Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Biker’ tunggang motor solo dari Afrika ke S’pura demi amal

Jarak perjalanan rentas tiga benua itu dianggarkan kira-kira 30,000 kilometer, ambil masa hingga setahun
Jan 12, 2025 | 5:30 AM
Encik Muhamad Rahim Resad merentas cabaran dari Afrika ke Singapura dalam perjalanan ‘Longest Ride Home’.
Encik Muhamad Rahim Resad merentas cabaran dari Afrika ke Singapura dalam perjalanan ‘Longest Ride Home’. - Foto FACEBOOK RIDE OR BUST

Berbekalkan perkakas khemah, set memasak mudah alih, kit kecemasan, komputer riba, kabel elektrik dan keperluan lain, yang berat keseluruhannya mencecah 35 kilogram, penggemar kegiatan lasak, Encik Muhamad Rahim Resad, memulakan perjalanan solonya menunggang motosikal dari Cape Town, Afrika Selatan, ke Singapura pada Disember 2024.

Namun perjalanan yang dianggarkan sejauh 30,000 km merentas tiga benua – Afrika, Eropah, Asia – itu bukan sekadar perjalanan bagi memuaskan dahaganya meneroka dunia tetapi juga untuk tujuan amal iaitu mengumpul dana bagi Free Food for All (FFFA), sebuah badan amal setempat yang menaja makanan sedia makan.

Dihubungi Berita Minggu (BM), Encik Rahim, yang pernah menjadi relawan di bawah FFFA, meluahkan harapan agar pengembaraannya yang digelar sebagai ‘Longest Ride Home’ (Perjalanan Paling Jauh Menuju Tanah Air) boleh menjadi wadah untuk mengumpul dana bagi mereka yang kurang bernasib baik di Singapura.

“Inilah cara saya menyumbang sedikit untuk membantu mereka yang memerlukan. Saya cukup memahami keadaan mereka memandangkan saya sendiri membesar dalam keluarga miskin. Disebabkan itulah saya ingin menyumbang kembali,” katanya yang bekerja sendiri.

Perjalanannya yang dianggarkan memakan masa sekitar 10 bulan hingga setahun, bertujuan mengumpul dana supaya seramai 3,000 keluarga berpendapatan rendah menerima makanan sedia makan dari FFFA setiap bulan.

Jurucakap FFFA berkata lebih $700 telah dikumpulkan setakat ini dan berharap dapat mencapai sasaran iaitu $100,000.

Orang ramai juga dapat menyumbang kepada usaha ini menerusi laman giving.sg.

Encik Rahim, 54 tahun, yang mencatat rentetan perjalanannya menerusi Facebook Ride or Bust, sudah giat mengumpul dana tersebut sebelum memulakan perjalanannya dengan penjualan jersi ‘The Longest Ride Home’ pada harga $30.

Ini bukan pertama kali Encik Rahim menunggang motosikalnya secara solo buat tujuan amal.

Sebelum ini, beliau pernah merentas laluan darat dari Singapura ke Nordkapp, Norway pada 2017 dan dari Alaska ke Argentina pada 2019, yang secara keseluruhannya mencecah kira-kira 70,000km.

Berkongsi ilham di sebalik perjalanannya kali ini untuk pulang ke tanah air, Encik Rahim berkata ia sebenarnya tercetus tatkala beliau masih seorang karyawan muda yang bekerja sebagai pereka dalaman dan prasarana, dan pada waktu itu bercita-cita melaksakan projek ‘Round The World’ (Keliling Dunia).

Projek itu bermula dengan perjalanan dari Alaska ke Argentina pada 2019.

Setelah sampai di Argentina, Encik Rahim menghantar motosikalnya ke London supaya dapat meneruskan perjalanan pulang ke Singapura namun rancangan tersebut tergendala disebabkan Covid-19.

Laluan bersalji..Encik Muhamad Rahim Resad  dalam perjalanannya dari Pakistan ke China pada 2017.
Laluan bersalji..Encik Muhamad Rahim Resad dalam perjalanannya dari Pakistan ke China pada 2017. - Foto MUHAMAD RAHIM RESAD
Tiba di Argentina... Encik Muhamad Rahim Resad tiba di Ushuaia di Argentina setelah membuat perjalanan dari Alaska pada 2019.
Tiba di Argentina... Encik Muhamad Rahim Resad tiba di Ushuaia di Argentina setelah membuat perjalanan dari Alaska pada 2019. - Foto MUHAMAD RAHIM RESAD

Justeru, projek ‘Longest Ride Home’ ini adalah untuk menyelesaikan rancangan tersebut yang dibuat separuh jalan, kongsi beliau.

Walaupun tidak asing menunggang motosikal sendiri sepanjang jarak yang sangat jauh, Encik Rahim berkata perjalanannya kali ini mendatangkan cabaran yang berbeza dan lain daripada lain kerana merupakan perjalanan paling jauh yang bakal ditempuhnya.

Menukil salah satu cabaran yang dialaminya apabila mengembara secara solo sejak dahulu, Encik Rahim berkata ia adalah apabila beliau terpaksa menyimpang ke laluan yang tidak rata ke tempat terpencil sebelum sampai ke destinasi.

Dalam keadaan sedemikian, beliau perlu menggunakan peta dan kompas fizikal yang dibawanya ke mana-mana.

Meskipun bukan mudah, Encik Rahim tetap mendapati pengalaman menunggang motor secara solo membawa banyak kenangan manis.

“Menunggang motosikal secara solo boleh mendedahkan kekuatan dan kelemahan seseorang. Penunggang motosikal solo juga tidak dilihat sebagai menakutkan. Warga setempat lebih rela memulakan perbualan dengan saya dan kebanyakan masa mengajak saya tinggal bersama mereka sambil mendengar kisah-kisah saya,” ujarnya.

Beliau berharap dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda, namun memberi peringatan agar mereka buat banyak penyelidikan sebelum memulakan perjalanan.

“Hasrat saya adalah agar pengembaraan saya akan mendorong penunggang motosikal muda agar keluar daripada zon keselesaan mereka, menjelajah dunia, dan berkongsi kisah mereka agar dapat menjadi inspirasi kepada orang lain,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg