Dalam setiap perkara yang diusahakan, penyanyi kelahiran Singapura, Farisha Ishak, yang juga juara peraduan realiti The Final 1, tidak pernah menetapkan impian untuk jadi yang terbaik.
Namun, berbekal disiplin, keihsanan dan keinginan ikhlas melihat golongan yang sering disalah anggap sebagai kelompok lemah seperti wanita dan kaum minoriti melangkah jauh dalam pergolakan dunia tidak menentu, Farisha, 30 tahun, mampu merealisasikan impian dan sekali gus mengecapi kejayaan yang boleh dibanggakan.
Baru-baru ini, pelantun lagu Aligned dan Hidup Ini Indah itu berkongsi kejayaannya menamatkan dengan cemerlang pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Sekolah Perniagaan Kenan-Flagler, Universiti North Carolina (UNC) bersama Berita Minggu (BM).
Farisha yang sama-sama mengikuti kursus MBA bersama suaminya, Connor Cooke, 28 tahun, juga disenaraikan dalam laman Poets and Quants sebagai antara 63 lulusan MBA terbaik dan terbijak di merata dunia.
Beliau dicalonkan universitinya bukan sahaja kerana kelulusan akademik yang baik, tetapi kerana pencapaian kepimpinan kegiatan luar darjah yang cemerlang, kebolehan semula jadi dan potensi menyerap semangat keusahawanan yang ketara.
Laman Poets and Quants yang dibangunkan sedekad lalu itu menerima 226 pencalonan daripada 74 sekolah perniagaan terbilang dunia.
Bagi Farisha, inilah pencapaian yang membanggakan sebagai wanita Muslim dari Singapura.
Farisha, yang merupakan Presiden Carolina Women In Business (CWIB), kelab kendalian siswa terbesar di UNC Kenan-Flagler bagi memperkasa pelajar wanita dalam kemajuan kerjaya dan membina rangkaian kenalan, juga menutup tirai pengajian selama dua tahun dengan Anugerah Presiden Kelab Kepelbagaian Cemerlang.
Pengasas dan Presiden Bersama Persatuan Siswa dan Siswi Islam, ‘Muslims At UNC Kenan-Flagler’ itu turut menerima Anugerah Nilai Teras Untuk Rangkuman kerana menggalak kegiatan inklusif.
Farisha yang pernah bertugas sebagai pengurus program di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew itu juga disampaikan pertubuhan pelajar tidak mengaut untung, Net Impact dan Pusat Ackerman bagi Kecemerlangan Dalam Kemampanan, dengan Anugerah Peringatan Susan Schick kerana mengusahakan kemampanan dan inovasi dalam kegiatan yang dianjurkan.
Mendiang Cik Schick merupakan lulusan MBA 2009 di kampus Farisha yang memperjuangkan kemampanan.
Sewaktu dihubungi BM, Farisha yang pernah memberitahu penulis tentang cita-citanya menjadi diplomat sejurus memenangi The Final 1, berkata:
“Saya tidak sangka dapat melaksanakan semua amanah ini dalam tempoh sesingkat dua tahun mengambil MBA bersama suami. Pada tahun akhir, saya nampaknya lebih aktif melakukan kerja-kerja kemasyarakatan yang menyejukkan hati saya, memperkasa diri dan orang lain.
“Saya paling bangga menjalani tempoh sebagai Presiden Carolina Women In Business, di mana saya berpeluang bekerjasama dengan pasukan wanita yang hebat dan memiliki nyala rasa dalam memperjuangkan kaum Hawa dalam bidang perniagaan.
“Kelab ini adalah yang terbesar dikendalikan siswa MBA dengan misi membangun masyarakat dan menyediakan sumber untuk menyokong pelajar wanita yang memburu ijazah bisnes mereka.
“Dengan pasukan eksekutif berbilang kaum, kami menganjurkan acara dan inisiatif sepanjang tahun yang memberi tumpuan pada pembangunan profesional, masyarakat dan semangat bersekutu ke arah kebaikan.”
Salah satu acara yang dianjurkan adalah sidang bertema Together We Rise, di mana tumpuan diberikan kepada usaha seiring jalan mempertingkat potensi wanita dalam perniagaan.
“Bagi saya, sidang ini meninggalkan kesan positif secara emosi dengan peserta sidang lebih bersemangat melakukan sesuatu dalam memburu impian mereka mencapai jaya,” katanya.
Farisha juga bercita-cita memulakan inisiatif keusahawanan sosial yang mewujudkan peluang bagi wanita dan kaum minoriti asal Asia Tenggara yang menetap di Amerika untuk melancarkan usahaniaga mereka sendiri demi membangun kekayaan generasi.
Melihat pada kampus yang tiada persatuan khusus untuk siswa dan siswi Muslim, Farisha tampil mengusulkan idea memulakan Persatuan Siswa dan Siswi Muslim, ‘Muslims At UNC Kenan-Flagler.
“Saya lihat ada kelab untuk pelajar beragama Kristian atau Yahudi tetapi tiada pula persatuan untuk pelajar Muslim. Di kampus, selain saya dan suami, ada juga siswa dari Pakistan, Indonesia dan negara Arab yang beragama Islam.
“Saya berpegang teguh pada pendirian perlu ada perwakilan dari setiap kaum atau penganut agama. Saya ingin lihat sebuah masyarakat kampus yang saling memahami dan bertolak ansur terbina.
“Pada 2023, usulan saya untuk membentuk kelab siswa dan siswi Muslim ini diterima pihak universiti. Saya teruja melihat apa yang boleh kami anjurkan sebagai wadah sokongan sesama agama mahupun dalam memperkenalkan kemurnian nilai Islam lantas meluputkan sebarang salah tanggapan golongan bukan Islam terhadap agama saya, jika ada,” kongsi Farisha.
Beliau, suami dan beberapa sahabat lain, menganjurkan acara berpuasa beramai-ramai, Fast-A-Thon di mana teman bukan Islam di kampus sama-sama merasakan pengalaman berpuasa pada Ramadan lalu.
“Saya enggan meletakkan jangkaan tinggi untuk acara ini. Kalau dapat 15 peserta berpuasa dengan kami, jadilah. Tapi alangkah terkejutnya saya apabila acara ini disertai 70 orang!
“Kami kemudian berbuka beramai-ramai. Nikmatnya sukar dibayangkan dengan kata-kata,” ujar Farisha.
Walaupun cabaran yang dirasakan Farisha sewaktu mengambil pengajian MBA ini disebabkan berjauhan daripada ibu bapa dan adik-beradiknya yang berhijrah dari Singapura ke Vancouver, Canada, beliau bersyukur suaminya banyak membantu memudahkan situasi.
“Bagi saya, Connor banyak menolong diri saya menghadam konsep modul kewangan dan perniagaan yang saya payah fahami sebab latar belakangnya memang dalam bidang itu.
“Beliau juga bersikap murah hati dan suka membantu siswa siswi lain yang menghadapi kesulitan,” tambahnya, yang juga lulusan Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Antarabangsa/Sejagat daripada Universiti Nasional Singapura (NUS).
Buat masa ini, sementara menanti tarikh 1 Ogos untuk memulakan kerjaya baru di New Jersey sebagai pengurus jenama bersekutu di Haleon, syarikat jagaan kesihatan berbilang negara (MNC), Farisha sibuk mengembara ke negara Asia Tenggara, Australia dan New Zealand bersama suaminya.
“Tapi saya takkan abaikan kerjaya muzik saya. Ia sudah mendarah daging. Ke mana pun saya pergi, muzik itu nyala rasa walaupun saya malu berkongsi dengan rakan sekampus bahawa saya lebih dikenali sebagai penyanyi di Singapura.
“Mereka terkejut apabila saya menyanyikan lagu saya sendiri, Life Is Beautiful, di satu acara kampus, Songfest Legacy Champion. Tahu sahaja latar belakang saya, mereka pun apa lagi? Ghairah mereka cari video kerja seni saya yang dimuatnaikkan di YouTube dan mereka ‘Google’ nama saya.
“Jadi, apa yang saya rancang kelak adalah mencari penerbit dan komposer di Amerika yang sudi bekerjasama dengan saya. Kita boleh bikin album baru. Jadi nantikanlah dan doakan saya,” tambah Farisha.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg