Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kevin Costner diarah bayar bekas isteri AS$129,755 sebulan untuk nafkah anak

Jul 13, 2023 | 12:56 PM
KEKERUHAN BERTAMBAH: Selepas 18 tahun berumah tangga, Kevin Costner (kanan) dan Christine Baumgartner mengambil keputusan berpisah tetapi pelbagai isu harta dan pembiayaan kos persekolahan tiga anak remaja mereka menimbulkan pertikaian.
KEKERUHAN BERTAMBAH: Selepas 18 tahun berumah tangga, Kevin Costner (kanan) dan Christine Baumgartner mengambil keputusan berpisah tetapi pelbagai isu harta dan pembiayaan kos persekolahan tiga anak remaja mereka menimbulkan pertikaian. - Foto INSTAGRAM ENTERTAINMENT TODAY

Pelakon dan pengarah Kevin Costner telah diperintahkan supaya membayar bekas isterinya, Christine Baumgartner, sebanyak AS$129,755 ($172,470) sebulan sebagai nafkah anak, hampir separuh daripada jumlah usulan awal Baumgartner.

Bintang filem Yellowstone itu juga berhutang dengan isterinya AS$200,000 untuk bayaran guaman dan tambahan $100,000 lagi bagi urusan perakaunan forensik.

Demikian keputusan muktamad pihak mahkamah yang didedahkan pada Selasa dalam dokumen yang diperolehi saluran Fox News, lapor laman Yahoo!

Pada awal Mei lalu, Baumgartner memfailkan perceraian daripada pelakon itu setelah 18 tahun berumah tangga dan mempunyai tiga cahaya mata. Beliau menyatakan perbezaan pandangan yang tidak dapat didamaikan lagi sebagai sebab menamatkan perkahwinan tersebut.

Dokumen perceraian itu menyenaraikan tarikh perpisahan pada 11 April.

Keputusan sementara Hakim Mahkamah Tinggi Santa Barbara, Thomas Anderle, juga memerlukan Costner dan Baumgartner berkongsi kos tuisyen sekolah swasta tiga anak remaja mereka, perbelanjaan penjagaan kesihatan, sukan dan aktiviti kokurikulum.

Dalam permohonan awal pada Jun, laman People melaporkan bahawa Baumgartner meminta AS$248,000 sebulan sebagai biaya sokongan anak-anak dan turut memohon agar Costner juga bertanggungjawab 100 peratus kos persekolahan, kesihatan dan aktiviti tiga anak mereka.

Pasangan ini telah menghadiri Pesta Oscar Vanity Fair 2022 pada 27 Mac 2022, di Beverly Hills.

Baumgartner, seorang pereka beg tangan, menganggap tawaran balas Costner untuk memberikan AS$51,940 pada sesi pertemuan susulan di mahkamah kepadanya sebagai tidak sesuai sama sekali. Beliau malah menuduh Costner gagal melancarkan proses perceraian semudah mungkin demi kesejahteraan anak mereka.

Dokumen mahkamah itu termasuk laporan daripada akauntan forensik yang menunjukkan aliran tunai bulanan kasar Costner sekitar AS$2.04 juta.

Pada Jun lalu, Costner menuduh Baumgartner melanggar perjanjian pranikah 2004 mereka dengan gagal berpindah dalam tempoh 30 hari selepas perceraian difail. Beliau juga mendakwa bekas isterinya itu cuba menggunakan rumah itu sebagai alasan memperkukuh pelbagai tuntutan kewangannya.

Tidak dinyatakan sama ada Baumgartner dan anak-anaknya telah berpindah rumah kini.

Walaupun Baumgartner akan mendapat bayaran sokongan bulanan enam angka, jumlah itu tidak seberapa berbanding nilai perceraian pertama Costner. Ketika itu, Costner dilaporkan telah diperintahkan supaya membayar isteri pertamanya yang merupakan teman semaktab, Cindy Silva, AS$80 juta selepas pertelingkahan di mahkamah yang berlarutan berikutan perceraian mereka pada 1994.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg