Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Black, Eddie dedah sebab tinggalkan Wings

Dec 18, 2025 | 2:43 PM
black, eddie, wings
Black dan Eddie menjelaskan keputusan mengundur diri daripada Wings dibuat secara bersama demi kejujuran terhadap diri sendiri dan peminat. - Foto BHM

KUALA LUMPUR: Selepas berbulan-bulan berdiam diri susulan pengundurannya yang mengejutkan, bekas pemain dram Wings, Black, akhirnya tampil membuka mulut mengenai keputusan meninggalkan kumpulan legenda itu bersama Eddie (bes), Oktober lalu, dengan mengakui tekanan emosi dan kejujuran terhadap diri sendiri menjadi punca utama.

Black berharap peminat dapat memahami situasi serta keputusan sukar yang terpaksa dibuat bersama Eddie demi kebaikan semua pihak.

“Tolong beritahu peminat, saya minta maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki kerana tidak dapat lagi bersama Wings,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada sidang media Pentas Barbarik Vol. 2, di sebuah hotel di sini pada malam 17 Disember.

Mengulas lanjut, Black menegaskan keputusan meninggalkan Wings bukan dibuat secara tergesa-gesa atau berniat menganiaya sesiapa, sebaliknya hasil perbincangan secara terbuka dan jujur antara mereka berdua.

“Kami berbincang dari hati ke hati sebelum sepakat berundur diri. Bukan kami tidak mahu terus berkarya bersama Wings, lebih-lebih lagi ketika mereka sibuk dengan sambutan ulang tahun ke-40 baru-baru ini.

“Cuma keadaan tidak mengizinkan dan kami sendiri sangat ralat tidak dapat bersama pada konsert itu,” katanya.

Menurut Black, setiap perkara ada batasnya dan secara peribadi beliau berasakan sudah tidak mampu meneruskan perjalanan bersama kumpulan itu.

“Saya tidak mahu bersikap hipokrit atau menipu diri sendiri. Bermuzik tidak boleh dibuat secara pura-pura gembira sedangkan jiwa saya tidak lagi merasai keseronokan itu.

“Saya perlu jujur dengan diri sendiri dan peminat. Saya tidak mahu bermuka-muka jika teruskan juga konsert baru-baru ini,” katanya.

Black berkata tekanan emosi yang dialami bimbang akan menjejaskan mutu persembahan, sedangkan peminat sudah membeli tiket dan berhak menerima persembahan terbaik.

“Saya tidak mahu tekanan itu menyebabkan saya bermain sambil lewa, sedangkan peminat mengharapkan sesuatu yang sepenuh hati,” katanya lagi.

Sementara itu, Eddie mengakui keputusan tersebut dibuat secara bersama selepas meneliti pelbagai sudut demi kebaikan semua pihak yang terbabit.

“Keputusan ini kami buat bersama. Kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan,” kata Eddie ringkas.

Dalam pada itu, Black dan Eddie mendoakan yang terbaik buat Wings dan berharap kumpulan berkenaan terus mampu berkarya serta mengekalkan legasi mereka dalam industri muzik tanah air.

“Wings kini mempunyai barisan pemuzik yang bagus dan berkaliber seperti Syam dan Edrie. Kami harap mereka akan terus berkarya dengan jenama besar Wings,” kata Black.

Black turut menegaskan mereka tidak menyimpan sebarang dendam, sebaliknya tumpang gembira melihat kejayaan Konsert Wngs 40 Tahun: 4 Dekad Terbang Tinggi yang berlangsung dengan penuh meriah pada November lalu.

“Tiada dendam atau rasa tidak puas hati. Kami tumpang gembira apabila melihat konsert itu berjaya dan penuh.

“Wings sudah cukup kuat dan mempunyai tapak sendiri. Dengan sokongan generasi muda, insya-Allah mereka mampu terus menghasilkan yang terbaik,” katanya.

Pada Oktober lalu, Black dan Eddie mengejutkan peminat apabila mengumumkan pengunduran diri daripada Wings, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi ketika kumpulan itu sedang giat membuat persiapan konsert ulang tahun ke-40 mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg