Temasya seni tarian Melayu Singapura, Festival Muara, giat menyajikan kegiatan mendekatkan tarian Melayu bukan hanya kepada pencinta tarian, malah setiap lapisan masyarakat di Nusantara.
Sempena Festival Muara 2024, Kamelia Co. Ltd. bakal menganjurkan Simposium Sembang Tari @ Festival Muara 2024 sambil meneroka tradisi dan amalan tarian Melayu di dalam mahupun luar Singapura.
Ia adalah kerjasama Festival Muara anjuran Era Dance Theatre Ltd dengan sokongan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) serta Dana Seni Tote Board.
Dalam usaha merai dan melestarikan kerencaman budaya tarian Melayu di Nusantara, simposium itu menghimpunkan penggiat dan cendekiawan di Singapura, Malaysia dan Indonesia untuk berbincang dan saling bertukar pendapat.
Bertema, Menghubungkan Kepelbagaian Budaya: Meraikan Tradisi dan Amalan Tarian Melayu di Seluruh Nusantara, peserta akan lebih memahami secara mendalam mengenai kepentingan sosiobudaya tarian Melayu sambil mengamati kaedah inovatif untuk mengekalkan kelangsungan tradisi seni itu.
Menurut pengasas dan penerbit Kamelia Co., Hazwany Razali, simposium itu juga merupakan kesinambungan dalam siri Sembang Seni yang meliputi sastera serta tarian Melayu.
Beliau turut meluahkan rasa besar hati dapat mewujudkan ruang bagi penggiat seni dan cendekiawan menyelami tradisi, cabaran sekali gus potensi seni tarian di masa hadapan secara mendalam menerusi wacana.
“Dengan menyampaikan simposium ini dalam bahasa Inggeris, kami juga berharap dapat menyediakan peluang pertukaran ilmu yang bernilai dan membina masyarakat seni yang profesional dalam kalangan penggiat seni Melayu di Singapura mahupun antarabangsa,” kata Hazwany.
Pengarah Urusan Era Dance Theatre, Azrin Rahim, menambah:
“Kerjasama Era Dance Theatre bersama Kamelia Co. meluaskan keterampilan Festival Muara dengan kami mengalu-alukan lebih banyak kumpulan seni Melayu tempatan menyertai perayaan budaya yang bersemangat ini.
“Festival ini merupakan pertembungan idea dan amalan seni yang dinamik, menawarkan wadah sepanjang bulan bagi kumpulan seni Melayu menonjolkan bakat mereka yang pelbagai.”
Penerima Anugerah Pingat Kebudayaan 2023 dan Pengarah Artistik Era Dance Theatre, Osman Hamid, bakal menyampaikan ucaptama pada 23 November mengenai kedudukan unik Singapura dalam landskap budaya tempatan dan peranannya sebagai pusat melestarikan tradisi tarian Melayu.
Selain beliau, penerima Anugerah Belia Singapura 2017 dan sarjana tarian Melayu Singapura, Dr Noramin Farid, akan menyampaikan perbincangan tentang tradisi dan amalan tarian Melayu di Nusantara dalam sudut pandang sosiobudaya.
Beliau akan ditemani rakan pensyarah dari Malaysia dan Indonesia – Abdul Hamid Chan dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris; dan Dr Madia Patra Ismar dari Fakulti Seni Persembahan, Institut Kesenian Jakarta.
Setelah itu, pengasas dan pengarah artistik, The Kaizen M.D (Multidisciplinary) Collective, Norisham Osman akan membincangkan tentang usaha mengalihkan wacana kepada hasil seni di samping pensyarah tarian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Mohd Hafzal Aziz dan penggiat seni dari Pulau Parit, Karimun, Muhammad Nurazhariansyah.
Pada 24 November, penari dan pereka tari Indonesia, Dr Eko Supriyanto, yang terkenal dengan karyanya seperti Cry Jailalo (2013) dan IBUIBU BELU: Borders of Borders (2020) akan membincangkan kepentingan perspektif moden dalam amalan tradisional bagi memastikan kerelevanan tarian dalam dunia seni masa kini.
Bersama Dr Eko, cendekiawan dalam budaya dan tarian Melayu dan pereka tari di Malaysia, Dr Norsafini Jafar dan Dr Hafzan Zannie Hamza akan turut memberi pandangan.
Pereka tari berpengalaman dari Singapura, Lyn Hanis dan pereka tari Malaysia, Andrew Igai Jamu serta Mohd Zhafir Muzani Mohamad pula meneroka perbincangan tentang cabaran mencari keseimbangan antara memelihara warisan tarian Melayu dengan menerima inovasi sambil menghormati kepentingannya yang luhur.
Dr Noramin, selaku kurator dan rakan kongsi simposium Sembang Seni menyingkap bahawa ruang simposium itu adalah satu pelawaan mengenali keterhubungan dunia Melayu melalui tarian.
“Kami telah menjemput beberapa tokoh penting dalam bidang tarian di Asia Tenggara maritim untuk berkumpul dan berbincang.
“Dengan ini, kami berharap dapat mencetus peluang berkolaborasi bersama,” jelasnya.
Simposium pada 23 dan 24 November ini berlangsung di Project Studios, Wisma Geylang Serai (WGS) dari 11 pagi hingga 5 petang.
Peserta boleh mendaftar diri untuk sehari atau dua hari secara percuma melalui laman Peatix di pautan: https://sembangtarisymposium.peatix.com/.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg