Sebak menyelubungi hati apabila membaca kisah penyanyi rok dan pelakon Indonesia, Ikang Fawzi, pengsan empat kali kerana terlalu terkejut dan sedih di samping payah menerima hakikat isteri tersayang, Marissa Haque, sudah tiada lagi.
Ikang, 64 tahun, atau nama sebenarnya, Ahmad Zulfikar Fawzi, tidak dapat menahan kedukaan apabila Allahyarhamha Marissa, 61 tahun, menghembuskan nafas terakhirnya di hospital swasta, Rumah Sakit Premier Bintaro, di Tangerang Selatan, Banten, pada 1.43 pagi (waktu Singapura), 2 Oktober.
Marissa, jelitawan yang merupakan pelakon, ahli akademik dan ahli politik, dikatakan mengalami serangan jantung semasa dalam tidur dan tidak sedarkan diri di bilik tidurnya sebelum dikejarkan ke hospital.
Pemergiannya yang mendadak membuatkan Ikang pengsan beberapa kali sebelum pengebumian Marissa di Tanah Perkuburan Islam Tanah Kusir, Jakarta, pada 3 Oktober.
Tempat persemadian itu dipilih Allahyarhamha sebelum penghujung riwayatnya agar dekat di samping anggota keluarga yang lain.
Marissa, anak sulung tiga beradik perempuan yang kesemuanya menceburi bidang seni, dikatakan tidak mempunyai sebarang rekod penyakit kronik.
Adiknya, Soraya Haque, seorang pengacara televisyen, menjelaskan kepada laman CNN Indonesia:
“Marissa tidak mempunyai sebarang penyakit. Dia tidak jatuh. Ikang memberitau kami dia ditemui dalam keadaan tidak bergerak di kamar tidur.
“Langsung dia dibawa ke rumah sakit bagi mengesahkan keadaannya dan di kala itu, disahkan Marissa sudah meninggal dunia.”
Pakar jantung Indonesia, Dr Vito A Damay, menjelaskan kepada laman detikhealth bahawa kematian di dalam tidur biasanya berpunca daripada serangan jantung mendadak.
“Meskipun anggota keluarganya tidak mengetahui mengenai keadaan kesihatannya, kebiasaannya kes sebegini berpunca daripada pembuluh darah tersumbat yang tidak dikesan sehingga timbul serangan jantung mendadak yang membawa maut,” jelas Dr Vito.
Marissa mula dikenali sebagai bintang filem menerusi filem romantis, Tinggal Landas Buat Kekasih (1984) dan Biarkan Bulan Itu (1986).
Beliau bahkan menerima pencalonan Piala Citra di Festival Filem Indonesia bagi kededua filem.
Marissa berjaya dinobatkan sebagai Aktres Pendukung Terbaik bagi filem, Tinggal Landas Buat Kekasih.
Kejelitaannya sentiasa disebut-sebut ramai yang turut menganggap dirinya dan Ikang sebagai pasangan sama cantik, sama padan.
Ayahnya, Allen Haque, berketurunan Pakistan dan Belanda-Perancis.
Ibunya, Mieke Soeharijah Cakraningrat, pula berasal dari Sumenep, Madura di Jawa Timur.
Marissa bernikah dengan Ikang pada 3 Julai 1986.
Mereka bertemu di set penggambaran, Tinggal Landas Buat Kekasih, arahan Sophan Sophian.
Sedang Marissa tidak rasakan apa-apa, Ikang pula sudah memerhatikannya dan tertarik pada gadis yang rajin mendirikan solat dan mengaji ketika ada kesempatan berehat daripada menjalani penggambaran di lokasi.
“Dia buat saya terkesan. Orang lain akan makan atau bergurau senda sewaktu rehat daripada menjalani penggambaran.
“Tapi Marissa pula sibuk beribadah. Dari detik itu, saya terfikir Marissa ini wanita yang sangat istimewa,” cerita Ikang dalam satu video TikTok.
Pejam celik, mereka sudah 38 tahun bernikah saat perpisahan ini.
Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Isabella Muliawati Fawzi, 36 tahun, seorang pengacara dan penyiar berita dan Chikita Fawzi, 35 tahun, seorang juruanimasi, pelakon dan penyanyi.
Lulusan undang-undang dari Universiti Trisakti itu turut memiliki ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Gadjah Mada di Jogjakarta.
Pada Februari 2012, beliau menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Sekitaran dari Pusat Pengajian Lingkungan Institut Pertanian Bogor, yang membawa pada gelaran Profesor Madya.
Pada 30 September, beliau dikatakan masih aktif mengajar di Sekolah Perbankan Indonesia di Kemang, Jakarta Selatan.
Seorang mahasiswi, yang hanya dikenali sebagai Risya, yang mengikuti kursus Undang-Undang Perniagaan yang diajar Marissa, menceritakan kepada laman Grid.ID:
“Di kampus, ibu Marissa sudah beritahu kepada kami dan meminta doa agar jika beliau meninggal kelak, segala urusannya dilancarkan dan tidak membebani keluarga dengan biaya hospital yang kini mahal.”
Ada banyak perkara yang seorang dermawan dan ahli politik yang pernah bersama Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan, Parti Persatuan Pembangunan dan Parti Amanat Nasional tonjolkan hari-hari sebelum kematiannya.
Kalau dalam satu wawancara Berita Harian (BH) di Jakarta, Indonesia, pada 1999, beliau menekankan bahawa kata-kata itu bak satu doa, satu video yang dirakamnya bersama Ikang di TikTok, membuatkan penulis terasa bahawa mungkin Allahyarhamha dapat rasakan hari terakhirnya bakal sampai.
“Kalau sebut tentang kematian, saya harap biarlah saya dahulu yang pergi dan bukannya Ikang sebab saya sulit memikirkan bagaimana kalau saya perlu mengendalikan rumah besar ini.
“Sekarang ini sahaja, kalau lampu rumah bermasalah, saya jadi bingung. Ikang selalu yang segera membaikinya tetapi saya tidak tahu apa-apa. Sukar bayangkan jika Ikang yang pergi dulu,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg