Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buah dan sayur ungu kurangi risiko kencing manis

Jun 9, 2023 | 3:38 PM
KELEDEK UNGU VIETNAM: Antara makanan yang menyihatkan dan dipercayai dapat mencegah pelbagai penyakit seperti kencing manis serta kemerosotan organ tubuh seperti mata dan otak.
KELEDEK UNGU VIETNAM: Antara makanan yang menyihatkan dan dipercayai dapat mencegah pelbagai penyakit seperti kencing manis serta kemerosotan organ tubuh seperti mata dan otak. - Foto fail

Kajian menunjukkan risiko kencing manis Jenis 2 boleh dikurangkan dengan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna ungu yang mengandungi bahan antosianin iaitu pigmen ungu, biru dan merah.

Menurut laporan laman, SciTech Daily, pigmen itu mempunyai kesan positif pada metabolisme tenaga, kesan radang pada tubuh serta kesihatan usus dan perut.

Manfaat buah-buahan dan sayur-sayuran serta ubi atau keledek berwarna ungu itu adalah ekoran kemampuannya menyerap zat dengan lebih berkesan.

Buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna ungu mungkin tidak begitu digemari berbanding buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna hijau, kuning-kuningan atau jingga, tetapi ia mempunyai nilai yang amat tinggi.

Pesakit kencing manis digalakkan memakan terung, anggur, plum dan beri biru yang mengandungi bahan antioksidan yang kuat bagi membolehkan tubuh meraih banyak manfaat kesihatan.

Jurnal Kimia Tanaman dan Makanan merumuskan bahawa bahan antosianin menjanjikan kesan perlindungan yang dapat menentang kencing manis dan mengelakkan radang sendi, penyakit jantung dan Alzheimer daripada berlaku.

Buah-buahan dan sayur-sayuran ungu turut mengandungi bahan vitamin dan zat galian penting seperti Vitamin C, K, potasium dan serat.

Ia juga baik bagi kesihatan mata bagi menangani kemerosotan daya penglihatan akibat faktor usia, atau keadaan yang boleh menyebabkan seseorang itu kehilangan penglihatan.

Jika anda ingin mengurangkan berat badan, buah-buahan dan sayur-sayuran ungu juga boleh membantu mengawal berat badan.

Anda akan rasa kenyang lebih lama sekali gus berupaya mengurangkan kalori tambahan secara keseluruhan.

Antioksidan dalam buah-buahan dan sayur-sayuran ungu juga boleh membantu dalam melindungi kulit daripada rosak ekoran pancaran radiasi cahaya ultraungu.

Beberapa kajian saintis juga menunjukkan fungsi otak dapat dipertingkat dengan buah-buahan serta sayur-sayuran ungu ini.

Ini kerana ia mengandungi bahan yang dapat melindungi sel otak dan meningkatkan fungsinya untuk berfikir secara lebih jelas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg