Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bintang Bollywood, Vidya Balan, tolak watak wanita pinta belas

Jul 12, 2023 | 12:38 PM
VIDYA BALAN: Pilih watak wanita perkasa dan bukan yang lemah dan meminta-minta sebab begitulah jiwanya yang sebenar.
VIDYA BALAN: Pilih watak wanita perkasa dan bukan yang lemah dan meminta-minta sebab begitulah jiwanya yang sebenar. - Foto AFP

Banyak anugerah lakonan dan piala Pelakon Wanita Terbaik sudah dikumpulkan pelakon India, Vidya Balan, sepanjang kerjaya dua dekadnya.

Bagaimana serba bolehnya Vidya, 44 tahun, beliau tetap tidak akan melakukan satu perkara iaitu membawa watak wanita lemah-longlai yang hanya mengharapkan bantuan dan simpati orang lain.

“Saya takkan membawakan watak seorang wanita yang ‘lemau’ dan selalu ‘mengemis’ perhatian orang lain. Kalau pun ketika itu saya masih baru dalam industri Bollywood, saya tak fikir saya akan membawa watak sedemikian, apa lagi setelah lama dalam industri lakonan.

“Lainlah kalau wanita malang itu berubah menjadi ‘harimau garang’ ketika kredit filem ditayangkan pada penghujung filem ini,” ujar Vidya dalam satu wawancara bersama Gulf News.

Menurutnya, beliau hanya mampu membawakan watak wanita yang dapat menemukan kekuatan jiwa dalam situasinya bersedih. Paling tidak, jadi wanita yang lasak seperti dalam drama atau filem Charlie’s Angels.

Lihatlah watak-watak yang dibawakan sebelum ini seperti filem ‘thriller’ Kahaani di mana beliau menghidupkan peranan wanita hamil yang merantau ke India dari Britain untuk mencari suaminya yang hilang.

Beliau juga dipuji kerana membawakan watak simbol seks Silk Smitha yang membebaskan dirinya daripada cengkaman lelaki dalam filem The Dirty Picture, sebuah biopik yang mencengkam jiwa.

“Itulah saya yang sebenar. Saya akan selalu tertarik pada watak wanita yang kuat semangat. Saya tak fikir saya mampu bertahan dalam filem tentang wanita yang tak penting dan selalu diremehkan orang lain,” ujarnya.

Filem terkininya Neeyat juga menggambarkan peranan wanita yang perkasa jiwa dan raganya.

Dalam filem misteri arahan Anu Menon, Vidya adalah ejen risikan Mira Rao yang diundang ke satu keramaian peniaga kaya, Ashish Kapoor, di sebuah istana di Scotland. Ashish adalah usahawan yang berhijrah ke London dan hidup mewah bersama anak-anaknya yang sombong dan angkuh. Satu pembunuhan berlaku di keramaian itu dengan Mira perlu menyiasat jenayah membabitkan orang kaya ini.

“Mira bukanlah detektif yang anda sering lihat dalam filem lain. Dia pelik dan ganjil tetapi tajam mencari bukti tersembunyi. Bagaimanapun, dia sebenarnya pemalu untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling. Matanya sering mengamati sekeliling. Jiwanya sentiasa menghadam dan memecahkan sebarang kod rahsia di sebalik setiap jenayah,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg