nona.
Pada 2016, hasil geran Pingat Budaya, legasi Mak Nona terakam dalam susunan semula lagu yang pernah beliau rakam.
Disusun semula oleh anaknya Indra, kompilasi CD itu dijayakan Najip Ali, Hazrul Nizam, Liwani Izzati, Rilla Melati dan Syah Riszuan.
Pada 2022 pula, beliau disertakan dalam Dewan Termasyur Wanita Singapura (SWHF) yang dilancarkan Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) pada 2014 untuk meraikan pencapaian dan sumbangan wanita.
Dokumentari ringkas yang mengetengahkan Najip, Rilla dan seorang lagi anak Mak Nona, Talib Ismail, turut dihasilkan dengan geran itu.
Satu perkara yang manis tentang Nona Asiah ialah beliau diingati ramai penyanyi tersohor di Nusantara yang akan mendendangkan lagu beliau ketika berkonsert di Singapura.
Ini termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah, yang menganggap Mak Nona sebagai idola dan penyanyi wanita veteran yang menggambarkan estetika dan khazanah seni zaman-berzaman dek suara buluh perindunya dan gayanya yang mempesona.
Al-Fatihah buat Allahyarhamha Noor Asiah Aman, atau lebih mesra dengan panggilan Nona Asiah.
Moga rohnya dicucuri rahmat dan beliau ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.
Jenazahnya akan disolatkan di Masjid Ba’alwie pada 9 pagi, 31 Julai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg